Skim tersebut bertujuan untuk menggalakkan integrasi pasaran modal rantau ini, dan akan memudahcarakan kecekapan yang lebih tinggi dalam penjanaan modal merentas sempadan dan memberikan penjimatan kos kepada penerbit yang membuat tawaran pelbagai bidang kuasa dalam ASEAN.
Malaysia, melalui Suruhanjaya Sekuriti (SC), telah memainkan peranan utama dalam menerajui Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), sebuah kumpulan peringkat tinggi pengawal selia sekuriti ASEAN, untuk membina standard penzahiran yang harmoni serta inisiatif lain yang akan menggalakkan dan mencapai integrasi yang lebih besar bagi pasaran modal di rantau ini.
“Inisiatif ini merupakan satu langkah utama ke hadapan dalam mencapai Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN untuk pasaran modal integrasi ASEAN menjelang tahun 2015. Skim ini akan meningkatkan tarikan ASEAN sebagai sebuah gabungan pasaran modal untuk penjanaan dana dan meningkatkan standard penzahiran di kalangan anggota ASEAN ke tahap antarabangsa, dan seterusnya meningkatkan lagi daya saing rantau ini secara global,” kata Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Dubai.
Bawah Skim ini, penerbit yang ingin menerbitkan ekuiti atau sekuriti hutang dalam lebih daripada satu negara ASEAN dikehendaki menyediakan hanya satu set dokumen penzahiran, dengan tambahan terhad bagi penawaran pelbagai bidang kuasa.
“Skim ini adalah antara inisiatif yang diambil oleh ACMF bagi menggalakkan pautan yang lebih erat antara negara-negara anggota. Inisiatif ini juga memberikan peluang bagi syarikat-syarikat di rantau ini untuk mengakses kumpulan simpanan dalam ASEAN bagi tujuan penjanaan dana dan juga memberi peluang pilihan pelaburan yang lebih besar kepada pelabur dan membawa ke arah penggalakan lebih banyak lagi aliran intraASEAN. Inisiatif lain oleh ACMF sedang diteliti pada masa ini dan akan menggalakkan lagi pertumbuhan pasaran modal rantau ini,” kata Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar.
Skim ini mengandungi satu set Standard ASEAN yang sama, dan keperluan tambahan yang digariskan oleh setiap ahli yang dikenali sebagai Standard Tambah.
Standard ASEAN diasaskan kepada standard penawaran merentas sempadan yang dibangunkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO). Ia juga mengambil pakai sepenuhnya standard perakaunan dan pengauditan Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) dan Standard Antarabangsa Pengauditan (ISA).
Dalam pada itu, Standard Tambah mengandungi standard tambahan yang dikehendaki oleh sebahagian daripada bidang kuasa ASEAN mengikut amalan pasaran, undang-undang dan peraturan tertentu masing-masing.
Memandangkan tahap pasaran modal dan pembangunan pengawalseliaan yang berbeza-beza di kalangan anggota negara ASEAN, Skim tersebut beroperasi atas dasar pilihan untuk menyertainya, bergantung kepada kesediaan negara-negara anggota ASEAN.
ACMF adalah sebuah forum peringkat tinggi pengawal selia sekuriti di ASEAN, yang diwujudkan bawah naungan Menteri-menteri Kewangan ASEAN pada bulan April 2004, untuk memberi nasihat mengenai inisiatif yang berkaitan dengan pasaran modal di rantau ini dan membincangkan isu-isu pengawalseliaan dan pembangunan yang menjadi kepentingan bersama dalam ASEAN. SC baru-baru ini telah menyempurnakan tugasnya mempengerusikan ACMF selama tiga tahun.