SC Anjur Kolokium untuk Meningkatkan Pembangunan Pasaran Bon Korporat Malaysia

Kuala Lumpur, 3 Februari 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini menjadi tuan rumah untuk Kolokium Pasaran Bon Korporat Malaysia. Kolokium ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pasaran Bon Nasional (NBMC) di mana SC menjadi ahli.

Kolokium ini bertujuan untuk mengumpulkan para ahli NBMC, perantara pasaran, penerbit dan pelabur institusi bagi membincangkan isu-isu berhubung pembangunan pasaran bon korporat Malaysia. Usaha ini adalah sejajar dengan wawasan NBMC untuk menubuhkan satu pasaran bon korporat yang efisien, berdaya maju dan cair di Malaysia.

Antara isu-isu utama yang dibincangkan adalah mengenai pembentukan satu keluk hasil ukuran rujuk yang boleh menjadi asas yang berkesan bagi membolehkan pelabur yang berpotensi menilai kebaikan sesuatu sekuriti yang ditawarkan. Sehubungan dengan ini, beberapa pengalaman menubuhkan keluk hasil ukuran rujuk yang dilalui oleh lain-lain negara sedang membangun telah dibentangkan bagi menerangkan faktor-faktor kejayaan penting yang ditempuhi.

Keseluruhan peserta kolokium telah menumpukan perhatian kepada isu kecairan pasaran sekunder dan pengurusan risiko. Tumpuan perbincangan antara lain adalah terhadap halangan-halangan semasa dan langkah-langkah yang diperlukan untuk meningkatkan kecairan dalam pasaran sekunder bagi sekuriti hutang. Pendedahan pasaran bon Malaysia semasa terhadap kecairan, kematangan dan matawang didapati tidak sepadan dengan risiko serta keperluan bagi pelan pengurusan risiko yang bersesuaian, turut dipertimbangkan.

Proses terbitan bon semasa juga dikaji bagi menentukan kelemahan-kelemahan semasa dan mengenalpasti perubahan-perubahan struktur terhadap rangka kerja pengawalseliaan yang diperlukan untuk memperkemaskan proses penerbitan. Pada masa yang sama, langkah-langkah untuk memperluaskan asas penerbit juga dipertimbangkan.

Satu lagi isu utama yang dibangkitkan adalah keperluan untuk memperluaskan asas penerbit. Dalam perkara ini, para peserta kolokium telah menganalisa masalah-masalah masakini yang dihadapi oleh pelabur tempatan berhubung pelaburan dalam sekuriti hutang Malaysia.

Para penceramah kolokium terdiri daripada peserta-peserta utama pasaran.

Kolokium tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi NBMC, Dato' Othman Mohd Rijal, yang merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan. Antara ahli-ahli utama NBMC yang hadir adalah daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, SC, Unit Perancang Ekonomi, Pendaftar Syarikat dan Bursa Saham Kuala Lumpur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup