Pernyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Perkembangan dalam Mesyuarat ke-10 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3)

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 12 Mei 2023

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuarat yang ke-10 pada 9 Mei 2023 bagi mengkaji semula perkembangan respons sektor kewangan terhadap risiko berkaitan iklim serta inisiatif berkaitan yang disokong oleh JC3.

Sokongan terhadap pelaksanaan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-Based Taxonomy, CCPT) yang boleh dipercayai, konsisten dan boleh diharap terus menjadi salah satu keutamaan penting JC3. Institusi kewangan terus mempunyai pelbagai amalan apabila membuat pengelasan aset dan pelaburan. Usaha JC3 untuk menerbitkan panduan dalam bentuk Soalan Lazim, mengembangkan kes penggunaan serta membangunkan kriteria usaha wajar dan saringan membantu menyeragamkan amalan ini. Walau bagaimanapun, JC3 mengambil maklum bahawa perkara ini perlu dilengkapi dengan usaha yang lebih giat bagi menangani jurang data yang wujud serta menyokong bina upaya dalam kalangan perniagaan untuk menilai kesan operasi mereka ke atas hasil iklim (climate outcomes) dan alam sekitar. JC3 meletakkan sasaran untuk menyelesaikan sebahagian besar usaha menyelaraskan amalan dalam melaksanakan CCPT ini menjelang akhir tahun 2023.

Berikutan penerbitan standard penzahiran umum berkaitan kelestarian (S1) dan berkaitan iklim (S2) tidak lama lagi oleh International Sustainability Standards Boards (ISSB), JC3 akan menyemak semula Panduan Permohonan TCFD1 untuk Institusi Kewangan Malaysia2 yang disiarkan pada bulan Jun 2022 bagi mengambil kira keperluan di bawah standard baharu ini. Memandangkan Standard ISSB adalah selaras dengan saranan TCFD, Panduan Permohonan ini akan terus menjadi rujukan praktikal yang berguna kepada institusi kewangan di Malaysia, khususnya bagi menyokong penzahiran kelestarian dan penzahiran berkaitan iklim yang dipertingkat.

Ahli JC3 turut membincangkan mengenai kemas kini pelaksanaan tiga projek rintis hijau awal dan beberapa inisiatif pasaran modal yang disokong oleh JC3 yang bertujuan untuk mengembangkan kewangan mampan dan kewangan peralihan. Projek dan inisiatif ini memberikan tumpuan pada usaha menghijaukan rantaian bekalan, meningkatkan penerapan teknologi hijau dalam sektor pertanian, meningkatkan daya tahan iklim melalui insurans banjir parametrik serta menyokong pembangunan pasaran sukuk dan bon yang mampan.

Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, ”Apabila Malaysia beralih ke arah ekonomi rendah karbon dan masa depan yang lebih lestari, adalah penting bagi syarikat dan institusi kewangan untuk memainkan peranan mereka bagi memudahkan peralihan ini. JC3, melalui inisiatifnya, sedang aktif mengkaji cara untuk membantu syarikat beralih ke arah ekonomi rendah karbon secara adil dan teratur serta pada masa yang sama menyokong institusi kewangan mempercepat peruntukan modal untuk syarikat yang menunjukkan hala tuju peralihan iklim yang boleh dipercayai.”

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan keutamaan pada strategi dan penyelesaian yang menyokong peralihan PKS, Kumpulan Fokus PKS telah ditubuhkan dalam JC3. Tumpuan segeranya adalah untuk meningkatkan kesedaran, mengurangkan kos peralihan dalam bidang pensijilan hijau dan memudahkan penzahiran yang lebih baik oleh PKS.

Jessica Chew, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, ”Sebanyak 60% PKS yakin bahawa pengukuhan amalan ESG3 boleh meningkatkan peluang perniagaan dan mencipta nilai jangka panjang. Walau bagaimanapun, hanya 28% PKS telah menerapkan elemen amalan ESG dalam perniagaan4  mereka. Penubuhan Kumpulan Fokus PKS akan membolehkan JC3 mengambil pendekatan yang lebih tertumpu dan bersasar dalam usaha menangani isu dan cabaran khusus yang dihadapi oleh PKS bagi mengurangkan jurang ini.”

Persidangan utama mengenai perubahan iklim JC3 yang dianjurkan dua tahun sekali akan didakan pada bulan Oktober 2023. Persidangan serantau ini akan menghimpunkan pelbagai pakar iklim, penasihat, penginovasi serta pengamal untuk membincangkan penggunaan praktikal kewangan iklim dan kewangan alam semula jadi bagi membantu sektor kewangan dan pelanggannya beralih daripada teori kepada amalan. Maklumat lanjut mengenai Persidangan ini akan dimaklumkan kemudian kepada orang ramai.

JC3 terus mengadakan libat urus dan bekerjasama secara aktif dengan kementerian dan agensi Kerajaan yang berkaitan serta persatuan industri bagi menggalakkan tindak balas sektor kewangan terhadap risiko berkaitan iklim yang lebih selaras dengan strategi kebangsaan dan perniagaan. Pada mesyuarat ini, ahli JC3 mengalu-alukan perbincangan berhubung dengan pembentangan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Ekonomi mengenai rancangan dan garis masa berkaitan iklim. Keutamaan dan garis masa ini memberikan sektor kewangan lebih kefahaman dan penghayatan mengenai keutamaan Kerajaan.

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia


  1. Pasukan Petugas Mengenai Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim
  2. Dikeluarkan oleh JC3 pada tahun 2022
  3. Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus
  4. “ESG Insights from Malaysian SMEs: Building A Better Future Together” by Alliance Bank in partnership with UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) and SME Corporation Malaysia (SME Corp)
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup