Peningkatan Mandat Umum bagi Terbitan Hak Pro Rata untuk Percepat Pengumpulan Dana Sekunder bagi Penerbit Tersenarai yang Layak
10 November 2020   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia (Bursa Malaysia) hari ini mengumumkan langkah kelonggaran sementara yang membolehkan penerbit tersenarai yang layak mendapat kelulusan pemegang saham yang dimandatkan di mesyuarat agung untuk menjalankan pelaksanaan terbitan hak.

Kelonggaran sementara ini membolehkan pelaksanaan terbitan hak yang dipercepatkan oleh syarikat awam tersenarai (PLC) dan amanah pelaburan hartanah (REIT) akan diperkenalkan melalui rangka kerja terbitan hak yang ditingkatkan. Ini akan membolehkan PLC dan REIT yang layak (secara kolektif "penerbit tersenarai yang layak") menerbitkan saham hak atau unit baharu kepada pemegang sekuriti sedia ada secara pro rata, sehingga 50% daripada jumlah saham terbitan atau unit terbitan.

Pelaksanaan terbitan hak dengan mandat yang diperoleh di bawah langkah kelonggaran sementara adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, misalnya, terbitan hak tersebut mestilah penerbitan biasa di mana ia hanya digunakan untuk saham atau unit biasa dan bukan jenis sekuriti lain seperti waran atau saham boleh tukar.

Di bawah proses yang dipercepatkan ini, penerbit tersenarai yang layak akan diberi lebih kelonggaran untuk menangani ketidakpastian pasaran di samping membuat permintaan modal, dan mengumpul dana sekunder dengan segera, yang tertakluk kepada perlindungan tertentu. Sebagai contoh, penerbit tersenarai yang layak mestilah mempunyai pemegang sekuriti yang mengawal[1]  yang akan memberikan jaminan yang tidak boleh ditarik balik untuk melanggan kelayakan penuh mereka, dengan tidak melebihi 30% diskaun daripada harga secara teori saham atau unit tiada hak yang baru diterbitkan ini.

Di samping usaha yang lebih meluas oleh pihak Kerajaan ke arah pemulihan negara, SC dan Bursa Malaysia terus mempertimbangkan kaedah pengumpulan dana melalui pasaran modal dengan lebih cekap. Akibat pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP), kebanyakan penerbit tersenarai menghadapi cabaran operasi, termasuk mengumpul modal kerja dan membuat bayaran pinjaman bank. Proses yang dipercepatkan bagi terbitan hak akan membolehkan penerbit tersenarai yang layak bertindak lebih cekap kerana mereka boleh mengumpul dana dari pemegang sekuriti sedia ada dalam jangka masa yang lebih singkat bagi memenuhi keperluan modal dan kewangan mereka.

Mandat umum baharu bagi terbitan hak ini adalah di samping mandat umum 20% yang ditingkatkan untuk terbitan sekuriti bahru, yang biasanya digunakan untuk penempatan tertutup. Kedua-dua langkah pelonggaran ini sah sehingga 31 Disember 2021.

SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan terkini pasaran sekuriti dan kewangan yang telah terkesan oleh faktor domestik dan global, untuk menilai dan menyusun semula langkah-langkah untuk menyokong pasaran yang cekap dan berdaya tahan. Butiran mengenai pelbagai langkah untuk membantu peserta pasaran modal menangani isu-isu yang timbul daripada Covid-19, sila layari www.sc.com.my/covid-19 dan http://bit.ly/Bursa_Directives_Clarifications.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BURSA MALAYSIA BERHAD

[1] Ini merujuk kepada pemegang saham mengawal bagi PLC, atau pemegang unit mengawal bagi REIT, yang bermaksud mana-mana individu, atau sekumpulan individu yang bertindak bersama, yang berhak untuk menjalankan atau mengawal pelaksanaan lebih 33% (atau peratusan lain seperti yang ditetapkan dalam Kod Pengambilalihan dan Percantuman sebagai tahap untuk mencetuskan tawaran am mandatori) bagi saham pengundian sesebuah syarikat dan unit pengundian dalam skim unit amanah, atau yang berada dalam kedudukan untuk mengawal komposisi majoriti lembaga pengarah syarikat tersebut.
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup