Diadakan dari 18 – 24 Oktober 2008, program tersebut dianjurkan oleh Badan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), cabang pendidikan dan latihan Suruhanjaya Sekuriti (SC). Tema bagi program tahun ini difokuskan terhadap mengukuhkan pasaran membangun melalui “Persaingan, Kerjasama dan Pematuhan” (Competition, Collaboration and Compliance).
Dalam ucap utamanya, Pengerusi SC, Dato’ Sri Zarinah Anwar, yang juga Pengerusi SIDC, menekankan tentang keperluan bagi pengawal selia untuk mengguna pakai pemikiran baru mengenai persaingan, kerjasama dan pematuhan bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran akan datang.
Beliau mengenal pasti tiga isu utama bagi pengawal selia pasaran membangun untuk mengukuhkan pasaran mereka:
- Pengawal selia mesti mengelakkan persaingan yang keterlaluan dan juga fokus yang berlebihan terhadap lebih pematuhan dan kawal selia. Persaingan keterlaluan akan menjurus kepada ‘persaingan habis-habisan’ pengawalseliaan yang akan mengorbankan kestabilan jangka panjang dan perlindungan pelabur untuk keuntungan jangka pendek. Fokus yang berlebihan terhadap lebih pematuhan dan kawal selia pula akan menyekat inovasi dan berisiko mengekang pertumbuhan jangka panjang.
- Pengawal selia pasaran membangun perlu lebih lagi memahami saling hubung pasaran mereka dengan pasaran lain dan melaksanakan penyelarasan rentas sempadan dasar yang berkesan.
- Pada ketika pasaran membangun menjadi lebih relevan dan memperoleh suara yang lebih besar dalam arena kewangan global, pasaran ini perlu mengejar persaingan yang relevan, kerjasama yang betul dan mengekalkan standard tinggi pematuhan pengawalseliaan untuk berada di hadapan dalam arena permainan global.
Program tersebut menyaksikan 23 penceramah dari 10 negara termasuk pengawal selia dari United Kingdom dan Amerika Syarikat yang membentangkan kes bagi hubungan baru berdasarkan persaingan kerjasama dan tahap kawal selia yang betul yang membolehkan pasaran membangun menjadi stabil dan berkembang maju walaupun di tengah-tengah ribut kewangan.
Para penceramah pada tahun ini termasuk wakil dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Pengawalseliaan China, Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong, Badan Berkuasa Kewangan Singapura, Suruhanjaya Sekuriti Ontario, Lembaga Sekuriti dan Bursa India, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand, Bursa Singapura Berhad, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat, dan Kesatuan Niaga Hadapan dan Opsyen United Kingdom.
Sejumlah 61 negara dari seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam program ini sejak ia bermula pada tahun 2001.