Program SIR merupakan inisiatif untuk menjalankan penyelidikan lanjut ke atas isu-isu kontemporari dalam Kewangan Islam. Program tersebut telah dibangunkan pada tahun 2012 susulan resolusi yang dibuat di Sidang Meja Bulat SC-OCIS, acara tahunan utama di bawah usaha sama SC dan OCIS. Sejak dilancarkan, tiga sarjana telah berjaya menyiapkan penyelidikan mereka mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan kewangan Islam, manakala sarjana keempat kini masih menjalani tempoh beliau sebagai Felo Pelawat.
Program ini, serta kerjasama meluas bersama OCIS, merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kepimpinan pemikiran dan pembinaan kapasiti SC untuk memacu pembangunan pasaran modal Islam di peringkat global. Selain bekerjasama dengan institusi-institusi global seperti OCIS, SC juga menjalankan inisiatif lain, termasuk penerbitan buku dan kajian kes, menjalankan penyelidikan gunaan dan menawarkan program pembangunan profesional, untuk meningkatkan keupayaan dan menggalakkan lagi inovasi dalam industri.
Pemohon dan calon bagi Felo Pelawat di bawah Program SIR mestilah mereka yang pakar dalam kewangan Islam dan/atau dalam bidang yang berkaitan, terutama yang mempunyai pengalaman dalam membuat dasar dengan mana-mana badan antarabangsa atau yang setara. Pemohon mestilah boleh menunjukkan kecekapan dalam menjalankan penyelidikan akademik secara bebas. Tarikh tutup pengemukaan permohonan adalah pada Ahad Januari 24, 2016.
Calon Sarjana yang berjaya dikehendaki melapor diri di Oxford pada Oktober 2016 bagi tahun akademik 2016/17, dan menjalankan penyelidikan ke atas satu topik yang berkaitan dengan pembangunan kewangan Islam kontemporari yang relevan dengan bidang ini, dan juga menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS. Di samping itu, Felo Pelawat tersebut akan menyampaikan ceramah dan mengendalikan seminar, terlibat dalam kajian bersama, jika dikehendaki, sebagai usaha menjalin hubungan bersama institusi yang berkaitan dan komuniti tempatan.
Tempoh bagi felo tersebut adalah selama satu tahun akademik. Felo Pelawat yang terpilih akan diberikan keahlian Pusat Pengajian tersebut dan mempunyai akses penuh kepada kemudahannya termasuk ruang pejabat secara berkongsi. Geran sebanyak 10,000 pound sterling (£10,000) akan diberikan sebagai sara hidup, perbelanjaan perjalanan dan penyelidikan Felo Pelawat.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program SIR tersebut, borang permohonan yang boleh dimuat turun dan panduan untuk memohon, sila rujuk bahagian Fellowships di www.oxcis.ac.uk. Permohonan dan pencalonan juga boleh dihantar terus kepada Mr Richard Weyers, Deputy Registrar, Oxford Centre for Islamic Studies,
e-mel: [email protected]k sebelum 24 Januari 2016.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA