Perpindahan Pengendalian bagi Penerbitan Sekuriti Hutang Persendirian (PDS) dan Pendaftaran Prospektus yang Berkaitan dengan PDS

Kuala Lumpur, 24 Jun 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan perpindahan pengendalian bagi penerbitan sekuriti hutang persendirian (PDS) dan pendaftaran prospektus yang berkaitan dengan PDS. Ini adalah bagi membolehkan para penerbit dan penasihat menyesuaikan diri dengan rejim penjanaan dana baru yang akan digunakan berikutan berkuatkuasanya pindaan kepada undang-undang sekuriti, syarikat dan perbankan. Pindaan-pindaan tersebut akan menjadikan SC pihak berkuasa yang meluluskan bagi PDS mana-mana syarikat (selain daripada PDS kelab-kelab rekreasi yang tidak tersenarai) dan pihak berkuasa yang mendaftarkan prospektus berkaitan PDS tersebut pada 1 Julai 2000.

Perpindahan pengendalian ini telah dirumuskan selepas perundingan dengan pelbagai industri dan badan-badan profesional.

A. Di mana kelulusan BNM telah diberikan pada atau sebelum 30 Jun 2000

Sekiranya satu-satu permohonan bagi terbitan PDS telah dibuat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan kelulusan BNM telah diberikan pada atau sebelum 30 Jun 2000 DAN hanya apabila penerbitan PDS tersebut berlaku dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan BNM:

  • Penerbit tidak perlu mematuhi Garis Panduan baru SC mengenai Sekuriti Hutang Persendirian (Garis Panduan PDS);
  • Penerbit tidak perlu mematuhi Garis Panduan SC mengenai Kandungan Minimum Surat Ikatan Amanah. Walaubagaimanapun, penerbit mesti mematuhi keperluan AktaSyarikat yang berkaitan surat ikatan amanah dan/atau keperluan penyenaraian bursa-bursa yang berkenaan; dan
  • Penerbit tidak perlu mematuhi Garis Panduan baru SC mengenai Prospektus bagi Debentur. Walau bagaimanapun, penerbit mesti mematuhi keperluan Akta Syarikat 1965 yang berkaitan dengan prospektus dan/atau keperluan penyenaraian bursa-bursa yang berkenaan.

Penerbit-penerbit yang tertakluk kepada perenggan (b) atau (c) mesti mendapatkan surat kelulusan daripada SC untuk mendapatkan pengecualian yang diberikan.

Dalam kes di atas, SC akan memberikan kelulusan dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh permohonan bagi pengecualian oleh penerbit.

B) Di mana pengemukaan penuh telah dibuat kepada BNM pada atau sebelum 30 Jun 2000 tetapi kelulusan BNM belum diperolehi pada atau sebelum 30 Jun 2000

Sekiranya satu-satu permohonan penuh bagi terbitan PDS telah dibuat kepada BNM pada atau sebelum 30 Jun 2000 tetapi kelulusan BNM belum lagi diperolehi pada atau sebelum 30 Jun 2000, DAN hanya apabila penerbitan PDS tersebut berlaku dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan SC:

  • Penerbit mesti mematuhi Garis Panduan PDS baru SC;
  • Penerbit tidak perlu mematuhi Garis Panduan SC mengenai Kandungan Minimum Surat Ikatan Amanah. Walaubagaimanapun, penerbit mesti terus mematuhi keperluan Akta Syarikat 1965 yang berkaitan dengan surat ikatan amanah dan/atau keperluan penyenaraian bursa-bursa yangberkenaan; dan
  • Penerbit tidak perlu mematuhi Garis Panduan baru SCmengenai Prospektus bagi Debentur. Walau bagaimanapun, penerbit mesti mematuhi keperluan Akta Syarikat 1965 yang berkaitan dengan prospektus dan/atau keperluan penyenaraian bursa-bursa yang berkenaan.

Penerbit-penerbit yang tertakluk di bawah perenggan (b) atau (c) mesti mendapatkan surat kelulusan daripada SC untuk mendapatkan pengecualian yang diberikan.

Dalam kes di atas, SC akan memberikan kelulusan dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh pematuhan Garis Panduan PDS baru SC.

C) Permohonan yang dibuat selepas 30 Jun 2000

Sekiranya satu-satu permohonan dikemukakan selepas 30 Jun 2000, penerbit mesti mematuhi:

  • Garis Panduan PDS baru SC;
  • Garis Panduan SC mengenai Keperluan Kandungan Minimumbagi Surat Ikatan Amanah;
  • Garis Panduan SC mengenai Prospektus bagi Debentur; dan
  • semua keperluan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

SC menjangka untuk menerbitkan garis panduan barunya mengenai Sekuriti Hutang Persendirian (Garis Panduan PDS), Garis Panduan Kandungan Prospektus bagi Debentur dan Garis Panduan mengenai Keperluan Kandungan Minimum Surat Ikatan Amanah sebelum penghujung Jun 2000.

Berkenaan dengan perpindahan pengendalian bagi terbitan ekuiti dan yang berkaitan dengan ekuiti serta pendaftaran prospektus, SC telah pun memberitahu bursa-bursa saham yang berkenaan, para penasihat, pihak industri dan badan-badan profesional serta rumah-rumah terbitan mengenainya bagi memastikan perpindahan pengendalian yang lancar dan mengurangkan beban berlebihan ke atas para penerbit.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup