Pengerusi SC Dipilih Memegang Kepimpinan dalam Badan Pengawal Selia Sekuriti Dunia

Kuala Lumpur , 29 Mei 2008

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Dato’ Zarinah Anwar, telah dilantik sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Membangun (EMC) Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) pada Persidangan Tahunan ke-33nya di Paris, Perancis.

Sebagai Naib Presiden EMC, Dato’ Zarinah akan bekerjasama dengan Pengerusi EMC, Guillermo Larrain (dari Chile) dalam menerajui kumpulan itu dalam membincangkan isu-isu dan cabaran utama Pengawalseliaan yang berkaitan dengan bidang kuasa pasaran membangun, dengan matlamat untuk membangunkan panduan dan amalan terbaik antarabangsa bagi mengawal selia pasaran modal.

“Saya amat berbesar hati kerana dilantik sebagai Naib Presiden EMC. Sejak beberapa tahun lalu, SC telah memainkan peranan penting dalam pembangunan standard pengawal selia antarabangsa,. Saya tidak sabar untuk bekerja dengan rakan-rakan pengawal selia dalam meningkatkan standard kawal selia pasaran modal,” kata Dato’ Zarinah Anwar di Paris.

Greg Tanzer, Setiausaha Agung IOSCO berkata, “Saya gembira kerana Zarinah Anwar telah dipilih sebagai Naib Presiden EMC. Pelantikan Zarinah membawa kemahiran kepimpinan yang kukuh kepada EMC, dan menunjukkan sumbangan yang amat berharga yang telah diberikan beliau dan SC Malaysia kepada IOSCO.”

Dato’ Zarinah juga adalah Pengerusi Forum Pasaran Modal ASEAN, satu kumpulan pengerusi pengawal selia sekuriti ASEAN, sejak tahun 2006.

IOSCO ialah forum kerjasama antarabangsa yang amat penting bagi agensi-agensi pengawalseliaan sekuriti dan ahli-ahlinya mengawal selia lebih daripada 90 peratus pasaran sekuriti dunia. Sebagai peneraju forum dasar antarabangsa bagi kawal selia sekuriti, IOSCO memainkan peranan penting dalam menetapkan standard antarabangsa bagi mengawal selia sekuriti, mengenal pasti isu-isu yang mempengaruhi pasaran global, dan membuat cadangan bagi menangani cabaran-cabaran tersebut.

Persidangan Tahunan IOSCO tersebut, yang berlangsung dari 26-29 Mei 2008, menghimpunkan pengawal selia sekuriti dunia dan ahli-ahli komuniti kewangan untuk satu siri mesyuarat dan perbincangan bertaraf tinggi.

Hasil utama persidangan tersebut adalah penerbitan laporan mengenai Agensi Penarafan Kredit, dan laporan mengenai punca asas krisis subprima dan implikasinya kepada pasaran modal.

Autorité des marchés financiers of France menjadi tuan rumah persidangan itu, yang dihadiri oleh lebih 500 delegasi kanan dari lebih 100 negara. Persidangan tersebut, yang bermula pada 26 Mei 2008, telah dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Industri dan Pengambilan Pekerja Perancis, Christine Lagarde.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup