Persidangan Pasaran Bon Asia pada 2–3 Disember 2009, yang akan dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Malaysia, YB Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamed Hanadzlah, akan menjadi platform penting bagi kerajaan dan pihak industri untuk membincangkan dan mempertimbangkan isu-isu penting bagi pembangunan pasaran bon primer dan sekunder di Asia.
Ini akan membantu merintis jalan bagi integrasi kewangan yang lebih besar dalam pasaran bon Asia sebagaimana yang dirangka bawah Inisiatif Pasaran Bon Asia (ABMI). ABMI merupakan inisiatif yang diluluskan oleh Menteri-menteri Kewangan ASEAN+3, dan disokong oleh ADB.
Kementerian Kewangan Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan ADB akan menganjur bersama persidangan tersebut yang akan diadakan di SC.
Naib Presiden ADB Encik Bindu N. Lohani dan Pengarah Urusan SC Datuk Ranjit Ajit Singh akan berucap di persidangan tersebut yang bertema “Memacu Kerangka Pengawalseliaan dan Kerjasama Serantau – bagi Pertumbuhan Era Baru dalam Pasaran Bon Asia.”
Penceramah lain termasuklah Encik Shi Wenchao, Presiden Eksekutif dan Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelabur Institusi Pasaran Kewangan China; Encik Toshihiko Sasaki, Penasihat Eksekutif Persatuan Peniaga Saham Japan; Encik Nattapol Chavalitcheevin, Presiden Persatuan Pasaran Bon Thailand; Encik Lee Han-Gu, Pakar Penyelidik dari Persatuan Pelaburan Kewangan Korea; dan Encik Surinder Kathpalia, Pengarah Urusan Standard & Poor’s Singapura.
Peserta persidangan terdiri daripada pegawai dari kementerian kewangan, bank-bank pusat, pengawal selia pasaran modal serta wakil kanan dari persatuan peniaga saham dan pengantara pasaran kewangan dari negara-negara ASEAN+3.