Proses peruntukan Bumi yang dipertingkat bagi menambah baik masa ke pasaran IPO

Kuala Lumpur, 12 November 2008

Berikutan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak mengenai proses peruntukan Bumiputera yang dipertingkat di sidang akhbar di Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini, SC ingin memberikan maklumat tambahan mengenai langkah yang diumumkan tersebut.

SC telah membuat beberapa pembaikan berterusan ke atas proses kelulusan permohonan penyenaraian bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif sebagai destinasi penyenaraian. Pengumuman terbaru oleh Timbalan Perdana Menteri meningkatkan lagi kecekapan proses ini dan memastikan syarat ekuiti Bumiputera yang dikenakan ke atas syarikat tempatan sebagai sebahagian daripada syarat penyenaraian kekal sejajar dengan objektif keseluruhan Dasar Pembangunan Negara (NDP). Di samping mewujudkan ketentuan yang lebih besar dan menyingkatkan banyak masa untuk penyenaraian, langkah ini akan menggalakkan lagi penglibatan Bumiputera di peringkat awam dalam proses tawaran awam awal (IPO).

Di bawah proses yang disemak semula tersebut, syarikat tempatan yang memohon penyenaraian masih lagi perlu mematuhi syarat NDP mengenai penyertaan ekuiti Bumiputera sebanyak 30%, dan terus menawarkan saham mereka kepada institusi dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI. Bagaimanapun, sekiranya terdapat saham yang tidak dilanggan, saham ini kini akan ditawarkan untuk permohonan oleh pihak Bumiputera yang lain sebagai sebahagian daripada proses undian saham (balloting).

Sehubungan dengan ini, syarikat tempatan yang telah pun disenaraikan tetapi tidak memenuhi syarat 30% ekuiti Bumiputera kerana tidak dapat menarik pelabur Bumiputera ketika disenaraikan juga dianggap sebagai mematuhi syarat NDP berkenaan pemilikan Bumiputera. Syarikat-syarikat ini, walaupun telah diberikan lanjutan masa, tidak berupaya menarik pelabur Bumiputera untuk melanggan saham mereka kerana ketiadaan minat disebabkan harga saham mereka telah jatuh di bawah harga IPO, malah dalam sesetengah kes, di bawah harga par. Pelabur Bumiputera kini mempunyai pilihan untuk membeli saham ini daripada pasaran pada harga yang lebih rendah.

Ketika ini, bagi aktiviti penjanaan dana selanjutnya yang membabitkan penempatan saham atau tawaran kepada orang ramai yang menyebabkan berkurangnya pemilikan ekuiti Bumiputera, syarikat adalah dikehendaki menerbitkan saham yang mencukupi untuk mengekalkan pemilikan ekuiti Bumiputera kepada tahap ketika pelaksanaan penjanaan dana.

Kelonggaran di atas tidak mengecualikan syarikat daripada mematuhi mana-mana syarat ekuiti Bumiputera yang dikenakan oleh Kementerian-kementerian berkaitan sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan mereka.

Dasar sedia ada yang tidak mengenakan mana-mana syarat ekuiti Bumiputera ke atas syarikat asing yang memohon penyenaraian di Bursa Malaysia akan dikekalkan. Ini adalah untuk memastikan persekitaran yang kondusif wujud bagi menarik syarikat yang beroperasi di luar Malaysia dan yang mempunyai pilihan untuk memohon penyenaraian di negara lain.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup