SC akan menolak cadangan oleh syarikat PN4 yang telah diberikan Notis Akhir Penyahsenaraian

Kuala Lumpur, 21 November 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan bahawa ia akan menolak cadangan penyusunan semula daripada syarikat PN4 yang telah diberikan notis akhir untuk dinyahsenaraikan oleh Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Syarikat PN4 ialah syarikat tersenarai yang menghadapi masalah untuk memenuhi syarat kewangan untuk terus didagangkan dan disenaraikan di BSKL. Ia telah diberikan masa dan peluang untuk merombak kedudukan kewangannya kepada tahap minimum yang diperlukan oleh sesebuah syarikat tersenarai. Jika ia gagal berbuat demikian, BSKL akan memulakan tindakan untuk menyahsenaraikan syarikat tersebut yang mempunyai hak untuk membuat rayuan. Sekiranya rayuan tersebut gagal, BSKL seterusnya akan mengeluarkan notis akhir untuk penyahsenaraian.

Apabila penyahsenaraian sudah ditetapkan, SC akan menolak dan memulangkan cadangan penyusunan semula syarikat PN4 yang masih tertunggak, atau tidak akan menerima cadangan jika ia dikemukakan selepas syarikat telah diberikan notis tersebut.

“Syarikat PN4 mengemukakan cadangan penyusunan semula mereka dalam kapasiti mereka sebagai syarikat tersenarai, tetapi apabila status penyenaraian mereka dibatalkan, atau penyahsenaraian telah ditetapkan, SC tidak boleh memproses cadangan penyusunan semula mereka seperti cadangan oleh syarikat tersenarai,” kata SC.

“Syarikat yang diberikan notis akhir oleh BSKL mesti menunggu untuk dinyahsenaraikan dan hanya boleh mengemukakan cadangan untuk penyenaraian semula selepas penyahsenaraian berlaku. Syarikat yang mengemukakan cadangan mereka dalam tempoh setahun akan menikmati kelonggaran tertentu, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman SC pada Jun tahun ini,” tambah SC. Mereka patut mengkaji untuk membina semula syarikat mereka, dan mesti menunjukkan pengukuhan dari segi kewangan dan kualitatif seperti semua syarikat yang ingin disenaraikan.

Syarikat PN4 yang dinyahsenaraikan yang ingin memohon penyenaraian semula di BSKL boleh merujuk kepada Nota Panduan 6A yang dikeluarkan oleh SC pada 18 Jun 2003. Nota Panduan tersebut dikeluarkan menurut Bab 6 Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti (Policies and Guidelines on Issue/Offer of Securities).

Semua syarikat PN4 yang mengemukakan cadangan penyusunan semula atau cadangan penyenaraian semula kepada SC diingatkan supaya memastikan cadangan mereka adalah lengkap dan mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditentukan oleh SC. “Mana-mana cadangan yang didapati tidak memuaskan akan ditolak dari awal lagi,” SC menekankan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup