Pengubahsuaian Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham

Kuala Lumpur, 12 Jun 2000

Berikutan dengan pengumuman mengenai Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham pada 21 April 2000, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menerima beberapa rayuan daripada pihak industri, termasuk Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM), Persatuan Bank-Bank Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Saudagar Malaysia. SC juga telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemilik-pemilik syarikat broker saham bagi mendengar pandangan mereka.

SC mengambil kira mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tersebut. Setelah mempertimbangkan dengan teliti pandangan mereka, SC memutuskan bahawa, demi untuk mengelakkan beberapa masalah praktikal yang dihadapi oleh industri, SC akan memberikan beberapa kelonggaran kepada rangka kerja polisi terdahulu bagi membantu proses penggabungan broker saham.

Secara khususnya, pindaan-pindaan berikut dibuat. Pertama, tarikh akhir 31 Disember 2000, yang merupakan tarikh yang ditetapkan bagi syarikat broker saham untuk melaksanakan perjanjian penggabungan yang kukuh akan dibatalkan. Walau bagaimanapun, SC akan mengawasi secara dekat perkembangan penggabungan di kalangan industri dan akan membuat kajian semula polisi yang perlu, termasuk faktor masa sekiranya proses penggabungan industri tidak berjalan pada kadar dan tahap yang memuaskan.

Keduanya, sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, syarikat broker saham akan dibenarkan mencari rakan penggabungannya sendiri tetapi harga pemerolehan dan kaedah penilaian akan ditentukan oleh pihak-pihak yang terlibat.

Ketiga, pembatasan yang dikenakan ke atas individu yang mempunyai kawalan berkesan di kedua-dua buah institusi kewangan dan syarikat broker saham dan ke atas perniagaan syarikat induk terdekat syarikat broker (melainkan sekiranya syarikat broker tersebut tertakluk di bawah peraturan perniagaan hartanah dan pembinaan), sekarang ini tidak lagi diguna pakai. Walau bagaimanapun, satu kumpulan yang memiliki sesuatu kepentingan broker saham tidak dibenarkan untuk menjalankan atau memegang mana-mana perniagaan hartanah atau pembinaan; maklumat terperinci dasar ini akan diberikan kepada ahli-ahli ASCM secepat mungkin.

SC juga menjelaskan bahawa pengasingan perniagaan pembrokeran daripada institusi kewangan tidak lagi diperlukan. Langkah-langkah bagi mengatasi isu-isu konflik kepentingan akan ditangani selepas perundingan dengan industri.

SC akan meneruskan objektif penggabungan industri yang bertujuan memperkukuhkan industri broker saham bagi menyediakan industri tersebut untuk menghadapi cabaran liberalisasi dan globalisasi. SC juga ingin melihat satu kumpulan teras Broker Universal yang mempunyai modal yang banyak dan mempunyai perkhidmatan penuh, yang boleh memberikan perkhidmatan perantaraan pasaran modal yang berkesan dan menjimatkan.

Bagi menggalakkan dan memberi insentif bagi penggabungan, syarikat broker saham yang layak sebagai Broker Universal akan terus diberikan kemudahan sebagaimana yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham. Ini termasuk kredit cukai bagi kerugian terkumpul yang dibawa ke hadapan, pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah. Sebagai insentif tambahan, sesebuah Broker Universal akan dibenarkan secara serta merta mengendalikan cawangan tambahan di mana-mana lokasi tertakluk kepada kelulusan SC. Sebarang polisi pembukaan cawangan SC akan terus memberi manfaat kepada Broker Universal. Broker Universal juga dibenar untuk menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pasaran modal apabila diperkenalkan.

Cadangan-cadangan tertentu yang diumumkan pada 21 April 2000 yang berkaitan dengan penurunan kos transaksi adalah tidak berubah. Ini adalah perlu bagi mewujudkan sebuah pasaran modal yang kompetitif yang akhirnya memberi manfaat kepada para pelabur.

Sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, liberalisasi kadar komisen terus dilaksanakan dalam dua peringkat:

  • Pada Peringkat 1, yang akan berkuat kuasa dari 1 September 2000, kadar komisen bagi semua dagangan melebihi RM100,000 akan boleh dirunding sepenuhnya. Dagangan dengan nilai kontrak RM100,000 dan ke bawah akan tertakluk kepada satu kadar tetap 0.75%; dan
  • Pada Peringkat 2, yang akan berkuat kuasa dari 1 Julai 2001, kadar komisen akan boleh dirunding sepenuhnya bagi semua dagangan, tertakluk kepada satu kadar maksimum 0.70%. Walau bagaimanapun, SC akan mengkaji semula situasi tersebut sebelum melaksanakan peringkat kedua ini.

Fi penjelasan SCANS (Securities Clearing Automated Network Services), fi bagi SCORE (System on Computerised Order Routing and Execution) dan levi SC, yang merupakan sebahagian daripada kos transaksi, juga akan dikurangkan.

Fi penjelasan SCANS akan dikurangkan daripada 0.05% kepada 0.04% berkuat kuasa 1 Julai 2001, tertakluk kepada maksimum RM200 setiap kontrak, sementara fi SCORE akan dikurangkan dalam dua peringkat kepada 0.005% dan 0.0025% masing-masing berkuat kuasa dari 1 September 2000 dan 1 Julai 2001.

Levi SC akan dikurangkan kepada 0.015% daripada kadar sekarang 0.02% berkuat kuasa 1 Julai 2001.

SC berharap dengan pindaan yang memudahkan ini, pihak industri akan meneruskan kerja penggabungan dengan sewajarnya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup