Rangka Kerja Polisi SC Mengenai Penggabungan Industri Broker Saham

Soalan-Soalan Lazim, Garis Panduan dan Butiran Badan Bertindak Dikeluarkan

Kuala Lumpur, 2 Oktober 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ini menyediakan penjelasan lanjut mengenai Rangka Kerja Polisinya mengenai Penggabungan Industri Broker Saham, dengan menerbitkan satu set jawapan bagi soalan-soalan lazim (FAQs). Pada masa yang sama, Suruhanjaya Sekuriti menerbitkan empat garis panduan dan memberikan butiran mengenai badan bertindak yang telah dibentuk bagi mengendalikan proses penggabungan broker saham.

Soalan-Soalan Lazim

Ini merupakan set kedua jawapan bagi Soalan-Soalan Lazim (Lampiran 1) yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Set yang pertama telah dikeluarkan pada 15 Mei 2000. Dengan memberi jawapan kepada soalan-soalan lazim ini, Suruhanjaya Sekuriti berharap dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas di kalangan pihak yang terlibat mengenai pelbagai aspek rangka kerja polisi tersebut.

Soalan-soalan lazim dan jawapan boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti di www.sc.com.my.

Garis Panduan

Melalui perundingan terperinci dengan pihak industri, Suruhanjaya Sekuriti telah merumuskan empat buah set garis panduan berkaitan dengan penggabungan industri broker saham. Garis panduan tersebut adalah:

  1. Garis Panduan Halangan - Langkah Mengehad Risiko dan Mengendali Isu Konflik Kepentingan Di antara Broker Saham dan Syarikat Berkaitannya;
  2. Garis Panduan Pembabitan Kumpulan Broker Saham dalam Perniagaan Hartanah atau Pembinaan;
  3. Garis Panduan Broker Universal; dan
  4. Garis Panduan Penubuhan dan Lokasi Pejabat Cawangan oleh Sesebuah Broker Universal dan Broker Bukan Universal.

Garis panduan-garis panduan ini dan Senarai Semak Kesediaan Ahli bagi Broker Universal boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti di www.sc.com.my.

Badan Bertindak

Badan Bertindak bagi Penggabungan Industri Broker Saham (Badan Bertindak) tersebut telah ditubuhkan sejurus selepas Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan pada 21 April 2000 bahawa satu badan bertindak akan diwujudkan untuk mengkaji semula status dan tahap penggabungan broker saham.

Sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri Kewangan, Badan Bertindak tersebut akan dipengerusikan oleh Dato' Dr Samsudin Hitam, Ketua Setiausha Kementerian Kewangan. Suruhanjaya Sekuriti merupakan Sekretariat kepada Badan Bertindak tersebut.

Ahli-ahli Badan Bertindak lain terdiri daripada wakil-wakil dari:

Kementerian Kewangan
Yang Berbahagia Dato' Md. Nor Md. Yusof, Penasihat;
Cik Siti Hadzar Mohd Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar); dan
Encik Ahmad bin Haji Hashim, Setiausaha (Kewangan).
Suruhanjaya Sekuriti
Yang Berbahagia Dato' Ainum Mohd Saaid, Timbalan Ketua Eksekutif;
Encik Siow Kim Lun, Pengarah, Bahagian Pengawasan Pasaran; dan
Cik Hasnah Omar, Ketua/Pengurus Kanan, Jabatan Pengawasan Perantara (sebagai ahli alternatif).
Bursa Saham Kuala Lumpur
Encik Md Nor Ahmad, Timbalan Presiden; and
Mr. Devanesan Evanson, Naib Presiden Kanan, Bahagian Pematuhan dan Pemeriksaan, Kumpulan Pengawasan Pasaran.
Bidang tugas Badan Bertindak tersebut adalah:
Mengawas dan mengkaji semula kemajuan dan tahap penggabungan industri broker saham;
Menilai kejayaan dan kemajuan yang dibuat oleh industri broker saham dan memastikan bahawa penggabungan dikuatkuasakan sejajar dengan dasar Kerajaan; dan
Mengendali kemajuan penggabungan industri broker saham, termasuk menilai insentif sedia ada bagi menggalakkan penggabungan, jika perlu.
Sejak penubuhannya, Badan Bertindak tersebut telah bermesyuarat sebanyak dua kali bagi membincangkan isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan rangka kerja polisi penggabungan industri broker saham.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Lampiran 1

SOALAN-SOALAN LAZIM PENGGABUNGAN INDUSTRI BROKER SAHAM
1. Dengan pemansuhan tarikh akhir 31 Disember 2000, adakah Suruhanjaya Sekuriti mempunyai jangka waktu tertentu bagi penguatkuasaan penggabungan? Apakah senario yang Suruhanjaya Sekuriti harapkan akan dilihat di peringkat akhir proses penggabungan tersebut?
Walaupun tidak terdapat jangka waktu tertentu bagi proses penggabungan tersebut, Suruhanjaya Sekurti tidak menjangka syarikat broker saham akan melengahkan penggabungan tersebut. Pemansuhan tarikh akhir 31 Disember 2000 tidak memansuhkan perlunya tindakan segera untuk bergabung kerana tanpa penggabungan, syarikat broker saham tidak akan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran persekitaran yang berubah, yang antara lainnya termasuk penurunan kadar komisen, liberalisasi berperingkat polisi pembukaan cawangan, kedatangan perdagangan elektronik dan liberalisasi keseluruhan pasaran.
Suruhanjaya Sekuriti akan mengawasi dan mengawal kemajuan usaha-usaha penggabungan yang ditentukan oleh pasaran dan akan mengkaji semula secara aktif kemajuan yang dicapai.
Persatuan Syarikat-Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM), yang juga termasuk wakil-wakil dari syarikat broker saham yang disokong bank, telah memberikan komitmen bahawa syarikat broker saham akan bergabung dengan sekurang-kurangnya dengan satu syarikat broker saham (penggabungan dua hala) sebelum penghujung tahun. Oleh itu, berdasarkan perundingan dengan ASCM, Suruhanjaya Sekuriti menganggarkan sebanyak lebih kurang lima kumpulan Broker Universal sebelum penghujung tahun ini atau awal tahun depan, dan kira-kira sebanyak lapan hingga 10 Broker Universal sebelum penghujung tahun 2001.
2. Adakah kriteria kelayakan permulaan bagi Broker Universal masih boleh dipakai? Secara khusus, adakah Suruhanjaya Sekuriti masih menghendaki empat syarikat broker saham untuk bergabung di bawah setiap Broker Universal? Adakah kriteria yang sama digunakan bagi syarikat broker saham yang disokong oleh bank, sebagai satu kumpulan, boleh menyediakan perkhidmatan yang sama?
Kriteria kelayakan permulaan bagi Broker Universal seperti yang diumumkan dalam kenyataan akhbar Suruhanjaya Sekuriti pada 21 April 2000 masih dipakai. Syarikat broker saham yang ingin mendapatkan kemudahan yang diperuntukkan kepada Broker Universal masih dikehendaki bergabung dengan sekurang-kurangnya tiga buah syarikat broker lain dan memenuhi kriteria kelayakan yang diperlukan seperti berikut:
Mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM250 juta, modal teras sekurang-kurangnya RM250 juta dan nisbah kecukupan modal sekurang-kurangnya 1.50 kali;
Memenuhi syarat-syarat kuantitatif dan kualitatif, yang meliputi standard tadbir urus yang baik dan keupayaan pengurusan; dan
Memenuhi kriteria keperluan syarat-syarat layak dan patut Suruhanjaya Sekuriti.
Kriteria di atas digunakan secara konsisten bagi kedua-dua syarikat broker saham yang disokong dan tidak disokong bank.
Untuk tujuan ini, Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti bagi Broker Universal telah dirumuskan, melalui rundingan terperinci dengan peserta industri berkaitan, termasuk ASCM. Garis Panduan ini boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti.
3. Apakah insentif-insentif di bawah rangka kerja polisi bagi Broker Universal?
Seperti mana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Sekuriti sebelum ini, Broker Universal akan dibenarkan untuk menjalankan perkhidmatan pasaran modal yang meluas, termasuk produk dan perkhidmatan baru apabila diperkenalkan. Broker Universal juga akan diberi keistimewaan untuk membuka cawangan-cawangan dan mendapat manfaat daripada insentif cukai yang diumumkan dalam Belanjawan Tahun 2000 pada 29 Oktober 1999.
Bagi menggalakkan penubuhan Broker Universal yang lebih banyak, syarikat broker saham yang telah mengadakan perjanjian yang kukuh untuk menjadi Broker Universal sebelum 31 Disember 2000 akan diberikan hak untuk membuka satu cawangan tambahan bagi setiap lesen syarikat broker saham yang diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti (iaitu, satu cawangan baru tambahan bagi setiap lesen yang diserahkan). Sebagai contoh, sebuah Broker Universal yang tertubuh berikutan penggabungan empat buah syarikat broker saham, sekarang boleh mempunyai enam cawangan (tidak termasuk Pejabat Prinsipal). Sebagai tambahan, bagi menggalakkan penubuhan Broker Universal yang bermodal besar, sesebuah Broker Universal yang akan memeterai perjanjian penggabungan syarikat untuk menjadi Broker Universal sebelum 31 Disember 2000, dengan modal teras sekurang-kurangnya RM500 juta, akan diberikan cawangan bonus tambahan sejurus selepas memenuhi syarat ini.
Selepas itu, mulai 1 Januari 2002, Broker Universal akan diberikan keistimewaan untuk membuka cawangan-cawangan di seluruh negara, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.
Untuk tujuan ini, Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti mengenai Penubuhan dan Lokasi Pejabat Cawangan oleh Broker Universal dan Broker Bukan Universal telah dirumuskan, melalui rundingan terperinci dengan peserta industri berkaitan, termasuk ASCM. Garis Panduan ini boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti.
4. Adakah syarikat broker saham dibenarkan untuk bergabung dengan kurang daripada tiga syarikat broker saham di bawah rangka kerja polisi yang diubah suai yang diumumkan pada 12 Jun 2000? Apakah yang akan terjadi kepada syarikat broker saham yang tidak layak atau yang tidak berhasrat untuk menjadi Broker Universal? Adakah Suruhanjaya Sekuriti akan membenarkan syarikat-syarikat broker saham yang bersendirian meneruskan operasi?
Di bawah rangka kerja polisi yang diubah suai, sesebuah syarikat broker saham dibenarkan untuk bergabung dengan kurang daripada tiga pihak tetapi dalam kes ini, ia tidak layak untuk mendapat status Broker Universal. Entiti-entiti tersebut yang tidak layak atau yang tidak berhasrat untuk menjadi Broker Universal boleh terus memberi khidmat kepada bidang pasaran masing-masing. ASCM serta wakil syarikat broker saham yang disokong bank telah menyatakan komitmen mereka untuk bergabung dengan sekurang-kurangnya sebuah lagi syarikat broker saham sebelum penghujung tahun ini.
Suruhanjaya Sekuriti ingin mengingatkan industri, walau bagaimanapun, bahawa Broker Bukan Universal ini mungkin tidak akan berupaya untuk terus wujud dan bersaing dalam persekitaran yang diliberalisasi. Keadaan persekitaran akan menyebabkan penutupan syarikat broker saham tersebut. Kita juga akan melihat Broker Bukan Universal ini akhirnya akan dipaksa untuk bergabung atau diambil alih oleh Broker Universal. Oleh itu, demi kepentingan syarikat-syarikat ini dan industri secara keseluruhan, Suruhanjaya Sekuriti menggalakkan penubuhan sejumlah Broker Universal yang secukupnya yang bermodal besar dan mempunyai perkhidmatan penuh. Penggabungan syarikat broker saham kepada Broker Universal akan menyediakan anjalan kepada pencapaian ekonomi ikut bidangan dan pengumpulan sumber dan keupayaan bagi mewujudkan perantara yang mampu bersaing.
5. Apakah dasar Suruhanjaya Sekuriti mengenai perdagangan elektronik bagi syarikat broker saham di bawah rangka kerja penggabungan ini?
Rangka kerja penggabungan tersebut telah diwujudkan selepas mempertimbangkan keperluan bagi pelaksanaan perdagangan elektronik dalam pasaran modal yang teratur dan efektif. Polisi Suruhanjaya Sekuriti bagi pembangunan perdagangan elektronik yang berkaitan dengan syarikat broker saham akan terus digunakan dalam rangka kerja penggabungan tersebut.
Untuk tujuan ini, Suruhanjaya Sekuriti kini sedang berusaha bersama institusi pasaran dan peserta industri sekuriti untuk melaksanakan langkah bagi memudahkan lagi aktiviti dagangan atas talian oleh syarikat broker saham.
Mengenai penyediaan kiosk-kiosk Internet, syarikat broker saham akan dibenarkan untuk mengendalikan kiosk internet tersebut pada masa yang sesuai bagi menyediakan maklumat pasaran, dengan syarat, syarikat tersebut mematuhi keperluan tertentu yang sedang dirumus oleh Suruhanjaya Sekuriti dan bursa-bursa saham, melalui rundingan dengan peserta industri sekuriti. Suruhanjaya Sekuriti akan mengumumkan keperluan-keperluan ini sebelum penghujung tahun ini.
6. Apabila Suruhanjaya Sekuriti mula mengumumkan rangka kerja polisi bagi penggabungan syarikat broker saham pada 21 April 2000, ia menyatakan bahawa "semua syarikat broker saham yang telah melaksanakan perjanjian penggabungan yang kukuh bagi penggabungan dengan sekurang-kurangnya empat syarikat broker saham sebelum 31 Disember 2000 akan diberikan kredit cukai bagi kerugian terkumpul yang dibawa ke hadapan, dan pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah seperti yang diumumkan pada Belanjawan Tahun 2000 pada 29 Oktober 1999". Apakah pendirian kerajaan sekarang, dengan tiadanya kewajipan bagi penggabungan di antara empat syarikat broker saham?
Tujuan insentif cukai adalah bagi menggalakkan penggabungan awal dan penubuhan Broker Universal. Dengan itu, insentif cukai seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan Tahun 2000 akan diperuntukkan kepada syarikat broker saham yang mengadakan perjanjian penggabungan untuk menjadi Broker Universal sebelum 31 Disember 2000. Broker Universal yang ditubuhkan di antara 1 Januari 2001 dan 31 Disember 2001 akan terus diperuntukkan insentif cukai yang sama, meskipun pada kadar yang lebih rendah. Huraian adalah seperti berikut:
Syarikat broker saham yang mengadakan perjanjian penggabungan yang kukuh untuk menjadi Broker Universal sebelum 31 Disember 2000.
Insentif cukai seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan Tahun 2000 adalah ditawarkan kepada syarikat broker saham yang mengadakan perjanjian penggabungan yang kukuh untuk menjadi Broker Universal sebelum 31 Disember 2000. Insentif-insentif ini termasuk penggunaan 50% daripada kerugian cukai syarikat broker saham yang diperoleh sebagai kredit cukai kepada entiti yang memperoleh untuk digunakan dalam masa dua tahun, dan pengecualian Duti Setem dan Cukai Keuntungan Hartanah kepada syarikat broker saham yang mengadakan penggabungan yang kukuh dari 30 Oktober 1999 sehingga 31 Disember 2000.
Syarikat broker saham yang mengadakan perjanjian yang kukuh untuk menjadi Broker Universal dari 1 Januari 2001 sehingga 31 Disember 2001.
Syarikat broker saham yang mengadakan perjanjian penggabungan yang kukuh untuk menjadi Broker Universal dari 1 Januari 2001 sehingga 31 Disember 2001 masih lagi layak mendapat insentif cukai yang sama, tetapi pada kadar yang berkurangan. Insentif-insentif ini termasuk penggunaan 50% daripada kerugian cukai syarikat broker saham yang diperoleh sebagai kredit cukai kepada entiti yang memperoleh untuk digunakan dalam masa satu tahun, dan pengecualian 100% Duti Setem dan pengecualian 100% Cukai Keuntungan Hartanah.
7. Apakah rasional bagi pemilikan syarikat broker saham untuk tidak merangkumi kumpulan yang mempunyai kepentingan dalam sektor hartanah dan pembinaan? Apakah maksud "aktiviti hartanah atau pembinaan" dalam konteks polisi penggabungan broker saham?
Oleh kerana ciri-ciri turun naik perniagaan ini, terdapat keperluan untuk melindungi syarikat broker saham daripada kemungkinan risiko penularan yang disebabkan oleh perniagaan hartanah dan pembinaan. Perniagaan hartanah dan pembinaan juga tidak membawa sebarang sinergi kepada perniagaan pembrokeran. Di samping itu, pelaburan dalam perniagaan hartanah atau pembinaan melibatkan modal yang besar dan boleh menyebabkan tekanan kewangan ke atas perniagaan broker saham dalam kumpulan syarikat tersebut.
Untuk tujuan ini, Suruhanjaya Sekuriti, melalui perundingan dengan peserta industri (termasuk ASCM dan wakil daripada syarikat awam tersenarai yang berkaitan dengan hartanah atau pembinaan), telah merumuskan Garis Panduan Pembabitan Kumpulan Broker Saham dalam Perniagaan Hartanah atau Pembinaan. Garis Panduan ini boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti.
Pada dasarnya, Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti mengenai Pembabitan Kumpulan Broker Saham dalam Perniagaan Hartanah atau Pembinaan mengandungi perkara berikut :
Bagi syarikat awam tersenarai yang mempunyai kepentingan dalam sesebuah syarikat broker saham, pengasingan pemilikan sesebuah perniagaan broker saham daripada pemilikan perniagaan hartanah atau pembinaan akan dihadkan kepada syarikat induk terdekat yang tersenarai (syarikat awam tersenarai terdekat) dan semua anak-anak syarikat dan syarikat bersekutunya.
Bagi syarikat awam tidak tersenarai yang mempunyai kepentingan dalam sesebuah syarikat broker saham, pengasingan pemilikan sesebuah perniagaan broker saham daripada pemilikan perniagaan hartanah atau pembinaan akan dihadkan kepada syarikat induk terdekat dan kesemua anak syarikat dan syarikat bersekutunya.
"sesuatu kepentingan dalam sesebuah syarikat broker saham" bermaksud mempunyai sebuah anak syarikat broker saham, samada secara langsung atau tidak.
Pada tarikh terbitan garis panduan ini, di mana aktiviti teras perniagaan sesebuah kumpulan (yang menyumbang sekurang-kurangnya 20% daripada keuntungan purata kumpulan yang diaudit sebelum cukai sepanjang lima tahun yang lepas, atau aset yang digunakan berdasarkan akaun diaudit terkini) merupakan hartanah atau pembinaan, atau melibatkan status penyenaraian syarikat induknya, pihak-pihak ini akan dikecualikan daripada keperluan Garis Panduan ini (dengan syarat, syarat-syarat yang dinyatakan dalam Garis Panduan ini dipenuhi) sehingga halangan yang mencukupi dan berkesan diperkenalkan di antara perniagaan broker saham kumpulan tersebut dan aktiviti hartanah atau pembinaannya.
Di mana pelaburan atau pegangan sesebuah kumpulan dalam hartanah atau pembinaan, bebas daripada penggearan, pegangan ini juga akan dikecualikan daripada keperluan Garis Panduan ini sehingga halangan yang mencukupi dan berkesan diperkenalkan bagi melindungi perniagaan broker saham.
Sekiranya hartanah sesebuah kumpulan dihalang, hendaklah ada polisi-polisi bagi mencegah risiko kegagalan oleh syarikat induk dan syarikat yang berkaitan daripada memberi kesan kepada kedudukan kewangan syarikat broker saham berkenaan
Tertakluk kepada di atas, pihak-pihak yang terlibat dikehendaki menyusun semula kepentingan hartanah atau pembinaan mereka dalam masa tiga tahun dari tarikh berkuat kuasa Garis Panduan ini, di mana pada masa itu, kumpulan tersebut akan tertakluk kepada halangan efektif yang dinyatakan sebelum ini. Tambahan pula, kumpulan yang terlibat adalah dihalang daripada menceburi aktiviti perniagaan baru yang berkaitan dengan hartanah atau pembinaan.
Mana-mana kumpulan yang sekarang ini mempunyai kepentingan broker saham dan kini tidak terlibat dalam sektor hartanah atau pembinaan dihalang daripada meneroka atau terlibat dalam aktiviti hartanah atau pembinaan pada masa hadapan.
8. Dengan pengasingan perniagaan broker saham daripada institusi kewangan tidak diperlukan lagi sekarang, apakah langkah yang akan diambil dalam menangani isu konflik kepentingan berkaitan syarikat broker saham yang disokong bank serta aktiviti lain yang dijalankan oleh broker saham yang berkemungkinan menimbulkan situasi konflik kepentingan?
Sebagai tambahan kepada langkah halangan yang dicadangkan berkenaan aktiviti hartanah atau pembinaan syarikat yang berkaitan dengan syarikat broker saham, Suruhanjaya Sekuriti juga telah merumus polisi halangan agar mengandungi risiko tanggung kredit dan/atau syarikat pajakan dan institusi perbankan yang berkaitan dengan syarikat broker saham. Atas dasar ini, Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti mengenai Halangan - Langkah untuk Mengehad Risiko dan Mengendali Isu Konflik Kepentingan Di antara Broker Saham dan Syarikat Berkaitannya telah dirumuskan, dengan mengadakan rundingan terperinci bersama peserta industri berkaitan, termasuk ASCM dan wakil daripada syarikat broker saham yang disokong bank. Garis Panduan ini boleh didapati di laman web Suruhanjaya Sekuriti.
9. Adakah polisi Suruhanjaya Sekuriti berkaitan dengan penurunan kos transaksi terjejas oleh Pengubahsuaian Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham?
Polisi Suruhanjaya Sekuriti berkaitan dengan pengurangan kos transaksi tetap tidak berubah seperti berikut :
Pada Peringkat 1, yang akan berkuat kuasa dari 1 September 2000, kadar komisen bagi semua dagangan melebihi RM100,000 boleh dirunding sepenuhnya. Dagangan dengan nilai kontrak RM100,000 dan ke bawah akan tertakluk kepada satu kadar tetap 0.75%..
Pada Peringkat 2, yang akan berkuat kuasa dari 1 Julai 2001, kadar komisen boleh dirunding sepenuhnya bagi semua dagangan, tertakluk kepada satu kadar maksimum 0.70%. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti akan mengkaji semula situasi tersebut sebelum melaksanakan peringkat kedua ini.
Fi penjelasan SCANS (Securities Clearing Automated Network Services), fi bagi SCORE (System on Computerised Order Routing and Execution) dan levi Suruhanjaya Sekuriti juga akan dikurangkan seperti berikut:
Fi penjelasan SCANS akan dikurangkan daripada 0.05% kepada 0.04% berkuat kuasa 1 Julai 2001, tertakluk kepada maksimum RM200 setiap kontrak.
Fi SCORE akan dikurangkan dalam dua peringkat kepada 0.005% dan 0.0025% masing-masing berkuat kuasa dari 1 September 2000 dan 1 Julai 2001.
Levi Suruhanjaya Sekuriti akan dikurangkan kepada 0.015% daripada kadar sekarang 0.02% berkuat kuasa 1 Julai 2001.
Pengurangan Peringkat 1 kadar komisen dan fi SCORE telah pun dimasukkan dalam Peraturan Perniagaan BSKL dan MESDAQ. Sebagai tambahan, perkara berikut telah ditentukan :
Bagi dagangan dengan nilai kontrak sebanyak RM100,000 ke bawah, fi pembrokeran adalah kadar minimum yang ditentukan sekarang (iaitu RM2.00 bagi urus niaga pinjaman dan RM5.00 bagi urus niaga-urus niaga lain) atau fi pembrokeran tersebut dikira pada kadar 0.75% daripada nilai kontrak, menurut mana yang lebih tinggi. Bagi dagangan dengan nilai kontrak melebihi RM100,000, fi pembrokeran adalah boleh dirunding sepenuhnya.
Bagi instrumen lain yang didagangkan di BSKL, iaitu bon Kerajaan, debentur Munisipal, bon Dolar Asia, debentur tidak boleh tukar lain, serta opsyen luar negara, fi pembrokeran adalah berdasarkan boleh dirunding sepenuhnya.
Rebet ke atas fi pembrokeran juga adalah berdasarkan boleh dirunding sepenuhnya.
Fi pembrokeran yang boleh dikenakan ke atas urus niaga antara-broker adalah seperti berikut:
Bagi stok, saham biasa, saham keutamaan dan sekuriti tersenarai lain
Bagi dagangan dengan nilai kontrak RM100,000 ke bawah, kadar yang lebih tinggi daripada kadar minimum yang ditetapkan sekarang (iaitu RM2.00 bagi urus niaga pinjaman dan RM5.00 bagi urus niaga lain) atau fi pembrokeran tersebut dikira pada kadar 0.75% daripada nilai kontrak.
Dagangan dengan nilai kontrak melebihi RM100,00 akan boleh dirunding sepenuhnya.
Bagi instrumen lain yang didagangkan di BSKL
Berdasarkan boleh dirunding sepenuhnya.
Bagi Urus niaga Perniagaan Langsung
Berdasarkan boleh dirunding sepenuhnya, seperti sekarang ini.


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup