Salah satu inisiatif tersebut adalah kerjasama dengan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), sebuah Pusat Bebas yang Diiktiraf di Universiti Oxford, UK bagi Program Sarjana Tamu (Scholar in Residence - SIR) dalam Kewangan Islam. Di bawah program ini, ahli akademik atau pengamal kewangan Islam akan bertugas sebagai sarjana tamu di OCIS untuk menjalankan penyelidikan gunaan ke atas topik isu-isu kontemporari dalam kewangan Islam, terutamanya yang berkaitan dengan pasaran modal Islam.
Sehubungan ini, SC mempelawa permohonan bagi Felo Pelawat kesembilan di bawah program SIR dalam kewangan Islam bagi tahun akademik 2020/21 bermula Oktober 2020. Pemohon mestilah mempunyai pengalaman yang luas dalam kewangan Islam dan/atau bidang yang berkaitan, dan mampu menunjukkan kebolehan untuk menjalankan kajian akademik secara bebas. Tarikh tutup untuk mengemukakan permohoan adalah pada 3 Februari 2020.
Sarjana yang terpilih akan memulakan program tamu di Oxford untuk menjalankan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti akademik di OCIS. Di samping itu, Felo Pelawat juga hendaklah menyampaikan syarahan dan mengelolakan seminar, terbabit dalam kajian secara kerjasama dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.
Program SIR dimulakan pada 2012 berikutan resolusi yang dicapai ketika Sidang Meja Bulat SC-OCIS mengenai Kewangan Islam, satu acara tahunan utama. Ia telah menerima sambutan di peringkat global dari pelbagai negara, mewakili kepelbagaian dan penerimaan terhadap kewangan Islam di seluruh dunia.
Untuk butiran lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Visiting Fellowship di laman sesawang OCIS di
www.oxcis.ac.uk.