Peningkatan kebertanggungjawapan dan ketelusan oleh syarikat broker saham diharapkan dengan Peraturan BSKL yang baru - kata SC

Kuala Lumpur, 29 Jun 1999

Peraturan baru Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Peraturan 16A daripada Peraturan-peraturan Berkaitan Syarikat-syarikat Anggota yang akan diperkenalkan oleh BSKL adalah selaras dengan usaha pembangunan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan BSKL untuk menggalakkan integriti pasaran dan perlindungan pelabur.

Peraturan baru ini mengenakan piawai minimum bagi perakaunan faedah ke atas akaun tidak berbayar dan peruntukan bagi hutang lapuk dan hutang ragu di dalam penyata kewangan syarikat-syarikat broker saham (SBS). Dengan peraturan baru ini, perakaunan hutang lapuk dan hutang ragu akan dipiawaikan bagi semua SBS.

Pengerusi SC, En Ali Abdul Kadir berkata, ini merupakan satu lagi langkah oleh BSKL untuk menggalakkan pentadbiran korporat yang baik di kalangan ahli syarikat.

"Dengan ketelusan yang lebih di dalam perakaunan oleh SBS dan penguatkuasaan Peraturan BSKL, kebertanggungjawapan syarikat broker saham terhadap pengurusan berhemat perniagaan mereka akan ditingkatkan," kata Encik Ali.

Peraturan baru ini memerlukan SBS mengkaji penilaian mereka terhadap kualiti pendapatan dan aset mereka, yang seharusnya menghasilkan pengurusan aset dan pemulihan hutang yang lebih baik.

Sebagai insentif terhadap kejayaan pelaksanaan peraturan baru ini, BSKL dengan sokongan SC telah mendapatkan pelepasan cukai bagi SBS bagi tempoh dua tahun. Dengan pelaksanaan peraturan baru ini, 50 peratus daripada faedah yang digantung oleh SBS tidak akan dikira sebagai pendapatan untuk dicukai sehingga ia diterima. Di bawah rejim cukai sedia ada, jumlah pendapatan faedah yang mesti digantung sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan 16A tidak akan dianggap sebagai potongan, dan oleh itu, akan dianggap sebagai pendapatan bercukai.

Untuk membolehkan sedikit kefleksibelan dan selanjutnya melancarkan pelaksanaan Peraturan baru, BSKL dengan perundingan bersama SC, telah bersetuju untuk membenarkan SBS satu tempoh peralihan bagi pematuhan penuh Peraturan 16A. Sehubungan itu, tempoh default bagi mengklasifikasikan akaun-akaun kerugian kontra sebagai "ragu" dan "lapuk" telah dilanjutkan masing-masing kepada "30 hingga 60 hari kalendar" dan "lebih daripada 60 hari kalendar". Peralihan ini adalah untuk tempoh satu tahun bermula 1 Julai 1999. Sebagai tambahan, peruntukan am 1 peratus daripada jumlah dagangan bolehterima (trade receivables) yang diperlukan di bawah Peraturan 16A boleh dikumpul pada 0.25 peratus bagi tahun kalendar 1999, dan selepas itu pada kadar kenaikan tahunan 0.25 peratus.

Peraturan baru ini adalah sebahagian daripada pelan keseluruhan SC dan BSKL untuk mengukuhkan industri broker saham.

"Pelan SC dan BSKL untuk menggalakkan industri broker saham melalui pengenalan peraturan baru atau peraturan pindaan sedang dilaksanakan selepas perundingan yang terperinci dengan industri," kata Pengerusi SC.

Dalam menyediakan Peraturan 16A, SC dan BSKL telah bekerja rapat dengan kumpulan industri yang berkaitan untuk merumuskan garis panduan penggantungan faedah ke atas akaun tidak berbayar dan peruntukan bagi hutang lapuk dan hutang ragu.

Kumpulan industri yang dirujuk dalam usaha ini adalah Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB), Persatuan Syarikat-syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM), syarikat-syarikat broker saham, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Bertauliah Malaysia (MACPA).

Peraturan baru ini melengkapi pengumuman terdahulu yang dibuat oleh SC dan BSKL tentang pengenalan keperluan kecukupan modal dan hasrat untuk memperkenalkan rangka kerja perlindungan aset klien.

Peraturan 16A BSKL akan berkuatkuasa pada 1 Julai 1999. Pelepasan cukai yang diberi ialah untuk pendapatan yang diisytiharkan dalam tahun 1999 dan 2000.

BSKL akan memberi maklumat terperinci tentang Peraturan ini di dalam pengumuman akhbarnya yang berasingan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-65 48513 (Ann Teoh)/ 03-654 8184 (Azmi Hariss Ibrahim) atau faks: 03-651 5078 atau e-mel [email protected]

Maklumat latar belakang:
Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup