SC Ambil Tindakan Penguatkuasaan terhadap Binance kerana Beroperasi Secara Haram di Malaysia
30 Julai 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Binance kerana mengendalikan bursa aset digital (DAX) secara haram. Di bawah seksyen 7(1) dan 34(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, semua pengendali DAX mestilah didaftarkan dengan SC sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO).
Oleh itu, SC telah mengeluarkan satu celaan awam terhadap Binance kerana terus beroperasi secara haram di Malaysia walaupun telah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC pada bulan Julai 2020. Sehubungan ini, celaan awam telah dikeluarkan terhadap Binance Holdings Limited (Didaftarkan di Kepulauan Cayman), Ketua Pegawai Eksekutifnya Zhao Changpeng, serta tiga entiti Binance yang lain, iaitu Binance Digital Limited (Didaftarkan di UK), Binance UAB (Didaftarkan di Lithuania) dan Binance Asia Services Pte Ltd (Didaftarkan di Singapura).

Keempat-empat entiti Binance telah diperintahkan oleh SC untuk:
  1. menyahupayakan laman web Binance (www.binance.com) dan aplikasi mudah alih di Malaysia dalam tempoh 14 hari bekerja dari 26 Julai 2021;
  2. segera menghentikan semua aktiviti media dan pemasaran, termasuk mengedarkan, menerbitkan atau menghantar iklan dan/atau bahan pemasaran lain, sama ada melalui e-mel atau sebagainya, kepada pelabur Malaysia; dan
  3. segera menghalang pelabur Malaysia daripada mengakses kumpulan Telegram Binance.

Zhao, selaku CEO Binance Holdings Limited, juga telah diperintahkan secara khusus untuk memastikan bahawa arahan di atas dilaksanakan.

Pelabur dinasihatkan agar berhenti berurusan dan melabur melalui DAX yang tidak sah. Mereka yang kini mempunyai akaun dengan Binance amat digesa agar segera menghentikan dagangan melalui platformnya dan menarik balik semua pelaburan mereka.

Orang ramai diingatkan untuk memaklumkan kepada SC jika mereka mendapati laman web yang mencurigakan atau menerima panggilan telefon atau e-mel tanpa diminta yang menawarkan nasihat dan peluang pelaburan, terutamanya yang mendakwa mereka menawarkan pulangan tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko.

Pertanyaan atau aduan boleh diajukan kepada SC di talian: +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected].
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup