Professor Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim diumum sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2016
14 November 2016|   Kuala Lumpur
Professor Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim, PhD, hari ini telah diberikan Anugerah Diraja Kewangan Islam 2016 (Anugerah Diraja) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Diadakan setiap dua tahun, Anugerah Diraja yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ini mengiktiraf individu-individu yang telah berjaya dalam usaha mereka untuk memajukan kewangan Islam di peringkat global melalui sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka.

Sumbangan besar Profesor Datuk Rifaat kepada pembangunan industri perkhidmatan kewangan Islam termasuk peranan yang dimainkan oleh beliau dalam penubuhan dua badan penetap piawaian antarabangsa – Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB). Beliau merupakan Setiausaha Agung IFSB yang pertama, jawatan yang disandangnya sejak IFSB mula beroperasi pada 2003 hingga 2011. Di bawah pengawasannya, keanggotaan IFSB meningkat daripada sembilan anggota asal pada 2003 kepada hampir 200 anggota pada 2010, dari 40 buah negara.

Pada 2012, Profesor Datuk Rifaat memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management, sebuah institusi antarabangsa yang ditubuhkan oleh bank-bank pusat, pihak berkuasa kewangan dan organisasi pelbagai hala dengan objektif utama untuk menerbitkan instrumen kewangan patuh Syariah jangka pendek boleh diniagakan dalam denominasi mata wang rizab utama, bagi memudahcarakan pengurusan kecairan rentas sempadan dalam kalangan bank-bank Islam. Beliau telah berjaya mendapat sokongan dan komitmen daripada bank-bank pusat dan pihak berkuasa kawal selia yang mengambil bahagian untuk menerbitkan sukuk pertama denominasi dolar AS boleh diniagakan dengan tempoh matang kurang daripada satu tahun pada 2013. Sukuk tersebut merupakan salah satu daripada kejayaan utama dan mewakili satu kelas aset baharu dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.

Profesor Datuk Rifaat merupakan Profesor Pelawat di International Capital Market Association (ICMA) Centre, Henley Business School, University of Reading, United Kingdom, dan sebelum ini, merupakan Ahli Majlis Pentadbir Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Malaysia. Beliau ialah seorang penulis terkenal dan telah mengarang sebilangan kertas kerja akademik dan profesional dalam bidang-bidang utama termasuk perakaunan, kewangan, tadbir urus, Syariah dan isu-isu kawal selia untuk terus menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam.

"Wawasan dan kesungguhan Professor Datuk Rifaat terhadap kewangan Islam, dan kefahamannya yang mendalam terhadap kewangan konvensional dan Islam, membolehkan beliau mempelopori banyak bidang baharu dan menetapkan standard yang penting kepada pertumbuhan pesat kewangan Islam di peringkat global," menurut Tun Musa Hitam, Pengerusi lapan ahli jemaah juri bebas antarabangsa bagi Anugerah Diraja tersebut.

Ketika menerima Anugerah Diraja itu, Profesor Datuk Rifaat berkata, "Anugerah Diraja ini merupakan satu penghormatan besar kerana ia mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilakukan selama ini. Ia turut memberi lebih banyak peluang bagi saya untuk berbakti kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu."

Penerima Anugerah Diraja ini menjadi teladan baik yang memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyumbang dalam memajukan industri. Tiga penerima anugerah sebelum ini ialah Dato' Dr Abdul Halim Ismail, anggota pengasas bank Islam pertama di Malaysia (2014), Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012) dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Dallah Al Baraka Group, salah sebuah konglomerat terbesar di Timur Tengah (2010).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Bagi pihak Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)


Ooops!
Generic Popup