Mesyuarat itu disasarkan ke arah perkongsian pengalaman pengawalseliaan dan amalan penguatkuasaan, meliputi topik meluas seperti manipulasi pasaran dan perdagangan orang dalam, menyiasat transaksi rentas sempadan yang dikaitkan dengan penipuan penyata kewangan dan isu-isu penguatkuasaan yang timbul daripada penyenaraian asing. Mesyuarat itu juga bakal menjadi platform bagi meningkatkan kerjasama di kalangan pengawal selia sekuriti di rantau ini bagi membolehkan pengesanan dan penguatkuasaan kesalahan sekuriti rentas sempadan yang lebih berkesan.
Mesyuarat tersebut, yang akan dipengerusikan oleh Pengarah Urusan SC, Dato Dr Nik Ramlah Mahmood, akan dihadiri oleh pengawal selia kanan dari 11 bidang kuasa dalam rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Chinese Taipei, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Singapura, Sri Lanka dan Thailand.
IOSCO diakui sebagai satu forum dasar antarabangsa yang terkemuka bagi pengawal selia sekuriti. Ahli-ahli organisasi ini mengawal selia lebih 95% daripada pasaran sekuriti dunia dalam lebih 100 bidang kuasa. Sebagai forum dasar antarabangsa terkemuka bagi pengawal selia sekuriti, IOSCO memainkan peranan penting dalam menentukan standard antarabangsa bagi kawal selia sekuriti, mengenal pasti isu-isu yang mempengaruhi pasaran global, dan mengemukakan cadangan dalam menghadapi cabaran tersebut.