Pindaan kepada Garis Panduan Penubuhan Syarikat-Syarikat Pengurusan Dana Asing

Kuala Lumpur, 3 Julai 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan pindaan kepada Garis Panduan Penubuhan Syarikat-Syarikat Pengurusan Dana Asing (Garis Panduan FFMC), yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2000.

Pindaan kepada Garis Panduan FFMC tersebut dibuat bagi menggambarkan perubahan dasar dan perkembangan yang telah berlaku dalam pasaran kewangan baru-baru ini. Sebagai tambahan, SC telah menstruktur semula dan menukar format Garis Panduan FMMC tersebut serta menerangkan dan menjelaskan perenggan-perenggan tertentu bagi kemudahan pembacaan dan rujukan.

Dalam membuat pindaan tersebut, SC telah mengambil kira pandangan dan cadangan daripada peserta pasaran daripada industri pengurusan dana.

Garis Panduan FFMC yang dipinda boleh didapati di laman web SC (http://www.sc.com.my).

Garis Panduan FFMC diperkenalkan pada Ogos 1995 sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk terus menggalakkan dan membangunkan industri pengurusan dana, dan bagi memastikan langkah ke arah liberalisasi dilaksanakan dengan teratur supaya tidak memberi kesan negatif terhadap perkembangan industri pengurusan dana tempatan.

Sehingga penghujung Disember 1999, terdapat 71 pengurus dana berlesen yang mengendalikan dana berjumlah RM44.01 bilion. Pengurus dana berlesen ini terdiri daripada 56 buah syarikat yang dimiliki pihak tempatan 100%, sembilan syarikat dengan majoriti pemilikan tempatan, dan enam syarikat pengurusan dana asing (FFMC) di mana dua daripadanya dimiliki 100% oleh pihak asing dan empat lagi merupakan usaha sama dengan majoriti pemilikan asing. Jumlah dana yang diuruskan oleh FFMC tersebut adalah sebanyak RM2.72 bilion atau 6.2% daripada jumlah dana yang diuruskan oleh pengurus dana berlesen.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup