Penjanaan Dana yang Lebih Efisien dengan Fasa Terakhir DBR

Kuala Lumpur, 14 Februari 2003

Pasaran akan menikmati proses penjanaan dana yang jauh lebih efisien dengan pelaksanaan fasa terakhir pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR). Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan melaksanakan fasa terakhir program DBR ini pada bulan Mac 2003 dengan penerbitan beberapa garis panduan berkaitan penjanaan dana yang dikaji semula.

“Pasaran boleh mengharapkan kelulusan oleh SC yang lebih cepat serta peraturan yang lebih mesra-perniagaan,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Beliau berkata langkah untuk menjadikan pasaran lebih efisien menyokong penuh usaha kerajaan dalam merancakkan ekonomi.

Pada masa yang sama Datuk Ali berkata, perlindungan pelabur akan didukung, jika tidak terus diperkukuhkan.

“Perlindungan pelabur sentiasa merupakan tumpuan utama bagi kita dan merupakan subjek yang akan terus ditekankan dalam proses membina persekitaran pasaran yang mesra-perniagaan. Sehubungan ini, SC telah mengambil pendekatan yang lebih strategik dalam kerja-kerja penguatkuasaan dan pengawasannya,” kata Datuk Ali.

Fasa terakhir DBR akan menunjukkan perubahan besar dalam cara-cara bagaimana SC memeriksa cadangan korporat dan prospektus. Ini akan memberikan lebih kebaikan kepada pasaran seperti tempoh untuk mendapatkan kelulusan pengawalseliaan yang lebih singkat bagi penerbit, tempoh pendedahan yang lebih singkat bagi pelabur dan, secara am, proses penjanaan dana yang lebih berkesan kos.

“Pasaran akan mendapat faedah dalam pelbagai cara, salah satu contoh ialah tempoh masa untuk memproses cadangan korporat menjadi lebih singkat. Secara amnya, pertimbangan bagi kebanyakan cadangan korporat oleh SC akan menjadi lebih baik iaitu kepada lebih daripada 50%, dengan syarat maklumat lengkap dikemukakan. Sebagai contoh, penerbit boleh mengharapkan penerbitan hak mereka akan diluluskan dalam masa 21 hari pasaran berbanding satu hingga tiga bulan sekarang.

(Rujuk kepada jadual “Contoh Perbaikan yang Dijangkakan dalam Proses Penjanaan Modal”)

“Selepas itu, prospektus ringkas boleh didaftarkan dalam tempoh tujuh hari berbanding 45 hari sekarang. Bagi pembaharuan prospektus dana unit amanah, proses pendaftaran dan pengemukaan oleh SC akan dikurangkan kepada tujuh hari pasaran berbanding keperluan satu bulan sekarang sebelum tarikh penerbitan prospektus yang sedemikian,” kata Datuk Ali.

Beliau menambah “selain itu, syarikat boleh disenaraikan dalam tempoh 15 hari pasaran sebaik selepas prospektus telah didaftarkan, berbanding lebih daripada 25 hari pasaran sekarang”.

Di samping itu, peraturan sedia ada telah dipinda kepada, antara lainnya, menggalakkan penyenaraian syarikat yang mempunyai modal pasaran yang besar dan memudahcarakan penerbitan produk unit amanah, sekuriti hutang swasta dan waran opsyen beli. Dalam hal skim unit amanah, tumpuan diberikan kepada peningkatan budaya pematuhan yang lebih kukuh dalam industri unit amanah untuk melengkapkan fasa terakhir DBR.

Garis panduan SC berikut telah dikaji semula dan akan diterbitkan pada bulan Mac 2003 bagi memulakan pelaksanaan fasa terakhir DBR dan membawa rangka kerja penjanaan modal ke hadapan:

  • Polisi dan Garis panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti;
  • Garis panduan Nilaian Aset yang Dikemukakan kepada SC;
  • Garis panduan Prospektus;
  • Garis panduan Tawaran Sekuriti Hutang Swasta;
  • Garis panduan Tawaran Sekuriti Disokong Aset;
  • Garis panduan Penerbitan Waran Opsyen Beli; dan
  • Garis panduan Tabung Unit Amanah.

SC telah mengadakan rundingan secara menyeluruh dengan kumpulan industri berkaitan dan pihak berkepentingan. Datuk Ali berkata rundingan-rundingan tersebut amat penting kerana “semua pihak mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam DBR bagi mencapai pasaran yang lebih efisien”.

“Penasihat dan penerbit terutamanya, mesti memastikan pengemukaan cadangan korporat adalah lengkap dan memenuhi standard yang diperlukan. Pelabur pula, sepatutnya melabur dengan mata terbuka dan memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan dalam pelaburan mereka,” kata Datuk Ali.

DBR merupakan pendekatan peraturan berdasarkan pasaran yang memberi fokus kepada kualiti maklumat yang dizahirkan oleh penerbit apabila mereka menerbit, menawar atau menyenarai sekuriti untuk membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan berdasarkan maklumat.

SC telah melaksanakan DBR secara berperingkat sejak 1996 bawah program tiga-fasa di mana proses penilaian cadangan korporat bagi terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti telah dilonggarkan secara beransur-ansur sambil mengekalkan standard pengawalseliaan.

Penilaian kesediaan pasaran telah dilaksanakan oleh SC pada tahun 1999 dan 2002 dan ia menunjukkan pasaran, secara amnya, menyokong DBR.

Nota: Sehingga 50% perbaikan bagi masa untuk memproses cadangan korporat lain boleh dijangkakan.

*Termasuk penyemakan dan penyelesaian prospektus

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup