Perlindungan Pelabur yang Lebih Baik dengan Pindaan Undang-undang Sekuriti

Kuala Lumpur, 7 Disember 2022

Perlindungan pelabur, sebagai asas pengawalseliaan pasaran modal, merupakan pemacu utama pindaan kepada undang-undang sekuriti baru-baru ini, yang menyaksikan berkuatkuasanya Akta Perindustrian Sekuriti (Pindaan) 2003 (SIA), Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2003, Akta Perindustrian Niaga Hadapan (Pindaan) 2003 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) (Pindaan) 2003, pada 5 Januari 2004.

Pindaan ketara yang diperkenalkan memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap kepentingan pelabur dan peningkatan kepada tadbir urus korporat. Pindaan tersebut merangkumi aspek-aspek daripada pengurusan dan kustodian dana pelanggan kepada pemberian maklumat serta tindakan sivil dan pentadbiran bagi pelanggaran undang-undang. Di samping itu, pindaan tersebut juga dikuatkuasakan untuk memberikan kerangka kawal selia yang lebih cekap, dan sehingga kini, peruntukan baru tersebut telah merasionalkan dan memperjelas skop pengawalseliaan, memperkukuh keupayaan penguatkuasaaan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan mempertingkat peruntukan berkaitan dengan urusan penjelasan dan penyelesaian di bursa.

Aspek-aspek penting pindaan tersebut termasuk:
Mempertingkat perlindungan aset pelanggan
Peruntukan berkaitan kustodian akaun amanah kini memerlukan pengurus dana melantik pihak ketiga kustodian untuk memegang aset pelanggan. Langkah lain yang menjurus ke arah melindungi aset pelanggan termasuk pemindahan aset pelanggan kepada pemegang amanah sekiranya aset berkenaan berada dalam kedudukan bahaya.
Memperkenalkan peruntukan pemberian maklumat (whistle blowing)
Pindaan tersebut memperkenalkan peruntukan pemberian maklumat dalam SIA yang bertujuan meningkatkan tadbir urus korporat dalam syarikat awam tersenarai. Pada umumnya, peruntukan pemberian maklumat disediakan bagi pelaporan atas pelanggaran undang-undang kepada pihak berkuasa berkaitan dan biasanya diwujudkan bagi memberikan perlindungan undang-undang kepada pemberi maklumat atas tindakan mereka mengetengahkan mana-mana salah laku. Dalam konteks SIA, peruntukan pemberian maklumat yang baru bertujuan membantu dalam menyekat penyalahgunaan korporat dan menggalakkan tadbir urus korporat yang baik di kalangan syarikat awam tersenarai. Peruntukan ini mengenakan tugas mandatori terhadap juruaudit untuk melaporkan pelanggaran undang-undang sekuriti dan peraturan bursa kepada pihak berkuasa berkaitan dan memberikan seseorang juruaudit perlindungan statutori daripada mana-mana tindakan di mahkamah di mana sesuatu laporan telah dibuat dengan niat yang baik.
Tanggungjawab yang sama tidak dikenakan ke atas pegawai sesebuah syarikat seperti ketua eksekutif, ketua pegawai kewangan dan juruaudit dalaman untuk melaporkan salah laku oleh syarikat, tetapi di mana seseorang pegawai membuat penzahiran dengan niat yang baik dan dalam bidang tugasnya, peruntukan tersebut memberikannya perlindungan terhadap tindakan balas dalam bentuk pemecatan, gangguan atau diskriminasi di tempat kerja atau mana-mana tindakan mahkamah.
Memperkukuh kerangka mengenai nasihat pelaburan
SIA juga telah dipinda untuk menyeragamkan keperluan bagi lesen nasihat pelaburan bagi menunjukkan gambaran yang lebih baik berkenaan bidang aktiviti nasihat pelaburan dalam pasaran modal. Seseorang penasihat pelaburan mengikut takrifan terkini, adalah termasuk mana-mana individu yang aktivitinya membabitkan analisis keadaan kewangan individu lain dan penyediaan pelan kewangan untuk memenuhi keperluan dan objektif individu tersebut. Oleh yang demikian, individu yang bertindak atau mewakili diri mereka sebagai perancang kewangan dikehendaki berlesen sebagai penasihat pelaburan di bawah SIA.
(sila rujuk kepada Guidelines for Application for Investment Adviser's and Investment Representative's Licences under the Securities industry Act 1983 (SIA)
Mempertingkat kuasa tindakan sivil dan pentadbiran
Pindaan kepada seksyen 100 SIA memperluas skop situasi yang mana SC boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi pelbagai perintah di bawah peruntukan tersebut. Kini seksyen ini boleh digunakan di mana terdapat mana-mana pelanggaran undang-undang sekuriti, syarat-syarat pengeluaran sesuatu lessen di bawah undang-undang atau peraturan bursa. Pindaan tersebut juga memberikan peluasan kepada skop remedi sivil yang mana boleh diguna pakai oleh SC dalam kes kepada Mahkamah Tinggi. Ini termasuk perintah menghendaki seseorang individu membuat pemulangan bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan olehnya. Pindaan ini juga mempertingkat remedi sivil yang tersedia kepada bursa, rumah penjelasan dan depositori pusat jika terdapat pelanggaran peraturan.
Oleh kerana peruntukan ini boleh digunakan oleh pelabur yang mengalami kerugian akibat pelanggaran undang-undang, pindaan ini dilihat sebagai kaedah yang berpotensi bagi litigasi persendirian oleh pelabur yang terlibat.
Pindaan tersebut juga mempertingkat keupayaan SC untuk mengambil tindakan pentadbiran dengan memperluas skop kuasa sedia ada dan mengembangkan remedi pentadbiran tersedia kepada SC. Ini telah tercapai dengan pindaan kepada seksyen 11 dan 28B SIA.
Memperkukuh urusan penjelasan dan penyelesaian
Bahagian Part XA SIA yang baru telah diperkenalkan untuk memastikan integriti sistemik urusan penjelasan dan penyelesaian rumah penjelasan yang diiktiraf. Peruntukan tersebut bertujuan memastikan penyelesaian dagangan yang dilaksanakan di bursa tidak terjejas dalam situasi ketakmampuan bayar mana-mana peserta pasaran yang merupakan pihak dalam dagangan tersebut.
Bagi maklumat lanjut, satu set soalan lazim (FAQs) mengenai pindaan kepada undang-undang sekuriti boleh didapati di sini. Set pindaan tersebut juga boleh dibeli di Khidmat Korporat Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) (tel: 03- 6204 8667/8669). Undang-undang yang dipinda tersebut boleh didapati di tapak web SC dalam masa terdekat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup