Pengawasan Korporat dan Penguatkuasaan - Pemacu SC pada 2003

Juga Menekankan Lebih Keberkesanan Organisasi dan Pasaran

Kuala Lumpur, 11 Mei 2004

Pengawasan pre-emptif yang dipertingkat serta tindakan penguatkuasaan yang diperkukuh menandakan inisiatif Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada tahun 2003 bagi menjadikan pasaran modal yang berintegriti tinggi. Ini diseimbangkan dengan langkah kukuh untuk mendorong pasaran ke tahap kecekapan dan sofistikasi yang lebih tinggi.

SC berkata dalam satu kenyataan mengumumkan Laporan Tahunan 2003 SC bahawa tindakan penguatkuasaannya semakin dilengkapi oleh pengawasan korporat proaktif, satu ciri yang akan terus ditekankan dalam melangkah ke hadapan. Inisiatif ini, bersama langkah untuk meningkatkan lebih kecekapan - antara lain termasuk pemprosesan cadangan korporat yang lebih cepat oleh SC dan masa ke pasaran yang lebih pantas - akan lebih mendorong ke arah mempertingkat keutuhan dan kecekapan pasaran modal.

Pasaran modal terus menjadi sumber pembiayaan utama dengan SC meluluskan cadangan penjanaan dana korporat bernilai RM55.1 bilion pada 2003. Daripada jumlah ini, 86% adalah bagi instrumen hutang, menunjukkan pasaran modal yang semakin matang, dan kejayaan polisi SC untuk menyeragamkan dan meningkatkan pasaran hutang sebagai kaedah bagi penjanaan modal.

Pasaran modal Islam terus tumbuh pada 2003 dengan bon Islam berjumlah RM8.1 bilion atau 19% daripada jumlah dana yang dijana dalam pasaran bon. Paling ketara ialah usaha SC dengan pihak Kerajaan bagi insentif percukaian bagi sekuriti Islam yang membuahkan hasil pada tahun lalu.

Usaha ke arah mempertingkat lebih kejelasan dan panduan berpandukan prinsip Syariah bagi pasaran kepada unit amanah dan sekuriti bersandarkan aset tahun lalu juga terus menyokong pertumbuhan pasaran modal Islam.

Peristiwa penting melalui pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) seperti demutualisasi bursa saham dan pelaksanaan fasa terakhir rejim berteraskan penzahiran berlaku pada 2003. Perubahan dalam pelbagai undang-undang sekuriti yang memudahcarakan proses demutualisasi tersebut, peningkatan kuasa tindakan pentadbiran dan sivil SC, penyeragaman industri perancangan kewangan yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu, turut berkuat kuasa tahun ini.

Butiran lanjut mengenai inisiatif dan pencapaian di atas adalah seperti berikut:

i) Pengawasan korporat yang dipertingkat pada 2003


Pengawasan korporat merupakan pelengkap penting kepada bahagian penguatkuasaan yang lebih mantap, dan ia membolehkan SC mengesan dan mengelakkan sebilangan urus niaga yang dicurigai pada 2003.

Secara serentak, perlindungan bagi pegawai dan juruaudit syarikat dengan lulusnya peruntukan pemberian maklumat ( whistle blowing ) di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 tahun lalu dijangka akan membantu mencegah penyalahgunaan dan seterusnya menggalakkan tadbir urus korporat yang lebih baik.

SC menggandakan bilangan syarikat di bawah penelitiannya sebagai salah satu daripada langkah pre-emptif terhadap penyalahgunaan korporat. Setakat 31 Disember 2003, SC menganalisis 117 syarikat berbanding 54 pada 2002. Tujuh puluh kes yang dimulakan pada 2003 sementara 47 lagi dibawa ke hadapan dari 2002 (Jadual 1).

Pendekatan proaktif dan pre-emptif SC telah membawa kepada pengesanan pelbagai kaedah dalam penyaluran dana keluar daripada syarikat awam tersenarai (PLC). Ini termasuk memperoleh aset pada kadar premium yang ketara berbanding harga pasaran, menjual aset di bawah paras harga dan mewujudkan hutang untuk mengimbangi obligasi kontrak.

SC juga telah mengenal pasti skim yang dicurigai yang mana pihak tertentu atau syarikat cuba untuk:

  • Mengelakkan pembayaran jaminan keuntungan dengan mewujudkan hutang rekaan yang kemudiannya diselesaikan kepada pembayaran berjamin;
  • Menggunakan lesen peminjaman wang untuk memudahcarakan penyaluran keluar dana daripada PLC dengan berselindung di sebalik kegiatan perniagaan;
  • Memperoleh secara tunai syarikat persendirian yang kemudiannya "dijual" sebagai penyelesaian kepada hutang rekaan; dan
  • Menyebabkan sesebuah PLC menanggung liabiliti yang berasal daripada urusan pinjaman persendirian antara dua individu.

ii) Pengawasan perantara pasaran yang lebih fokus

Pendekatan SC yang lebih focus ke atas aktiviti pengawasan pasaran, yang merangkumi aktiviti pelesenan dan audit proaktif ke atas perantara pasaran, melengkapi pengawasan SC ke atas PLC. Aktiviti ini menggalakkan pematuhan di kalangan perantara pasaran.

Secara khusus, SC telah meningkatkan pengawasan ke atas syarikat pengurusan dana selepas beberapa kes pelanggaran undang-undang dan peraturan, dan membekukan lessen pengurus dana dan niaga hadapan baru kepada syarikat yang dimiliki oleh individu bagi tempoh setahun dari 22 Ogos tahun lalu.

Di samping itu, SC telah melancarkan projek perintisnya bagi kerangka pengawasan berasaskan pematuhan dan risiko (CRS) bagi perantara dan institusi pasaran. CRS menekankan pendekatan kepada pengawasan yang lebih ketat dan tertumpu risiko dan disertai oleh pengawalseliaan sendiri, yang akan menggalakkan tahap pematuhan kawal selia yang lebih tinggi di kalangan perantara pasaran.

iii) Pencapaian penguatkuasaan

Tindakan penguatkuasaan SC ditunjukkan dalam pencapaian utama pada 2003. Dalam kes Oasis Asset Management Sdn Bhd, SC mengesan pelanggaran undang-undang dan membawa kes ke mahkamah dalam tempoh tiga minggu kes tersebut. Ini dapat dilakukan dengan sokongan padu Jabatan Peguam Negara.

SC juga mencatatkan sabitan jenayah pertamanya bagi manipulasi pasaran. Kes tersebut membabitkan waran Actacorp Holdings Bhd dan pesalah, Puniyamurthi a/l Perianan telah didenda sejumlah RM3 juta selepas beliau mengaku bersalah.

SC juga telah mencatatkan beberapa tindakan penguatkuasaan julung kali termasuk hukuman penjara terhadap bekas Pengarah Urusan Tat Sang Holdings Bhd atas kesalahan berkaitan penzahiran. Hukuman penjara dijatuhkan oleh Mahkamah bagi kesalahan tersebut menunjukan keseriusan kesalahan kategori ini. Tahun 2003 juga menyaksikan SC menggenakan celaan dan menetapkan sekatan terhadap pelanggaran garis panduan penilaian aset (Andrew Chan Kian Seng dan Tetuan Dass Mohamad Chartwell Brooke Hiller Parker Sdn Bhd).

Selain daripada pembicaraan yang sedang berjalan, SC telah memulakan pendakwaan baru terhadap 11 individu. Sepanjang tahun lalu, pendakwaan yang telah dibawa oleh SC menyaksikan satu individu dipenjarakan dan lapan individu didenda.

Selain pendakwaan jenayah dan tindakan pentadbiran, SC telah menawarkan untuk mengkompaun beberapa kesalahan sebagai kaedah hukuman dan pencegahan. Pada 2003, enam individu dan sebuah syarikat dikompaun dengan jumlah antara RM50,000 dan RM1 juta.

Selain daripada ini, SC juga mengenakan tindakan pentadbiran yang merangkumi pengeluaran celaan awam dan persendirian, penolakan untuk memperbaharui lesen, dan penolakan pengemukaan cadangan korporat, kepada pengeluaran surat teguran, amaran dan peringatan terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan. Beberapa tindakan pentadbiran penting yang diambil oleh SC pada 2003 disenaraikan dalam Jadual 2.

iv) Pasaran modal yang lebih cekap

SC bertekad untuk mewujudkan persekitaran "mesra niaga" dan "pengawalseliaan tidak melebihi apa yang perlu", dan terus memastikan bahawa proses pasaran modal diseragamkan, dipermudah dan dijadikan lebih cekap.

Langkah penting ke arah ini ialah pengenalan masa ke pasaran yang lebih cepat bagi tawaran awam awal (IPO). Peningkatan proses oleh SC telah menghasilkan tempoh masa bagi kelulusan dipendekkan-for IPO and pengambilalihan akas/penyenaraian pintu belakang dari enam bulan kepada satu hingga tiga bulan, terbitan hak dari satu hingga tiga bulan kepada 21 hari pasaran dan bagi pendaftaran prospektus ringkas dari satu bulan kepada tujuh hari pasaran.

Kesemua ini dapat dilaksanakan hasil daripada usaha gigih ke atas perekayasaan proses kerja di SC serta pelancaran fasa terakhir pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR), yang mana kedua-duanya menyaksikan perubahan besar cara SC menyemak cadangan korporat yang membabitkan terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti ekuiti dan berkaitan ekuiti.

Pada asasnya, penyemakan cadangan korporat kini adalah berpandukan dua pendekatan-"penilaian" atau "pengisytiharan"-bergantung kepada jenis cadangan korporat. Pendekatan baru ini telah menghasilkan kelulusan yang lebih cepat daripada SC tanpa melonggarkan keperluan kepada beberapa penilaian berasaskan merit terhadap beberapa jenis cadangan tertentu. Policies and Guidelines on the Issue/Offer of Securities yang dipinda dan berkuat kuasa pada 1 Mei 2003 menjelaskan jenis aktiviti bagi dua pendekatan tersebut.

Usaha untuk mewujudkan pasaran modal yang lebih cekap ini, yang memberikan tanggungjawab yang lebih besar ke atas syarikat dan penasihatnya, dilengkapi dengan kebertanggungjawaban perundangan yang lebih besar ke atas pihak-pihak ini. Sementara itu, para pelabur perlu dididik mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam persekitaran DBR dan ini telah dicapai melalui berbagai program latihan dan pendidikan yang dijalankan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti.

Tanggungjawab yang dipertingkat bagi syarikat dan penasihat mereka, dan kesedaran yang lebih serta pelaksanaan hak oleh pelabur serta pendirian SC ke atas penguatkuasaan dan pengawasan yang diperkukuh adalah penting dalam memastikan peranan pasaran yang berkesan di bawah persekitaran DBR.

Langkah penting lain yang diambil oleh SC pada 2003 untuk mempertingkat kecekapan dan memudahcarakan penjanaan dana dalam pasaran Malaysia termasuk:

  • Pengenalan Guidelines on the Offering of Structured Products untuk memudahcarakan pewujudan produk sofistikated untuk memenuhi keperluan sofistikated pasaran modal Malaysia yang semakin meningkat;
  • Lebih kelonggaran ke atas penggunaan hasil kutipan daripada penerbitan sekuriti hutang swasta (PDS) bagi pembinaan pasar raya besar;
  • Pewujudan kerangka percukaian neutral bagi urus niaga pensekuritian; dan,
  • Pengenalan potongan lima tahun ke atas perbelanjaan yang terlibat dalam penerbitan sekuriti bersandarkan aset (ABS) seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2004.

v) R M55.1 bilion untuk dijana melalui pasaran modal; bon berjumlah melebihi 80 peratus

Syarikat-syarikat telah mendapatkan kelulusan SC untuk menjana RM55.1 bilion melalui pasaran modal tahun lalu, yang mana 86% atau RM47.3 bilion daripada dana tersebut telah dijana melalui instrumen hutang (Jadual 3). Baki sebanyak RM7.8 bilion telah dijana melalui tawaran awam awal - RM3.88 bilion, ekuiti - RM3.87 bilion, dan saham keutamaan - RM7.5 juta.

Terdapat 33 permohonan bagi IPO, 44 bagi penjanaan dana melalui ekuiti, 64 permohonan (mengandungi 118 terbitan) bagi penjanaan dana melalui hutang, dan satu bagi saham keutamaan.

vi) Dana yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana bertambah sebanyak 25.6 peratus

Syarikat pengurusan dana di Malaysia, yang terdiri daripada syarikat pengurusan dana berlesen dan syarikat pengurusan unit amanah menguruskan RM94.75 bilion pada 2003-peningkatan sebanyak 25.6% daripada tahun sebelumnya (Jadual 4).

Sebahagian besar dana yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana berlesen terdiri daripada dana unit amanah berjumlah RM54.98 bilion, membentuk kira-kira 70% jumlah dana yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana berlesen pada akhir 2003.

Jenis dana lain yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana berlesen termasuk dana badan kebajikan, badan korporat, KWSP dan penyumbang KWSP, badan kerajaan/agensi, individu, syarikat insurans dan dana pencen persendirian (Jadual 5).

Bagi dana asing yang diuruskan, sebahagian besar dana ini terdiri daripada dana badan korporat asing (62%), mengikuti pola yang sama seperti pada akhir 2002 (Jadual 5).

vii) Pertumbuhan ketara dalam industri unit amanah

Industri unit amanah mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan pada 2003, dengan bilangan dana unit amanah yang ditawarkan kepada pelabur meningkat daripada 188 pada akhir 2002 kepada 226 pada akhir 2003. Bilangan akaun pemegang unit juga meningkat daripada 10.18 juta pada akhir 2002 kepada 10.22 juta pada akhir 2003.

Dari segi nilai aset bersih (NAV), industri tersebut berkembang daripada RM53.70 bilion pada akhir 2002 kepada RM70.08 bilion pada akhir 2003 - peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 30.5%. Jumlah NAV dana unit amanah pada akhir 2003 mewakili 10.95% permodalan pasaran. Dana unit amanah konvensional menyumbang sebanyak RM65.33 bilion daripada jumlah NAV manakala dana unit amanah Islam RM4.75 bilion.

Jadual 6 menyediakan ringkasan bagi industri unit amanah pada akhir 2003 berbanding pada akhir 2002

viii) Usaha pembangunan

Setakat akhir 2003, yang menandakan penghujung Fasa 1 CMP, 79 cadangan telah dilaksanakan. Ini termasuk penggabungan dan demutualisasi bursa saham selesai dengan jayanya dan usaha ke arah mempertingkat daya saingan bursa, yang akan menyaksikan lebih kecekapan dalam pasaran modal.

SC juga telah mengambil langkah untuk memastikan perancangan kewangan yang menjadi penghubung antara pelabur dan pelbagai produk dan perkhidmatan, menjadi aktiviti yang dikawal selia dan berlesen tahun ini bagi memastikan pelabur dilindungi. Pindaan kepada SIA dikuatkuasakan tahun lalu.

SC juga terus menekankan pembangunan pasaran modal Islam pada 2003 yang menyaksikan, antara lain, pelancaran perkhidmatan pembrokeran saham institusi Islam pertama, penyenaraian Global Sukuk Malaysia di Bursa Saham Bahrain dan penyenaraian ABS Islam pertama.

Di samping itu, SC telah meningkatkan tumpuannya ke atas promosi antarabangsa dan inisiatif komunikasi untuk menggalakkan profil antarabangsa pasaran modal Malaysia. Langkah penting ke arah ini, yang telah dipersetujui oleh Kerajaan, ialah penubuhan Jawatankuasa Komunikasi Antarabangsa bagi Pasaran Modal peringkat tinggi untuk menyediakan pandangan dan nasihat yang menyeluruh, terselaras dan strategik mengenai komunikasi antarabangsa dan inisiatif promosi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup