Polisi Pengagihan Pulangan bagi Skim Unit Amanah

Kuala Lumpur, 7 September 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan penerbitan satu nota amalan, bertajuk Nota Amalan 15 mengenai Polisi Pengagihan Pulangan, bagi memastikan industri unit amanah menggunakan satu set kaedah yang konsisten dalam pengagihan pulangan yang dibuat oleh skim unit amanah.

Pada asasnya, polisi pengagihan pulangan menyokong pendekatan "jumlah keseluruhan pulangan", yang menilai prestasi sesuatu skim unit amanah berdasarkan bahagian (harga) modal dan bahagian (pengagihan) pendapatan, merupakan penunjuk prestasi yang lebih baik bagi sesuatu skim. Ini menyangkal tanggapan salah oleh kebanyakan pemegang unit dan bakal pelabur bahawa pembayaran pengagihan yang tinggi atau dikenali ramai sebagai dividen menunjukkan prestasi positif bagi sesuatu skim unit amanah. Walau bagaimanapun, anggapan begitu tidak mengambil kira hubungan sebaliknya di antara pengagihan dan nilai aset bersih (NAV) skim unit amanah. Apabila pengagihan dibuat daripada pendapatan sesuatu skim, nilai aset bersih bagi skim tersebut akan berkurangan sebanyak jumlah yang sama, atau mungkin lebih lagi, selepas mengambil kira perbelanjaan berkaitan pengagihan (iaitu bayaran pos, pencetakan cek, dan sebagainya).

Nota Amalan 15, yang menjadi sebahagian daripada Garis Panduan Tabung Unit Amanah, oleh itu, adalah bertujuan untuk:
Menyediakan satu "Rangka Kerja Polisi Amalan Terbaik" berkaitan dengan penentuan satu polisi pengagihan bagi skim unit amanah; dan
Memastikan penzahiran yang secukupnya berkenaan dengan prestasi pencapaian skim unit amanah.
Rangka kerja polisi Amalan Terbaik yang dinyatakan dalam Nota Amalan tersebut adalah sebagai panduan syarikat pengurusan untuk menentukan jumlah pengagihan yang akan dibayar bagi skim unit amanah, di bawah pengurusannya. Nota Amalan 15 menentukan perkara berikut sebagai amalan terbaik:
Pengagihan yang dibuat daripada sesuatu skim unit amanah hendaklah bersumber daripada keuntungan/pendapatan yang direalisasi;
Sebarang pengagihan sesuatu skim unit amanah hendaklah dikaitkan dan mencerminkan objektif skim tersebut;
Tahap pengagihan yang dibuat daripada sesuatu skim unit amanah hendaklah berpandukan jumlah keseluruhan pulangan, pendapatan dan aliran tunai skim tersebut. Di samping itu, kestabilan dan kemapanan pengagihan hendaklah juga diberi pertimbangan; dan
Hendaklah tidak ada sebarang realisasi pelaburan terpilih yang hanya untuk merealisasi keuntungan bagi pengagihan.
Sebagai satu langkah ke arah ketelusan yang lebih tinggi, terutamanya mengenai prestasi pencapaian skim unit amanah, Nota Amalan tersebut memerlukan keperluan penzahiran tambahan dibuat dalam dokumen berikut:
Prospektus skim unit amanah; dan
Penyata Kewangan skim unit amanah.
Penzahiran tambahan tersebut bertumpu kepada penjelasan mekanisme dan sumber pengagihan. Selain untuk meningkatkan ketelusan, keperluan ini bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan pemegang unit dan bakal pelabur mekanisme di sebalik pengagihan, dengan penekanan diberikan kepada jumlah keseluruhan pulangan sesuatu skim unit amanah.

Penyata kewangan skim-skim unit amanah bagi tempoh/tahun berakhir pada atau selepas Januari 2001 hendaklah mematuhi penzahiran tambahan yang dikehendaki oleh Nota Amalan tersebut.

Penguatkuasaan Nota Amalan 15 juga menghendaki terma "pengagihan" digunakan dan bukan "dividen", bagi semua pengagihan yang dibuat oleh skim unit amanah berkuat kuasa 1 Januari 2001. Terma "dividen" akan hanya digunakan sekiranya ia merujuk secara khusus kepada pengagihan pendapatan dividen yang diterima oleh sesuatu skim.

Penguatkuasaan Nota Amalan ini juga memberikan tanggung jawab tambahan kepada pemegang-pemegang amanah, yang menghendaki mereka mengesahkan bahawa pengagihan yang dibuat berpandukan objektif sesuatu skim unit amanah.

Pengenalan Nota Amalan 15, yang menyediakan pengwujudan satu bentuk pengagihan yang konsisten dalam industri unit amanah dan keperluan penzahiran tambahan berkenaan pengagihan, akan mewujudkan kesedaran di kalangan pemegang unit dalam memahami pulangan pelaburan mereka dalam skim-skim unit amanah.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup