Prospek positif pasaran modal untuk tahun 2008

SC mengeluarkan Laporan Tahunan 2007

Kuala Lumpur , 31 Mac 2008

Pasaran modal Malaysia dijangka menampakkan pertumbuhan positif pada tahun 2008, menunjukkan tahap kebingkasan di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar. Pada satu siding akhbar yang diadakan sempena pengeluaran Laporan Tahunan 2007-nya, Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar berkata, terdapat momentum pertumbuhan yang kukuh dalam tahun 2007, dan kita menjangka asas fundamental pasaran kekal memuaskan bagi pasaran modal untuk mengekalkan trend pertumbuhan yang positif bagi tahun 2008.

Pada keseluruhannya, kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP), dengan 85% daripada 152 cadangan telah dilaksanakan, telah menghasilkan pendalaman dan pelebaran meluas pasaran modal Malaysia. Malaysia kini mempunyai pasaran modal yang merupakan di antara yang paling seimbang dan mempunyai kepelbagaian di Asia dari segi saiz ekuiti, bon dan pasaran modal Islam, dan industri pengurusan pelaburan.

Ciri-ciri ini memberikan Malaysia lebih kestabilan dari segi menampung kitaran pasaran dengan penerbit memiliki pilihan meluas untuk mengumpulkan dana bagi mengekalkan aktiviti ekonomi dan kewangan. Selain itu, pembentukan kerangka pengawalseliaan yang kukuh dengan penekanan terhadap kualiti, tadbir urus korporat, integriti pasaran, dan perlindungan pelabur telah mengurangkan bahagian yang lemah.

Dato’ Zarinah berkata, keutamaan SC bagi tahun 2008 adalah bagi memfokuskan kepada lebih pengukuhan terhadap daya saing pasaran kita sebagai satu sumber penjanaan dana yang cekap dan mengekalkan persekitaran pelaburan yang menarik bagi pelabur domestik dan asing. Sehubungan ini, SC akan terus menggunakan strategi dan dasar yang akan memastikan cabaran-cabaran yang muncul bagi pasaran modal Malaysia ditangani dengan sebaik-baiknya dan peluang bagi pertumbuhan dikenal pasti.

Pasaran ekuiti kekal sebagai saluran penting penjanaan modal bagi syarikat-syarikat dan sebuah saluran kukuh penyenaraian adalah dijangkakan berdasarkan permohonan yang diproses dalam suku tahun pertama tahun ini. Penggabungan papan utama dan kedua Bursa Malaysia dan pengenalan kepada sebuah pasaran Mesdaq yang dipacu penaja dan mempunyai asas yang lebih meluas, akan memberikan lebih lagi peluang bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk mengakses pasaran modal.

Pasaran bon dijangka akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah pasaran bon terbesar di Asia dan terbesar di dunia bagi penerbitan sukuk.

“Kami terus melihat aktiviti penerbitan yang besar dalam pasaran bon dan sukuk daripada penerbit tempatan dan asing dengan lebih RM38.3 bilion diluluskan dalam suku tahunan kedua tahun ini. Dengan pelaksanaan langkah tambahan seperti pengenalan Platform Dagangan Elektronik (ETP) bagi dagangan bon dan penyebaran harga, penubuhan agensi penarafan kredit ketiga dan liberalisasi lanjut dalam proses kelulusan bagi bon, kami mengharapkan supaya segmen ini dalam pasaran modal terus memainkan peranan utama dalam pertumbuhan keseluruhan pasaran,” kata Dato’ Zarinah said.

Satu lagi bidang pertumbuhan yang dijangkakan bagi tahun 2008 ialah industri pengurusan pelaburan yang merupakan segmen yang berkembang paling pantas dalam pasaran modal 2007. SC telah mengambil strategi agresif bagi menggalakkan industri pengurusan dana dan bagi meletakkan pasaran modal Malaysia sebagai peneraju dalam pengurusan dana Islam. Kami telah memberikan lesen kepada pengurus dana global utama yang kini beroperasi di Malaysia dan menjangkakan beberapa lagi yang lain untuk menubuhkan operasi di sini dalam masa 12 bulan lagi. Lesen terkini yang diluluskan bagi Franklin Templeton Investments yang merupakan antara pengurus dana terbesar di dunia dengan AS$644 bilion aset di bawah pengurusannya. Penubuhan operasi pengurusan dana oleh pengurus dana global utama mencerminkan keyakinan mereka dalam prospek pertumbuhan industri pengurusan pelaburan Malaysia dan peluang untuk menguruskan kumpulan besar simpanan domestik dan faedah dalam mandat dana Islam.

Usaha pengawalseliaan akan terus disasarkan ke arah memastikan bahawa standard tinggi tadbir urus korporat, perlakuan pasaran dan profesionalisme diamalkan dalam pasaran. Dua perkara utama yang akan difokuskan oleh SC dengan lebih bersemangat dalam tahun ialah penzahiran korporat dan pendidikan pelabur. “Kualiti penzahiran yang dibuat oleh syarikat, penasihat dan penaja yang bekerja dengan mereka mestilah mempunyai standard yang sangat tinggi dari segi kandungan maklumat, penzahiran, ketepatan masa dan kelengkapan. Kami mahukan ini dalam semua pengemukaan korporat dan juga secara berterusan oleh semua syarikat tersenarai. Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang percubaan untuk bertolak ansur terhadap kualiti penzahiran yang diberikan kepada pasaran,” tambah Dato’ Zarinah.

Bagi bidang pendidikan pelabur, SC akan melaksanakan rangka tindakan pendidikan pelaburnya pada tahun 2008. Rangka tindakan tersebut bermatlamat untuk membentuk pelabur yang berpengetahuan dan berhati-hati melalui satu strategi jangka panjang menggalakkan celik kewangan di seluruh negara dan menggalakkan industri mengukuhkan peranan mereka dalam pendidik pelanggan mereka. “Disebabkan kekompleksan yang meningkat, kecanggihan produk dan tahap maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan bermaklumat, kami perlu memastikan bahawa usaha pendidikan pelabur yang berkesan dan berterusan dilakukan,” Dato’ Zarinah menekankan.

Memperdalam dan memperluas pasaran modal Malaysia

Tahun 2007 merupakan tahun yang baik dengan pertumbuhan yang kukuh dalam semua segmen pasaran modal. Saiz pasaran modal berkembang sebanyak 24% kepada RM1.58 trilion. Komponen ICM tumbuh sebanyak 29% kepada RM875 bilion. Pasaran bon meningkat sebanyak 12% kepada RM475 bilion manakala industri pengurusan dana tumbuh sebanyak 44% kepada RM237 bilion. Jumlah nilai cadangan penjanaan modal yang diluluskan ialah RM172 bilion pada tahun 2007. Jumlah ini merupakan satu rekod dan berganda dibandingkan tahun sebelumnya. Bilangan cadangan yang diluluskan meningkat kepada 368 daripada 292.

Pasaran bon – kerangka kerja mudah cara dan pendokumentasian antarabangsa membawa masuk lebih banyak penerbit asing dan pelabur

Malaysia telah membangunkan sebuah pasaran bon yang lebih luas dan pelbagai untuk mempelbagaikan sumber-sumber pembiayaan dan bagi mengukuhkan kebingkasan kewangan negara. Pada tahun 2007, nilai penjanaan dana sekuriti hutang yang diluluskan oleh SC berganda kepada RM158 bilion. Diukur sebagai nisbah KDNK, pasaran bon Malaysia adalah yang ketiga terbesar di Asia dan dicirikan oleh penerbit kepelbagaian dan berasaskan pelabur. Saiz purata penerbitan ialah RM640 juta dengan tempoh pemegangan purata lima tahun, dengan sebahagian kematangan berlanjutan sehingga 20 tahun atau lebih. Bagi mengekalkan pasaran yang dikawal selia dengan baik, SC telah melanjutkan pemantauan pengawalseliaan terhadap agensi penarafan bon satu tahun sebelum krisis sub-prima mengenal pasti ini sebagai satu perkara yang perlu diambil berat dalam pasaran bon global.

Sejak tahun 2004, SC telah membentuk kerangka kerja mudah cara bagi menarik penerbit asing berkualiti untuk menerbitkan bon dan sukuk berdenominasi mata wang tempatan dan asing di Malaysia. Dalam tahun 2007, bagi meningkatkan daya saing antarabangsa pasaran bon dan sukuk, SC memudahcarakan penggunaan pendokumentasian antarabangsa dan juga penggunaan penarafan antarabangsa bagi menurunkan kos penerbitan. Ini menghasilkan peningkatan tahap penyertaan asing dalam pasaran bon. Dalam tahun 2007, penerbit asing merupakan RM3.2 bilion atau 5% daripada penerbitan kasar denominasi RM. Selain itu, 12 cadangan daripada penerbit asing bagi penerbitan berdenominasi dolar AS berjumlah AS$12.3 bilion telah diluluskan. Pelaburan asing dalam pasaran bon domestik telah meningkat daripada tahap yang amat sedikit kepada RM14.3 bilion kini.

Pasaran ekuiti – cadangan berkualiti lebih baik yang menghasilkan kadar lebih langganan yang tinggi

Pasaran ekuiti turut melihat peningkatan dalam aktiviti penjanaan dana sebanyak 89% kepada RM13.8 bilion daripada RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya. Walaupun terdapat kejatuhan dalam Tawaran Awam Awal (IPO) daripada RM4 bilion kepada RM2 bilion, syarikat-syarikat tersenarai meningkatkan ekuiti tambahan melalui terbitan hak dan tawaran persendirian yang menyaksikan peningkatan tiga kali ganda kepada RM11.8 bilion. Terdapat pembaikan yang signifikan dalam kualiti cadangan yang diterima sebagaimana yang ditunjukkan melalui tiga penolakan berbanding 40 dalam tahun 2006. Kualiti tinggi IPO dengan jelas telah menarik pelabur kepada pasaran IPO yang menyaksikan purata kadar lebih langganan sebanyak 25 kali, dengan 63% daripada dagangan IPO melebihi harga tawaran pada akhir tahun 2007.

Pengurusan Pelaburan – segmen pertumbuhan terpantas dalam pasaran modal Malaysia

Industri pengurusan pelaburan terus menjadi segmen pertumbuhan terpantas dalam pasaran modal Malaysia. Dana di bawah pengurusan tumbuh sebanyak 44% kepada RM237 bilion dan nilai aset bersih (NAV) dana unit amanah tumbuh sebanyak 39% kepada RM169.4 bilion. Malaysia mempunyai industri unit amanah domestik terbesar di ASEAN. Penyahkawalseliaan seterusnya dan inisiatif liberalisasi membolehkan industri untuk menginovasi dan melancarkan produk baru bertepatan dengan masa. Selain itu, SC menggalakkan peningkatan ketelusan bayaran melalui sistem penetapan harga tunggal. Saluran pengagihan juga diperluas untuk memudahkan pencapaian yang lebih besar terhadap pelanggan dan bagi memungkinkan peningkatan dalam perkhidmatan tambah nilai. Ini termasuklah memudahkan penyertaan pasar raya kewangan dan perancangan. Pemilikan asing dalam pengurusan dana dan syarikat-syarikat pengurusan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) diliberalisasikan kepada 70%.

Pertumbuhan yang kukuh dalam pasaran modal Islam – penyahkawalseliaan dan inovasi berterusan membawa kepada pelancaran beberapa peristiwa penting

Pasaran modal Islam turut mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan permodalan pasaran bagi saham-saham patuh Syariah meningkat sebanyak 28.6% kepada RM705.1 bilion. Setakat akhir tahun 2007, saham-saham patuh Syariah terdiri daripada 64% daripada keseluruhan permodalan pasaran. Bilangan saham-saham patuh Syariah adalah 85% daripada semua saham tersenarai.

SC meluluskan cadangan sukuk berjumlah RM121.3 bilion dalam tahun 2007, tiga kali nilai yang diluluskan pada tahun 2006. Terdapat 59 cadangan sukuk, berasaskan terutamanya terhadap prinsip musyarakah. Pertumbuhan yang kukuh itu juga berlanjutan kepada unit amanah Islam yang tumbuh sebanyak unit amanah Islam yang berkembang sebanyak 84% pada tahun 2007 manakala bilangan dana unit amanah Islam meningkat kepada 128.

Malaysia dianggap sebagai pusat peneraju bagi kewangan Islam dan mengekalkan rekod prestasinya bagi inovasi produk dan pelancaran penting seperti program pendanaan sukuk terbesar sebanyak RM60 bilion oleh Cagamas, sukuk korporat terbesar sebanyak RM15.4 bilion oleh Binariang GSM, sukuk Khazanah, sekuriti Islam oleh Telekom dan Hijrah Pertama dan Dana Dagangan Bursa (ETF) pertama Asia oleh i-Valuecap Management pada tahun ini.

Selaras dengan inisiatif Pusat kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), kami telah meliberalisasikan sepenuhnya penyertaan antarabangsa dalam industri pengurusan dana Islam dengan menghapuskan sekatan terhadap pemilikan dan pelaburan di luar negara. Insentif tambahan disediakan dari segi pengecualian cukai ke atas fi manakala KWSP menyediakan RM7 bilion dalam mandat kepada pengurus-pengurus dana Islam. Tiga lesen pembrokeran saham baru akan diberikan kepada broker yang boleh mencari dan mempengantarakan perniagaan rentas sempadan dengan Timur Tengah. Pengecualian cukai diberikan bagi menarik pakar-pakar kewangan Islam yang bukan pemastautin.

SC telah menerima pengiktirafan antarabangsa untuk usaha-usaha perintis dan kepimpinannya dalam pembangunan dan penggalakan ICM. SC telah dinamakan sebagai “Pengawal Selia Terbaik Bagi Dana Islam” pada Anugerah Utama Dana Islam. Anugerah ini mewakili pengiktirafan terhadap usaha-usaha negara bagi mempromosikan Malaysia sebagai satu hab global dalam pengasalan, pengagihan dan dagangan dana Islam dan pengurusan kekayaan.

Kecekapan pengawalseliaan yang lebih besar dan perlindungan pelabur yang kukuh

SC berusaha membentuk persekitaran yang amat cekap bagi membolehkan pasaran modal Malaysia berdaya saing di peringkat antarabangsa. Setakat ini, perubahan penting telah dilakukan terhadap kerangka kerja pengawalseliaan, termasuk menguatkuasakan Akta pasaran Modal dan Perkhidmatan pada tahun 2007 bagi mengemaskinikan undang-undang sekuriti dan memperkenalkan kerangka kerja pelesenan tunggal bagi mengurangkan kos pentadbiran dan meningkatkan kecekapan.

Dalam mengoptimumkan kecekapan pengawalseliaan, SC telah mengembangkan peranan dan kebertanggungjawaban para pengarah dan pengurusan PLC, pengantara dan para profesional seperti akauntan, juruaudit, penilai dan peguam.

Pasaran modal Malaysia telah memperoleh penghormatan tinggi atas usahanya dalam memerangi pelanggaran undang sekuriti dan sistem perlindungan pelaburnya dipandang tinggi di peringkat antarabangsa. Malaysia diletakkan pada tangga keempat untuk perlindungan pelabur oleh Bank Dunia dalam kaji selidik “Doing Business” nya bagi dua tahun berturut-turut. Ia diletakkan pada tempat kelima bagi pematuhan terhadap peraturan anti pengubahan wang haram antarabangsa. Penerimaan SC sebagai penandatangan kepada memorandum persefahaman multilateral oleh Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) mewakili pengiktirafan antarabangsa terhadap kebolehan pengawalseliaan dan penguatkuasaan SC.

Menangani penyalahgunaan pasaran dan salah laku korporat

Dalam beralih kepada pendekatan kawal selia berasaskan pasaran, SC telah mengukuhkan pengawasan dan penyeliaannya bagi memastikan PLC dan pengantara memperkuat kebolehan kawalan dalaman dan amalan tadbir urus korporat dan pematuhan mereka. Liputan pengawasan rutin SC terhadap PLC telah ditingkatkan kepada 240 dalam tahun 2007 manakala bilangan PLC di bawah kajian semula kami berkurangan daripada 69 kepada 22, dan ini merupakan satu perkembangan positif.

SC melabur dalam sistem pemantauan yang ketat dan, memandangkan kepentingan industri pengurusan pelaburan, telah menubuhkan satu jabatan khusus bagi menyelia industri tersebut. Pada tahun 2007, ia menjalankan beberapa semakan kewajaran dan melaksanakan pemeriksaan bersasar dan berfokuskan risiko. SC telah mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat kerana gagal memenuhi standard yang dikehendaki dan mengenakan beberapa sekatan daripada denda yang besar, celaan dan mengenakan sekatan yang bersesuaian terhadap aktiviti perniagaan.

Pendekatan strategik SC terhadap penguatkuasaan terus membolehkannya mengambil tindakan penguatkuasaan yang pantas dan kena pada tempatnya. Melalui peluasan skop tindakan sivil dan pentadbiran bagi melengkapi tindakan jenayah kami, SC boleh melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang paling yang sesuai pada masanya. Pada tahun 2007, beberapa tindakan sivil telah dijalankan untuk membekukan aset, mendapatkan kembali perolehan yang didapati secara tidak sah dan mengembalikannya kepada pelabur.

SC menjalankan 16 pendakwaan jenayah, mengambil tindakan sivil terhadap 11 individu, memperoleh injunksi sivil bagi membekukan RM20 juta, memfailkan perintah sivil untuk mendapatkan pengembalian wang sejumlah RM69.4 juta, mengenakan denda pentadbiran berjumlah RM800,000 dan kompaun berjumlah RM1.5 juta. Ia telah berjaya menyelesaikan siasatan dan memfailkan pendakwaan jenayah bagi pelaporan kewangan palsu dalam lima kes berprofil tinggi – GP Ocean, Nasioncom, Transmile, Megan Media dan Polymate.

Tahun ini juga menyaksikan SC memperoleh pengiktirafan antarabangsa di kalangan rakan pengawal selia berhubung dengan usahanya menangani penipuan pelaburan Internet. SC menerajui dan menyelaraskan satu pasukan antarabangsa pengawal selia bagi membekukan aset dalam beberapa bidang kuasa berhubung dengan Swisscash. Ia juga menubuhkan satu kumpulan petugas berdedikasi dan bekerja dengan agensi-agensi berkenaan bagi menyekat secara berkesan banyak laman web dan menjalankan siasatan dalam kes-kes lain.

Menangani aduan pelabur dan meningkatkan pengetahuan mereka

Pada tahun 2007, SC melaksanakan satu program pengurusan aduan yang aktif bagi memastikan para pelabur menerima perkhidmatan dan respons mengikut masa. Pada keseluruhannya, SC berjaya memberikan respons kepada 96% daripada aduan dalam piagam masa kami. SC membina rangka tindakan Pendidikan Pelabur bagi memastikan pendekatan yang komprehensif dan bermatlamat terhadap pendidikan pelabur. Skim penyelidikan CMDF-Bursa dilanjutkan bagi memastikan para pelabur mempunyai akses untuk membuat penyelidikan ke atas syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana. SC juga melancarkan satu kempen publisiti besar-besaran terhadap skim pelaburan Internet tidak sah yang membantu mengurangkan tahap aktiviti itu secara signifikan.

Pengawal selia yang cekap dan mempunyai kebertanggungjawaban

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi mengukuhkan kebolehan, keberkesanan dan kebertanggungjawabannya. Dengan melabur dalam sumber manusia dan teknologi maklumat, SC terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan operasi. Secara keseluruhannya, SC memenuhi piagam masanya dalam 92% hingga 100% kes – di atas tanda aras KPI sebanyak 90%. Kad skor prestasinya diterbitkan setiap suku tahunan dan SC mengambil langkah-langkah bagi mengukuhkan proses rundingan awamnya.

SC akan terus memfokuskan kepada menarik dan mengekalkan tenaga kerja dengan strategi inovatif. Ia memperkenalkan budaya prestasi tinggi dan terus menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban di kalangan kakitangannya. SC juga menjalankan kaji selidik maklum balas dengan pemegang kepentingan dalaman dan luaran dan menerima maklum balas positif bahawa SC telah mengukuhkan profesionalismenya dan pemegang kepentingan gembira dengan fokusnya terhadap perlindungan pelabur dan peningkatan kecekapan dalam memproses permohonan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup