Peringatan - 31 Disember hari tanpa dagangan dan penyelesaian dagangan

Kuala Lumpur, 28 Disember 1999

Memandangkan peralihan ke Tahun 2000 hanya tinggal tiga hari lagi, Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengingatkan orang ramai bahawa 31 Disember 1999 adalah hari tanpa dagangan dan penyelesaian dagangan.

Sebagaimana yang telah diumumkan oleh SC (pada 29 Julai 1999), 31 Disember 1999 adalah hari tanpa dagangan dan penyelesaian dagangan bagi membolehkan bursa-bursa, depositori pusat dan rumah penjelasan mengemaskini pangkalan data mereka, menyediakan sokongan penuh bagi sistem pengkomputeran dan pangkalan data mereka serta menguji keupayaan pemulihan semula persediaan sokongan yang dibuat.

Pada kebiasaannya, proses penyediaan sokongan dan pengemaskinian ini akan berterusan sehingga bulan hadapan. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kehilangan data ketika tempoh kritikal Y2K, bursa-bursa dan rumah penjelasan akan beroperasi bagi memastikan data diproses sebelum menjelang tengah malam 31 Disember 1999.

SC juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa mereka boleh menghubungi Pusat Komunikasi Y2K (YCC) SC bagi pertanyaan mengenai Y2K yang berkaitan dengan pasaran modal. YCC boleh dihubungi di:

Telefon : 603-654 8906 / 8909 atau 603-651 5542
Faksimili : 603-651 5181 atau 603-653 3472
E-mel : [email protected]
atau
[email protected]

YCC telah ditubuhkan bagi mengawasi kesan yang timbul ke atas pasaran modal dari tempoh peralihan ke Tahun 2000. YCC juga merupakan pusat bagi pengendalian komunikasi bagi isu-isu Y2K untuk pasaran modal ketika tempoh peralihan tersebut. Dengan itu, YCC akan menjadi tempat penerimaan bagi semua pertanyaan berhubung Y2K berkaitan pasaran modal.

YCC akan beroperasi dari 30 Disember 1999 - 4 Januari 2000. Masa operasinya adalah seperti berikut:

30 Disember 1999
12:00 tengahari - 5:00 petang

31 Disember 1999 - 3 Januari 2000
24 jam bermula jam 8:00 pagi pada 31 Disember

4 Januari 2000
8:00 pagi - 5:00 petang

Persediaan SC bagi menghadapi kerumitan berkenaan isu Y2K ini telah bermula sejak tahun 1997. Institusi dan perantara pasaran modal telah pun berjaya menyempurnakan kerja ubah suai dan menjalankan ujian dalam yang ketat, ujian industri yang menyeluruh serta mempunyai pelan kontingensi yang diperlukan bagi menghadapi sebarang kerumitan isu Y2K yang tidak dapat dijangka. Dengan itu, SC ingin memberi jaminan kepada orang ramai dan para pelabur bahawa pasaran modal adalah bersedia menghadapi Y2K.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Pihak media yang memerlukan bantuan sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-654 8625 (Soh Beng Choo)/ 03-654 8184 (Azmi Hariss Ibrahim) atau faks: 03-651 5078 atau e-mel [email protected]


Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup