Rangka kerja polisi bagi penggabungan tersebut menyediakan satu set strategi yang bertujuan menggalakkan penggabungan di kalangan syarikat broker saham Malaysia sehingga penghujung tahun ini.
Usaha-usaha bagi memperkukuhkan syarikat broker saham bermula sejak tahun 1990 lagi. Bagi membolehkan syarikat broker saham meningkatkan modal berbayar mereka, memperkembang dan membawa masuk kepakaran, kerajaan telah membenarkan penyenaraian syarikat broker saham melalui syarikat induk mereka. Walau bagaimanapun, bagi menghalang terlalu banyak yang berbuat demikian, hanya 10 buah syarikat broker sahaja yang dibenarkan. Ini juga bagi membolehkan sektor yang diberi keutamaan pada masa itu, seperti pembuatan dan eksport, untuk mendapat akses yang diperlukan kepada pasaran modal. Halangan bagi penyenaraian syarikat broker saham ini telah ditarik balik pada 1995. Sehingga kini, terdapat 63 syarikat broker saham, di mana 41 daripadanya merupakan anak syarikat-syarikat tersenarai.
Terdapat keperluan yang jelas untuk menggabungkan industri broker saham: objektifnya adalah bagi memperkukuhkan industri tersebut dan membentuk satu kumpulan syarikat broker saham tempatan yang mempunyai modal yang banyak yang boleh menyediakan khidmat perantaraan yang efisien dan menjimatkan bagi para pelabur. Syarikat-syarikat ini juga harus mampu bertahan menghadapi tekanan daripada risiko yang ada dalam perniagaan broker saham. Lebih daripada ini, penggabungan syarikat broker saham adalah penting bagi menyediakan industri tersebut menghadapi cabaran proses liberalisasi dan globalisasi.
Rangka kerja bagi penggabungan tersebut sedang diperkenalkan sejajar dengan pengurangan kos transaksi yang dibuat di BSKL bagi mewujudkan pasaran modal yang lebih kompetitif. Dengan ini, kadar komisen brokeraj, yang merupakan komponen utama kos transaksi ini, akan diliberalisasikan dalam dua peringkat. Lain-lain fi dan levi akan dikurangkan secara serentak.
Strategi penggabungan ini dan pengurangan transaksi kos dijangka akan menggalakkan syarikat broker saham untuk bergabung dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan mereka.
1. Rangka Kerja Polisi Penggabungan
Pembekuan sedia ada ke atas pengeluaran lesen baru bagi syarikat broker saham akan diteruskan sehingga objektif penggabungan industri tercapai.
Di bawah rangka kerja penggabungan tersebut, akan terdapat tidak lebih daripada 15 Broker Universal di negara ini, setiap satu daripadanya harus mengandungi satu kumpulan yang mengandungi sekurang-kurangnya empat syarikat broker saham yang sedia ada. Syarikat broker saham akan dibenarkan mencari rakan gabungan mereka sendiri. Dengan ini, mereka diberi sehingga ke penghujung tahun ini bagi menjalankan perjanjian percantuman syarikat di bawah rangka kerja tersebut. Sesebuah syarikat broker saham yang tidak mengadakan perjanjian percantuman tersebut sehingga 31 Disember 2000, tidak akan diperbaharui lesennya.
Selepas penyelesaian proses penggabungan, setiap syarikat broker saham dikehendaki:
- Mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM250 juta, modal teras sekurang-kurangnya RM250 juta dan nisbah kecukupan modal (CAR) sekurang-kurangnya 1.50 kali;
- Memenuhi syarat-syarat kuantitatif dan kualitatif, termasuk standard tadbir urus yang baik dan keupayaan pengurusan; dan
- Memenuhi syarat-syarat SC yang sewajarnya sebagaimana yang diperlukan.
Semua syarikat broker saham yang telah mengadakan perjanjian bagi percantuman sekurang-kurangnya empat syarikat broker saham di bawah rangka kerja penggabungan pada 31 Disember 2000 akan diberikan kredit cukai bagi kerugian terkumpul yang di bawa ke hadapan, dan duti setem serta pengecualian cukai keuntungan hartanah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Tahun 2000 pada 29 Oktober 1999.
Sebuah Broker Universal akan dibenar menawarkan perkhidmatan pasaran modal yang luas. Sejurus selepas memenuhi syarat di atas, sesebuah syarikat broker yang mempunyai kakitangan yang diperlukan, akan dibenar menjalankan kerja-kerja kewangan korporat, membuat pengemukaan cadangan korporat kepada SC bagi pihak pelanggan dan menjalankan dagangan produk derivatif. Pada masa hadapan, ia akan dibenar menjalankan aktiviti perniagaan tambahan yang meliputi mengurus sekuriti hutang persendirian, menjalankan dagangan produk pendapatan tetap dan lain-lain instrumen kewangan apabila diperkenalkan.
Di bawah rangka kerja ini, setiap syarikat broker saham yang lesennya diserahkan akan ditukarkan kepada cawangan. Sesebuah Broker Universal akan diberi kebebasan untuk membuka cawangan di seluruh negara dari 1 Januari 2002, tertakluk kepada kelulusan SC. Untuk tujuan ini, SC akan merumus satu dasar pelaksanaan mengenai pembukaan cawangan. SC akan mempertimbangkan, antara lain, tahap di mana syarikat broker saham telah menguatkuasakan penggabungan, permodalan mereka dan kriteria berkaitan yang lain.
Bagi membolehkan sesebuah syarikat broker beroperasi menggunakan lesen tunggal di kedua-dua pasaran ekuiti dan derivatif (satu dokumen lesen), pindaan akan dibuat kepada Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 (FIA). Sekarang ini, sesebuah syarikat broker saham yang dilesenkan di bawah SIA perlu mewujudkan satu entiti berasingan di bawah FIA untuk menjalankan dagangan produk derivatif. Walau bagaimanapun, bergantung kepada pindaan perundangan tersebut, sesebuah Broker Universal boleh dengan sendirinya dilesenkan di bawah FIA untuk menjalankan dagangan produk derivatif.
Bagi tujuan percantuman di bawah rangka kerja penggabungan ini, penilaian sesebuah syarikat broker saham, samada disenaraikan atau tidak, akan berpandukan Aset Tara Bersih (NTA)-nya. Untuk ini, kecuali syarikat broker yang bermasalah di bawah skim broker Danaharta, penilaian maksimum bagi sesebuah syarikat broker saham tidak akan melebihi 1.5 kali NTAnya. NTA mesti berdasarkan samada laporan kewangan diaudit terkini atau akaun-akaun pada tarikh yang ditetapkan, sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang bergabung, yang telah disahkan oleh juruaudit luar.
Pihak-pihak yang berkelayakan untuk memperoleh sesuatu kepentingan dalam syarikat broker saham yang lain adalah dihadkan kepada syarikat broker saham yang sedia ada dan pemegang saham korporat syarikat broker saham yang sedia ada, ditakrifkan sebagai pemegang saham melebihi 50% pegangan saham, dipegang secara langsung atau tidak langsung. Mana-mana pihak tersebut hendaklah juga memenuhi syarat-syarat berikut:
- menunjukkan keupayaan menguatkuasakan penggabungan menurut sebagaimana yang telah ditetapkan oleh SC;
- menyediakan satu aku janji kepada SC untuk menguatkuasakan penggabungan; dan
- menyerahkan lesen syarikat broker saham yang diperoleh untuk dijadikan sebuah cawangan.
Struktur pegangan saham sesebuah broker saham perlu diselaraskan bagi mengelakkan situasi konflik kepentingan, terutamanya di mana seseorang individu berada pada kedudukan dominan di sesebuah syarikat broker saham dan institusi kewangan.
Oleh itu, seseorang individu yang mempunyai pengawalan efektif dalam sesebuah institusi kewangan tidak lagi dibenarkan mempunyai pengawalan efektif di sesebuah syarikat broker saham. Untuk tujuan ini, seseorang pemegang saham dengan pengawalan efektif adalah ditakrifkan sebagai pemegang saham terbesar tunggal dengan sekurang-kurangnya 20% pegangan saham, yang dipegang secara langsung atau tidak, atau dengan pengaruh yang ketara ke atas Lembaga Pengarah dan pengurusan syarikat berkenaan.
Tambahan lagi, syarikat induk yang terdekat (tersenarai atau tidak) sesebuah syarikat broker saham hanya boleh memegang saham dalam sesebuah syarikat broker dan syarikat-syarikat yang mempunyai perniagaan berkaitan broker saham. Pada masa yang sama, ia tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perniagaan lain yang tidak berkaitan dengan broker saham. Ini adalah bagi menggalakkan tumpuan yang lebih ke atas aktiviti broker saham dan menghalang timbul konflik kepentingan daripada pegangan bersilang.
Syarat 30% pegangan saham Bumiputera yang sedia ada akan dikekalkan dan pembabitan asing dalam pegangan saham ekuiti sesebuah syarikat broker saham, ketika ini, dihadkan kepada 49%. Pembabitan asing hendaklah dikuatkuasakan melalui suntikan modal dalam bentuk langganan saham baru dan bukan melalui pembelian saham daripada pemegang saham sedia ada dalam syarikat broker saham yang diperluas atau yang bergabung.
Tidak akan ada pengecualian kepada peraturan baru ini ke atas hak milik dan struktur korporat dan semua pihak yang terlibat hendaklah memenuhi syarat-syarat ini sehingga 31 Disember 2000 atau sekurang-kurangnya boleh menunjukkan persediaan kontrak yang telah diambil ke arah memenuhi syarat tersebut sebelum tarikh berkenaan. Rayuan kepada SC bagi pelanjutan tempoh oleh pihak terlibat yang tidak berupaya memenuhi syarat baru tersebut sehingga 31 Disember 2000 akan dipertimbangkan sekiranya terdapat alasan yang kukuh dan munasabah.
Satu pasukan petugas yang dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan terdiri daripada wakil SC dan BSKL akan diwujudkan bagi menyemak semula status dan tahap penggabungan broker ini.
2. Kos Transaksi
Liberalisasi kadar komisen tersebut akan dilaksanakan dalam dua peringkat:
- pada Peringkat 1, yang akan berkuatkuasa dari 1 September 2000, kadar komisen bagi semua dagangan melebihi RM100,000 akan boleh dirunding sepenuhnya. Dagangan dengan nilai kontrak RM100,000 dan ke bawah akan tertakluk kepada satu kadar tetap 0.75%; dan
- pada Peringkat 2, yang akan berkuatkuasa dari 1 Julai 2001, kadar komisen akan boleh dirunding sepenuhnya bagi semua dagangan, tertakluk kepada satu kadar maksimum 0.70%.
Fi penjelasan SCANS (Securities Clearing Automated Network Services), fi bagi SCORE (System on Computerised Order Routing and Execution) dan levi SC, yang merupakan sebahagian daripada kos transaksi, juga akan dikurangkan.
Fi penjelasan SCANS akan dikurangkan daripada 0.05% kepada 0.04% berkuatkuasa 1 Julai 2001, tertakluk kepada maksimum RM200 setiap kontrak, sementara fi SCORE akan dikurangkan dalam dua peringkat kepada 0.005% dan 0.0025% masing-masing berkuatkuasa dari 1 September 2000 dan 1 Julai 2001.
Levi SC akan dikurangkan kepada 0.015% daripada kadar sekarang 0.02% berkuatkuasa dari 1 Julai 2001. Ini merupakan kali kedua levi SC dikurangkan. Pengurangan pertama bertepatan dengan pengurangan kadar komisen yang lalu pada Julai 1995, dua tahun selepas SC ditubuhkan, di mana levi tersebut dikurangkan daripada 0.03% kepada 0.02%.
Pengurangan kos transaksi di BSKL adalah berdasarkan perundingan dan maklum balas daripada bursa tersebut dan Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia. Ia juga menimbangkan kos transaksi dalam bidang kuasa lain dan mengambil kira tekanan kompetitif yang dihadapi oleh pasaran.
3. Kesimpulan
Proses penggabungan tersebut disertai dengan pengurangan kos transaksi akan memperkukuhkan pasaran modal tempatan, menjadikannya lebih efisien, teguh dan menjimatkan, dan menjadikan Malaysia sebagai satu pasaran yang kompetitif di rantau ini.