Rangka Tindakan tersebut menyediakan pelan tindakan bagi meningkatkan standard tadbir urus korporat di Malaysia dengan mengukuhkan disiplin diri dan pasaran dan menggalakkan pengantarabangsaan yang lebih besar terhadap budaya dan tadbir urus yang baik.
“Inti pati bagi Rangka Tindakan tersebut adalah bagi mencapai Kecemerlangan Dalam Tadbir Urus Korporat dengan menerapkan budaya tadbir urus korporat yang baik. Menjadi tanggungjawab bersama semua peserta pasaran modal untuk menjaga dan mewujudkan nilai serta memenuhi harapan pemegang saham,” kata Tan Sri Zarinah Anwar pada pelancaran Rangka Tindakan CG tersebut.
Rangka Tindakan itu merupakan usaha pertama yang berjaya diwujudkan hasil daripada Pelan Induk Pasaran Modal 2 (CMP2). Dilancarkan pada bulan April lalu, CMP2 10 tahun itu menyasarkan untuk mengembangkan peranan pasaran modal dalam mencergaskan pertumbuhan ekonomi negara tetapi menekankan bahawa pertumbuhan itu hanya boleh dikekalkan sekiranya disokong oleh sistem kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang betul
Dalam membentuk Rangka Tindakan tersebut, kajian terperinci dan tanda aras antarabangsa telah digunakan bagi memastikan supaya cadangan yang dibuat cukup adalah kukuh dan dibentuk memenuhi landskap tadbir urus Malaysia.
Dibangunkan melalui proses rundingan yang sangat terperinci, Rangka Tindakan itu memfokuskan kepada enam tema ekosistem tadbir urus korporat yang saling berkait iaitu hak pemegang saham, peranan pelabur institusi, lembaga pengarah, pengawal dan mereka yang berpengaruh, penzahiran dan ketelusan serta penguatkuasaan persendirian dan awam.
Memudahcarakan pelaksanaan hak pemegang saham Beberapa langkah dicadangkan bagi merangsang aktiviti yang lebih besar di kalangan pemegang saham. Ini termasuklah pembuangan undi mandatori terhadap kelulusan resolusi transaksi pihak ketiga yang berkaitan dan peraturan bagi pengerusi mesyuarat agung memaklumkan kepada pemegang saham mengenai hak mereka untuk menuntut diadakan undian bertulis sebelum pengundian dijalankan.
Pemilikan bertanggungjawab pelabur institusi Rangka Tindakan turut memperakui peranan kepimpinan yang boleh dimainkan oleh pelabur institusi melalui pelaksanaan pemilikan bertanggungjawab. Oleh itu, satu kod pengawasan dan badan penaung bagi pelabur institusi akan dibentuk bagi menggalakkan pemilikan yang bertanggungjawab.
Lembaga pengarah sebagai fidusiari aktif dan bertanggungjawab Mengenai peranan ahli lembaga, Rangka Tindakan itu mencadangkan langkah bagi membolehkan ahli lembaga menjadi fidusiari yang lebih aktif dan bertanggungjawab. Langkah ini termasuklah satu piagam formal mandatori ahli lembaga, pengehadan tempoh pengarah bebas dan pengurangan bilangan jawatan pengarah dalam syarikat tersenarai yang boleh dipegang oleh pengarah, pemisahan peranan pengerusi dan CEO, dan penubuhan satu pasukan petugas bagi menjalankan kajian industri mengenai bayaran pengarah. Rangka Tindakan itu juga memberikan mandat kepada penubuhan Jawatankuasa Pencalonan, yang dipengerusikan oleh pengarah bebas, yang perlu difokuskan kepada merekrut, menilai, mempelbagaikan dan keperluan latihan bagi pengarah.
Peranan pengawal dan mereka yang berpengaruh Menyedari bahawa ahli lembaga tidak boleh berfungsi sendiri, Rangka Tindakan itu mengetengahkan peranan penting pengawal dan mereka yang berpengaruh – golongan profesional seperti penasihat korporat, setiausaha syarikat dan media – dan mencadangkan langkah seperti memperjelas peranan setiausaha syarikat dalam tadbir urus korporat, mengkaji pelanjutan tanggungjawab pemberi maklumat kepada beberapa golongan profesional dan menambah baik kod tatalaku bagi mencegah penyalahgunaan maklumat sensitif pasaran.
Memperbaiki penzahiran dan ketelusan Cadangan bagi membaiki penzahiran dan ketelusan termasuk memendekkan tempoh penyerahan laporan suku tahun dan tahunan dan membuat syarikat fokus kepada isi laporan dan bukan sekadar memenuhi peraturan tadbir urus korporat.
Memudahcarakan tindakan penguatkuasaan persendirian Bagi memudahkan pemegang saham mengambil tindakan penguatkuasaan persendirian bagi penyelesaian sivil, satu kumpulan kerja akan ditubuhkan bagi mengkaji kesesuaian pendanaan litigasi oleh pihak ketiga bagi membantu pelabur dalam tindakan penguatkuasaan persendirian.
Cadangkan dalam Rangka Tindakan tersebut akan dilaksanakan bagi tempoh lima tahun. Kebanyakan daripada cadangan itu akan diterapkan melalui kod tadbir urus korporat dan perubahan kepada Peraturan Penyenaraian, kedua-duanya akan berkuat kuasa mulai awal tahun 2012. Beberapa cadangan perlu diteliti dan dikaji lebih lanjut melalui penubuhan pasukan petugas dan kumpulan kerja yang dijangka akan diterajui oleh industri dengan kerjasama SC. Terdapat juga cadangan yang akan membabitkan pindaan perundangan. Semua cadangan Rangka Tindakan itu akan hanya berkuat kuasa selepas mekanisme perubahan yang sesuai dilakukan bagi memastikan gangguan minimum.
SC mengalu-alukan maklum balas mengenai Rangka Tindakan itu daripada semua pihak yang berminat dan orang ramai. Saluran untuk mengemukakan komen dibuka sehingga 15 September 2011 melalui e-mel kepada CGblueprint@ seccom.com.my.