Pesalah skim ponzi dipenjara
10 Januari 2011   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini berjaya mendapatkan hukuman berat ke atas Raja Noor Asma Raja Harun, pengarah FX Capital Consultant dan FX Consultant, kerana menjalankan skim ponzi yang telah menipu lebih 4000 pelabur membabitkan lebih daripada RM100 juta.

Hukuman lima tahun penjara dan denda sebanyak RM5 juta (atau enam bulan penjara) yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, merupakan antara hukuman paling berat ke atas pesalah pasaran modal, menggambarkan betapa seriusnya kesalahan tersebut.

Pada 21 Disember 2010, selepas pihak pendakwa memanggil 18 saksi, Raja Noor Asma mengaku bersalah terhadap empat tuduhan penipuan kerana menggunakan satu skim untuk menipu pelabur dan berdagang dalam kontrak niaga hadapan bagi pihak mereka tanpa lesen.

Siasatan SC mendapati bahawa lebih daripada RM100 juta telah dijana daripada kira-kira 4,000 pelabur di seluruh Malaysia di antara Februari 2007 dan Mei 2008 dengan alasan bahawa wang itu akan digunakan untuk dagangan dalam Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah.

Kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, Raja Noor Asma turut disabitkan kesalahan terhadap 50 tuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan dihukum dua tahun penjara bagi setiap tuduhan AMLATFA tersebut, yang berjalan serentak. Mahkamah memerintahkan supaya hukuman dua tahun penjara tersebut dijalankan selepas selesai menjalani hukuman lima tahun penjara yang dikenakan atas tuduhan penipuan.

Mahkamah juga memerintahkan supaya kira-kira RM8.3 juta yang dibekukan bawah AMLATFA supaya dirampas.

SC, yang menjalankan perbicaraan bersama Kamar Peguam Negara, menggesa mahkamah supaya mengenakan hukuman berat memandangkan skim tersebut membabitkan jumlah besar dana pelabur.

Hukuman penjara yang dikenakan oleh mahkamah menjadi amaran keras kepada mereka yang ingin melakukan kesalahan sama pada masa akan datang bahawa perbuatan mencabuli amanah orang ramai tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi luar biasa. Para pelabur juga diingatkan supaya hanya melabur dengan individu atau syarikat yang diberi lesen oleh SC.

SC kekal komited dalam melindungi pelabur dan mengekalkan keyakinan orang ramai dalam pasaran modal, dan akan terus mengambil pelbagai langkah bagi menentang aktiviti pelaburan tidak sah yang mengancam pelabur dan pasaran modal Malaysia.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup