Pindaan Dan Butir-Butir Terkini Kepada Polisi Dan Garispanduan Bagi Terbitan/Tawaran Sekuriti

Kuala Lumpur, 1 Julai 1997

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan sukacitanya mengumumkan pindaan dan butir-butir terkini kepada Polisi dan Garispanduan bagi Terbitan/Tawaran Sekuriti ("Policies and Guidelines on Issue/Offer of Securities") [disebutkan sebagai Garispanduan Terbitan]. Garispanduan Terbitan, yang telah berkuatkuasa mulai dari 1 Januari 1996, pada amnya mengemukakan keperluan-keperluan SC yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat awam (dan juga penasihat-penasihat mereka) sebelum memulakan cadangan-cadangan korporat. Pindaan dan butir-butir terkini yang telah dibuat merangkumi maklum-balas yang diterima daripada industri serta rekod operasi kegiatan-kegiatan korporat. Pindaan dan butir-butir terkini tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kajian semula yang dibuat ke atas Garispanduan Terbitan untuk mempromosikan pertumbuhan dan pembangunan yang teratur bagi pasaran modal Malaysia.

2. Pindaan dan butir-butir terkini yang telah dibuat adalah seperti berikut:-
i. Penyenaraian Berangkai
Bagi penyenaraian anak-anak syarikat/syarikat-syarikat bersekutu sebuah syarikat induk yang tersenarai, tahap nilai ambang sumbangan keuntungan selepas cukai dan/atau aset-aset ketara bersih kini dinaikkan dari 35% ke 50%.
ii. Jaminan Keuntungan/Kegiatan Berterusan dalam Pengurusan
Pihak-pihak yang memberi jaminan keuntungan bagi kes-kes penyenaraian terus ataupun pengambilalihan akas/penyenaraian pintu-belakang kini tidak perlu memberi akujanji yang mereka tidak akan menyebabkan pencairan yang signifikan ke atas pegangan saham mereka. Pihak-pihak yang terbabit, walau bagaimanapun, tetap perlu memberi akujanji yang mereka akan terus bergiat dalam pengurusan syarikat bagi tempoh tiga (3) tahun dari tarikh penyenaraian syarikat di Papan Utama atau Papan Kedua, ataupun dari tarikh perolehan selesai dilaksanakan, yang mana berkaitan.
Di samping itu, semua syarikat-syarikat yang memohon untuk disenaraikan secara terus di Papan Kedua kini perlu memberi jaminan keuntungan secara jaminan bank dan tidak lagi diberi pilihan di antara jaminan keuntungan dan halangan ke atas pelupusan syer.
iii. Tebaran Pegangan Saham
Bagi tujuan pematuhan terhadap syarat 25% tebaran pegangan saham awam untuk tawaran awam permulaan, pegangan saham yang dipegang oleh sekutu-sekutu pemegang-pemegang saham utama tidak boleh diambil kira. Sekutu-sekutu yang dimaksudkan adalah mereka di bawah kategori-kategori seperti berikut:-
  • Sesebuah badan korporat yang berkaitan;
  • Seseorang di mana adalah menjadi kebiasaan ataupun suatu obligasi, sama ada formal atau tidak formal, untuk bertindak mengikut arahan, perintah ataupun hasrat pemegang saham utama;
  • Seseorang yang mana arahan, perintah ataupun hasratnya adalah menjadi kebiasaan ataupun suatu obligasi kepada pemegang saham utama, sama ada formal atau tidak formal, untuk bertindak;
  • Sesebuah badan korporat, ataupun pengarah-pengarah badan korporat tersebut, di mana adalah menjadi kebiasaan ataupun suatu obligasi, sama ada formal atau tidak formal, untuk bertindak mengikut arahan, perintah ataupun hasrat pemegang saham utama; atau
  • Sesebuah badan korporat, ataupun pengarah-pengarah badan korporat tersebut, di mana arahan, perintah ataupun hasratnya adalah menjadi kebiasaan ataupun suatu obligasi kepada pemegang saham utama, sama ada formal atau tidak formal, untuk bertindak.
iv. Peruntukan Sekuriti Kepada Pekerja-Pekerja Asing
Pekerja-pekerja asing yang bermastautin di negara-negara bukan asal mereka dibenarkan untuk mengambil bahagian di dalam skim-skim peruntukan syer "pink-form" sekiranya mereka telah berkhidmat secara sepenuhnya dengan syarikat yang memohon untuk disenaraikan, anak-anak syarikat yang beroperasi ataupun syarikat induk yang terdekat selama sekurang-kurangnya dua (2) tahun berturut-turut dan dijangka akan terus berkhidmat untuk sekurang-kurangnya satu (1) tahun lagi.
v. Pemindahan ke Papan Utama
Kelonggaran kini diberi ke atas pematuhan terhadap keperluan arah aliran keuntungan yang meningkat bagi syarikat-syarikat Papan Kedua yang ingin berpindah ke Papan Utama, tertakluk kepada pematuhan terhadap syarat-syarat berikut:-
  • Syarikat mencapai ramalan keuntungan bagi tahun penuh pertama selepas penyenaraiannya dan tahap keuntungan tersebut hendaklah sekurang-kurangnya dikekalkan pada tahap yang sama bagi tahun-tahun yang berikutnya; dan
  • Sekiranya terdapat kemerosotan dalam keuntungan sebenar bagi tahun-tahun yang berikutnya,
- kemerosotan tersebut hendaklah tidak melebihi 10% daripada ramalan keuntungan, dan, sekiranya kemerosotan tersebut melebihi 10%, prestasi pendapatan syarikat (diukur dari segi pulangan dana pemegang saham dan penunjuk-penunjuk kewangan yang lain) hendaklah setanding dengan tahap purata industri;
- kemerosotan tersebut berlaku hanya bagi satu (1) tahun daripada tahun-tahun rekod trek dan telah diimbangi pada tahun-tahun yang berikutnya oleh pencapaian keuntungan sebenar yang lebih tinggi daripada keuntungan yang dicapai sebelum tahun di mana kemerosotan tersebut berlaku; dan
- kemerosotan tersebut tidak disebabkan oleh kelemahan struktur yang wujud di dalam syarikat.
Syarikat-syarikat Papan Kedua yang terlibat dalam cadangan-cadangan pengambilalihan akas/penyenaraian pintu-belakang hanya boleh berpindah ke Papan Utama apabila aset-aset baru yang dimasukkan mematuhi keperluan-keperluan rekod trek Papan Utama ataupun apabila perniagaan utama yang asal syarikat-syarikat Papan Kedua mematuhi keperluan biasa bagi pemindahan ke Papan Utama.
vi. Penyenaraian Syarikat-Syarikat Pembangunan Harta Tanah
Penyenaraian terus syarikat-syarikat pembangunan harta tanah hanya dibenarkan di Papan Utama. Syarikat-syarikat/projek-projek pembangunan harta tanah yang dimasukkan ke dalam sesebuah syarikat tersenarai melalui pengambilalihan akas dan/atau penyenaraian pintu-belakang mestilah mematuhi syarat-syarat yang berikut:-
  • Syarikat/projek pembangunan harta tanah yang dimasukkan ke dalam sesebuah syarikat Papan Utama ataupun Papan Kedua hendaklah mempunyai keuntungan yang berpatutan bagi tiga (3) tahun yang lampau dengan agregat minimum keuntungan selepas cukai sebanyak RM15 juta;
  • Pendapatan selepas cukai purata sesyer yang dijangka (untuk jangkamasa ramalan/unjuran) bagi syarikat tersenarai selepas perolehan tidak boleh kurang daripada 15% nilai tara berdasarkan pencairan penuh; dan
  • Syarikat/projek pembangunan harta tanah hendaklah mempunyai prospek keuntungan masa hadapan yang baik dan hendaklah semasa permohonan dibuat mempunyai bank tanah yang mencukupi di lokasi-lokasi yang baik ataupun di kawasan-kawasan membangun bagi mengekalkan pembangunan dan pendapatan di tahap yang berpatutan untuk jangkamasa melebihi lima (5) tahun (di mana sekurang-kurangnya 30% daripada harga tanah hendaklah ditukar kepada status pembangunan semasa permohonan dibuat).
vii. Penempatan Tertutup Sekuriti
Harga terbitan syer-syer di bawah penempatan tertutup hendaklah kini berdasarkan harga purata pasaran syer-syer bagi lima (5) hari yang lepas sebelum penempatan dilakukan, dan bukannya berdasarkan harga purata pasaran syer-syer bagi lima (5) hari yang lepas ataupun harga penutup sebelum penempatan dilakukan, yang mana lebih rendah. Di mana berpatutan, diskaun sehingga 10% akan dibenarkan.
Untuk memudahkan sebuah syarikat tersenarai untuk membuat penempatan dengan lebih cepat di bawah keadaan pasaran yang menggalakkan, penempatan tertutup "back-to-back", yang melibatkan seseorang pemegang saham utama menjual syer-syernya yang sedia ada di dalam syarikat kepada "placee" dan syarikat kemudiannya menerbitkan syer-syer baru kepada pemegang saham utama tersebut, boleh dibenarkan untuk dibuat oleh syarikat-syarikat Papan Utama yang besar, tertakluk kepada pematuhan terhadap beberapa syarat seperti berikut:-
  • Syarikat hendaklah memberi alasan-alasan yang wajar bagi keperluan dana yang segera;
  • Hasil kutipan daripada penjualan syer-syer yang akan diperolehi oleh pemegang saham utama yang terbabit hendaklah disimpan di dalam akaun "escrow" dan kesemua faedah-faedah yang akan diperolehi di dalam akaun "escrow" yang disebutkan, sekiranya ada, hendaklah dimiliki oleh syarikat; dan
  • Pemegang saham utama yang terlibat dalam penempatan tertutup "back-to-back" tersebut hendaklah memberi akuan kepada SC bahawa beliau/ianya tidak akan memperolehi apa-apa faedah daripada rancangan penempatan tertutup tersebut.
viii. Pengambilalihan Akas dan/atau Penyenaraian Pintu-Belakang Syarikat Khidmat Kewangan
Syarikat-syarikat khidmat kewangan tidak dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam syarikat-syarikat Papan Kedua di bawah cadangan-cadangan pengambilalihan akas dan/atau penyenaraian pintu-belakang. Ini adalah selaras dengan polisi SC yang sedia ada di mana syarikat-syarikat khidmat kewangan hanya boleh disenaraikan di Papan Utama.
ix. Transaksi Di Antara Pihak Yang Berkaitan
Pihak yang berkaitan kini termasuk pihak-pihak yang berikut:-
  • Seorang pengarah syarikat bersekutu kepada syarikat awam yang tersenarai; dan
  • Sebuah syarikat bersekutu kepada badan korporat yang menjadi pemegang saham utama ataupun sebuah syarikat bersekutu kepada syarikat induk pemegang saham utama tersebut.
Pengecualian daripada mematuhi keperluan-keperluan bagi transaksi-transaksi di antara pihak-pihak yang berkaitan di bawah Bab 20 Garispanduan Terbitan kini diberi kepada dua (2) situasi tambahan, seperti berikut:-
  • Situasi di mana transaksi di antara pihak yang berkaitan adalah dilakukan di bawah perjalanan perniagaan yang biasa di antara sebuah syarikat awam yang tersenarai dan anak-anak syarikat yang dimiliki penuh olehnya; dan
  • Situasi di mana sebuah syarikat awam yang tersenarai telah memperolehi pengecualian daripada bursa saham bagi mengadakan Mesyuarat Agung Tergempar untuk mendapatkan kelulusan pemegang-pemegang saham bagi transaksi di antara pihak yang berkaitan, tertakluk kepada syarat bahawa syarikat awam yang tersenarai tersebut hendaklah membuat penzahiran berkenaan transaksi tersebut di dalam laporan tahunannya.
3. Pindaan dan butir-butir terkini yang disebutkan di atas berkuatkuasa dengan serta merta. Pengemaskinian terhadap Garispanduan Terbitan akan disediakan untuk pihak-pihak yang melanggan Garispanduan Terbitan dan juga pihak-pihak awam 2 minggu dari tarikh pengumuman ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup