Penjelasan SC Tentang Tanggungjawab Peruntukan Saham

Kuala Lumpur, 14 April 1997

Sebahagian program pendidikan awam Suruhanjaya Sekuriti (SC) ialah menganjurkan seminar-seminar dan juga seminar bergerak ke seluruh negara secara tetap dan meluas. Maklumbalas yang diterima daripada program ini menunjukkan bahawa peranan yang dimainkan oleh SC berkaitan dengan peruntukan saham kepada pihak pengarah dan kakitangan syarikat, di bawah skim peruntukan saham berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) bagi syarikat-syarikat yang memohon penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah disalahtafsirkan. Satu tanggapan yang kurang benar dan sering ditimbulkan di antara beberapa pengarah dan kakitangan ialah SC mempunyai budi bicara dalam memastikan sesuatu jumlah saham yang hendak diperuntukkan kepada kakitangan dan (terutama sekali) pengarah syarikat berhubung dengan urusan IPO. Walaupun Dasar dan Garis Panduan Terbitan/ Tawaran Sekuriti (Garis Panduan) yang sedia ada, ada menjelaskan mengenai perkara ini, SC beranggapan bahawa ia perlu membuat penjelasan menerusi pihak media untuk memperbetulkan tanggapan yang salah ini. Manakala kedudukan berkaitan peruntukan saham yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera dan individu telah dijelaskan, tetapi bagi menyempurnakannya, SC berpendapat bahawa perkara ini perlu dijelaskan semula.

1. Peruntukan kepada Pengarah dan Kakitangan
Garis Panduan SC membenarkan semua syarikat pemohon, sebagai sebahagian daripada skim pengapungannya, untuk menyediakan peruntukan saham-saham kepada pengarah dan kakitangan syarikat serta syarikat induk yang terdekat selagi jumlah keseluruhan peruntukan saham tersebut tidak melebihi 5% daripada modal saham yang diperbesarkan. Setiap pengarah dan kakitangan yang layak akan diperuntukkan dengan sekurang-kurangnya 500 syer tetapi tidak melebihi 10,000 syer supaya mencapai peruntukan purata yang tidak melebihi 3,000 syer bagi setiap seorang. Sebarang syer yang tidak dilanggani oleh mana-mana pengarah atau kakitangan syarikat berkenaan akan ditawarkan kepada orang awam.

Pihak lembaga pengarah syarikat yang memohon memutuskan dasar dan kriteria kelayakan bagi peruntukan, tetapi kriteria kelayakan asas yang dinyatakan di dalam Garis Panduan hendaklah dipatuhi. Ia adalah seperti berikut:

  1. Semua pengarah eksekutif dan bukan eksekutif (melainkan mereka yang mewakili Kerajaan atau agensi-agensi Kerajaan dan mereka yang bertugas di dalam perkhidmatan awam) adalah layak untuk menyertai peruntukan saham syarikat;
  2. Semua kakitangan yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, berjawatan tetap dan telah bertugas dengan syarikat yang memohon sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum tarikh tamat peruntukan adalah layak untuk menyertai peruntukan saham;
  3. Kakitangan yang berwarganegara asing juga layak menerima peruntukan syer tertakluk kepada syarat jangkamasa perkhidmatan tertentu (iaitu kakitangan tersebut mestilah berkhidmat selama tidak kurang daripada (2) tahun dan dijangka akan terus bekerja dengan syarikat tersebut untuk sekurang-kurangnya setahun lagi) dalam syarikat tersebut.

Peruntukan juga boleh dibuat kepada orang-orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat yang memohon (seperti pembekal, pengedar, peniaga atau pelanggan) selama tempoh tidak kurang daripada tiga (3) tahun.

Sebaik sahaja cadangan peruntukan diluluskan, syarikat yang memohon akan terus memaklumkan kakitangan dan pengarahnya tentang hak dan kelayakan mereka, yang biasa dikenali sebagai kelayakan 'borang merah jambu' (pink form).

2. Peruntukan kepada Institusi dan Pelabur Bumiputera
Peruntukan saham kepada institusi dan pelabur Bumiputera, termasuk pengiktirafan terhadap para pelabur Bumiputera bagi memenuhi keperluan 30% ekuiti Bumiputera, adalah berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Kewangan untuk syarikat-syarikat yang berasaskan kewangan serta syrarikat-syarikat Kerajaan yang diswastakan. SC tidak terlibat di dalam menentukan pembahagian saham kepada institusi dan juga para pelabur Bumiputera.

3. Pengumpukan Saham kepada Kaum Bumiputera
Peranan SC adalah untuk memastikan bahawa bilangan saham yang disediakan untuk tawaran awam di bawah skim pengapungan adalah mencukupi, supaya membolehkan syarikat berkenaan memenuhi syarat-syarat pemegangan saham yang ditetapkan oleh Garis Panduan SC. Telah ditetapkan bahawa sekurang-kurangnya 30% daripada saham-saham yang ditawarkan haruslah diasingkan untuk masyarakat pelabur Bumiputera. Pemilihan terhadap pemohon yang berjaya adalah dikendalikan oleh rumah-rumah terbitan dan juga syarikat pemohon, melalui kaedah cabutan awam.
Dengan ini, SC ingin menegaskan bahawa kuasanya terhadap penerbitan sekuriti oleh syarikat-syarikat awam tidak seharusnya dikelirukan dengan peruntukan sebenar sekuriti-sekuriti yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat terbitan berdasarkan kriteria-kriteria yang tersebut di dalam Garis Panduan yang ditadbirkan oleh SC. Sebelum ini dan pada bila-bila masapun, SC tidak pernah dan tidak akan memegang sekuriti atau syer untuk diperuntukkan kepada orang ramai.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan oleh Unit Hal Ehwal Korporat. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Encik Izelan Basar (tel. no. 250 7511), Cik Nafizah Omar (tel No. 250 7550) atau Karen Michele De Cruz (tel. no. 259 7164)
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup