Perlantikan Jawatan Penting

Kuala Lumpur, 31 Mei 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan perlantikan Encik Wong Wing Seong sebagai Pengarah Bahagian Terbitan dan Pelaburan dan Encik Larry Seow Thiam Fatt sebagai Pengurus Besar Jabatan Pengawasan dan Pematuhan Laporan Kewangan. Kedua-dua perlantikan tersebut berkuatkuasa pada 1 Jun 2000.

En Wong menggantikan En Siow Kim Lun yang kini menjadi Pengarah Bahagian Pengawasan Pasaran SC sementara En Larry Seow menggantikan Datin Azizah bt Mohd Jaafar yang telah meninggalkan SC.

En Wong, seorang akauntan, sebelum ini merupakan Pengarah Pemulihan Korporat dan Penstrukturan Semula KMPG Corporate Services Sdn Bhd (KPMG), jawatan yang dipegangnya sejak 1995. Beliau telah bersama KPMG semenjak 1987.

Di sepanjang kerjayanya, En Wong mempunyai pengalaman yang luas dalam pelaksanaan penstrukturan semula hutang syarikat-syarikat yang bermasalah, memberi nasihat dan menyediakan syarikat bagi penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) serta hal-hal berkaitan kuasa penerima dan pembubaran syarikat.

Selaku Pengarah Terbitan dan Pelaburan SC, En Wong akan mengawasi terbitan sekuriti oleh syarikat awam terhad, dan/atau penyenaraian sekuriti tersebut di bursa saham, pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat dan semua hal berkaitan unit amanah serta skim kolektif yang lain.

En Wong memegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Perakaunan dari Royal Melbourne Institute of Technology. Beliau juga merupakan ahli Australian Society of Certified Practising Accountants (ASCPA).

En Larry Seow merupakan seorang akauntan. Sebelum perlantikan beliau dengan SC, beliau merupakan Pengarah Eksekutif Laris Management Services Sdn Bhd, sebuah syarikat jururunding korporat dan kewangan. Selama lebih daripada 20 tahun sebagai akauntan, En Larry Seow telah memegang berbagai jawatan seperti Rakan Kongsi Kanan Larry Seow & Co, Rakan Kongsi Urusan Moores and Rowland dan sebagai Rakan Kongsi Arthur Young (sekarang dikenali sebagai Ernst & Young). Beliau juga merupakan bekas Presiden Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA) dari 1987 hingga 1989.

Sebagai ketua Jabatan Pengawasan & Pematuhan Laporan Kewangan, En Larry Seow bertanggung jawab antara lainnya dalam membangunkan dan mengendalikan sistem pematuhan korporat menurut keperluan pelaporan perakaunan dan kewangan.

En Larry Seow, yang mendapat pendidikan peringkat tingginya di Curtin University (sebelum ini Perth Technical College), Australia Barat, merupakan seorang Fellow Institute of Chartered Accountants in Australia dan ASCPA. Beliau juga adalah Ahli Bersekutu Institute of Chartered Secretaries and Administrators.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup