Program SIR merupakan inisiatif untuk kajian mengenai isu-isu semasa dalam kewangan Islam yang telah ditubuhkan pada tahun 2012 berikutan resolusi yang dibuat pada tahun sebelumnya di Sidang Meja Bulat SC-OCIS, acara tahunan utama di bawah kerjasama SC dan OCIS. Sejak program ini dilancarkan, dua orang Sarjana telah menjadi tamu di OCIS dan berjaya menyelesaikan kajian mereka dalam isu-isu semasa yang berkaitan dengan kewangan Islam, manakala Sarjana ketiga masih merupakan Felo Pelawat di OCIS.
Pemohon dan calon-calon untuk Felo Pelawat di bawah Program Sarjana Tamu mestilah merupakan pakar dalam kewangan Islam atau bidang yang berkait rapat, terutama mereka yang mempunyai pengalaman praktikal dalam pembentukan dasar dengan organisasi antarabangsa atau yang setaraf dan mesti mampu menunjukkan kebolehan untuk menjalankan kajian akademik secara bebas. Tarikh tutup penyertaan ialah Jumaat, 23 Januari 2015.
Sarjana terpilih hendaklah memulakan program tamu di Oxford pada Oktober 2015 untuk tahun akademik 2015/16, dan melakukan kajian yang berkaitan dengan pembangunan kewangan Islam dalam topik kontemporari yang berkenaan dengan bidang ini, serta turut menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS. Selain itu, Felo Pelawat juga hendaklah memberi syarahan dan mengelola seminar, melibatkan diri dalam kajian secara kerjasama, dan, apabila diminta, menyumbangkan tenaga kepada institusi-institusi berkenaan dan masyarakat setempat.
Tempoh program ini ialah satu tahun akademik. Felo Pelawat yang berjaya akan memiliki keahlian Pusat ini dan menikmati akses penuh kepada kemudahan-kemudahan termasuk ruang pejabat secara berkongsi. Geran sebanyak 10,000 pound sterling (£10,000) akan disumbangkan sebagai memenuhi kos sara hidup, perjalanan, dan perbelanjaan sampingan pengkajian.
Untuk maklumat lanjut tentang Program SIR, memuat turun borang dan membaca arahan tentang cara permohonan, sila lihat di bawah ‘Fellowships’ di www.oxcis.ac.uk. Permohonan dan pencalonan juga boleh diemel terus kepada Mr Richard Weyers, Deputy Registrar, Oxford Centre for Islamic Studies, emel:
[email protected] sebelum 23 Januari 2015.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA