SC Akan Memberi Laporan Kesediaan Pasaran Modal Malaysia Tahun 2000

Kuala Lumpur, 7 April 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memberi laporan tentang tahap kesediaan pasaran modal Malaysia dalam menghadapi pepijat alaf di "Persidangan Tahun 2000: Kesediaan Pasaran Modal Malaysia" SC pada 12 April 1999.

Sejak 1997, SC telah mengambil langkah inisiatif untuk memastikan institusi dan perantara pasaran modal akan mengambil langkah segera menyediakan diri mereka bagi menghadapi kesulitan masalah Tahun 2000 (Y2K).

Usaha yang dijalankan oleh SC dalam memastikan pematuhan Y2K termasuklah menganjurkan program kesedaran, mengendalikan kajian kesediaan pasaran modal dan mengenal pasti tarikh sasaran bagi penyiapan aktiviti penting pematuhan Y2K. SC juga memerlukan kesemua institusi pasaran modal - Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ), Bursa Opsyen dan Kewangan Niaga Hadapan Kuala Lumpur (KLOFFE), Bursa Komoditi dan Kewangan Malaysia (COMMEX), Rumah Penjelasan Derivatif Malaysia (MDCH), Rumah Terbitan Malaysia (MIH) dan MIDF Consultancy & Corporate Services (MIDFCCS) - untuk menyediakan laporan progresif langkah pematuhan Y2K.

Institusi pasaran juga perlu mengawasi dan menyerahkan laporan progresif kesediaan ahli syarikat mereka, termasuk syarikat bursa saham dan broker niaga hadapan. Laporan status Y2K syarikat awam tersenarai dibuat melalui BSKL sementara laporan syarikat pengurusan unit amanah dan aset dibuat terus kepada SC.

Oleh itu, Persidangan Tahun 2000 merupakan landasan bagi SC melaporkan hasil usaha berkaitan Y2K yang dijalankan sehingga hari ini berhubungan pasaran modal Malaysia. Ia juga akan menyediakan laporan global terkini tentang subjek berkenaan dan juga melancarkan perbincangan melalui sesi panel tentang penilaian risiko dan rancangan luar jangka.

Kemuncak persidangan tersebut termasuklah Ucapan Pembukaan bertajuk "Cabaran Pasaran Kewangan dalam Menghadapi Masalah Tahun 2000" oleh Y.B. Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan I dan Menteri Tugas-tugas Khas. Penceramah dan ahli panel lain terdiri daripada:
Encik Ramli Saad, Pengarah Sistem Maklumat, Bank Negara Malaysia

  • Dr. Nik Ramlah Nik Mahmood, Pengarah, SC;
  • Ungku A Razak Ungku A Rahman, Timbalan Presiden, BSKL;
  • Encik Khairil Anuar Abdullah, Pengerusi Eksekutif, MESDAQ;
  • Cik Wong Fay Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, MDCH; dan
  • Encik Alan Chong, Juruunding Utama, RMA Consulting, Australia.

Dalam usahanya untuk menanamkan kesedaran masalah Y2K, SC sentiasa menekankan masalah Y2K adalah satu masalah perniagaan yang membabitkan undang-undang dan perdagangan yang meluas dan bukan hanya masalah teknikal. Oleh yang demikian, peserta sasaran bagi persidangan ini adalah pengurusan kanan bursa, rumah penjelasan dan lain-lain institusi pasaran serta perantara pasaran seperti pengurus dana, broker saham dan broker niaga hadapan. SC menjangka mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam melaksanakan langkah mengurangkan risiko Y2K bagi syarikat mereka termasuk golongan profesional seperti peguam, akauntan, pengurus IT, bank-bank saudagar akan juga mendapat faedah daripada persidangan ini.

Mereka yang berminat, boleh menghubungi Puan Rosma Abd Azid di tel: (03) 654 8590 atau faks: (03) 651 5811 untuk maklumat lanjut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diedarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di tel no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/ 03-654 8197 (Ida Mariana Azmi) atau faks no.: 03-651 5078.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup