Pelbagai program, yang kebanyakannya dikendalikan dalam bangunan SC di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, telah disediakan untuk memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai perkembangan, pembangunan dan peluang yang tersedia dalam pasaran modal Islam.
Minggu PMI akan bermula di bangunan SC dengan
Persidangan Antarabangsa Pasaran Modal Islam Kuala Lumpur selama dua hari pada 26 Mac. Persidangan ini dianjur bersama oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) SC dan Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI).
Antara lain, persidangan tersebut akan membentangkan langkah ke hadapan ke arah penggalakan pasaran modal Islam secara global, serta menyediakan gambaran mengenai usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh para profesional di Malaysia dalam bidang ini. Persidangan tersebut juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Pasaran Modal, khususnya mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membangunkan lagi pasaran modal Islam. Ini termasuk perkembangan pasaran bon Islam, prospek bagi keusahawanan melalui modal teroka Islam, gabungan strategik bagi pelaburan Islam, pelaburan dalam talian, tadbir urus korporat dan amalan terbaik serta isu-isu pengurusan risiko.
Untuk orang ramai, satu
pameran percuma akan diadakan di bangunan SC yang akan berlangsung disepanjang tempoh Minggu Pasaran Modal Islam itu. Pameran ini akan memberikan kesempatan kepada pengunjung untuk mempelajari produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam.
SC juga akan menganjurkan dua seminar awam sempena Minggu PMI tersebut. Ini termasuk
Seminar mengenai Perancangan Kewangan: Pengurusan Kekayaan Menurut Islam (29 Mac) yang dianjurkan secara bersama dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM). Seminar mengenai perancangan keangan Islam akan merangkumi konsep unit amanah Islam, implikasi pencukaian dan zakat dalam perancangan kewangan, produk takaful serta kekhuatiran biasa berkaitan perancangan kewangan Islam. Yuran pendaftaran bagi seminar ini ialah RM400 setiap seorang.
Satu lagi seminar yang disasarkan kepada orang awam adalah mengenai
Pelaburan Ekuiti Syariah dan Indeks Islam. Ia akan diadakan pada 30 Mac. Seminar percuma ini akan membentangkan, antara lain, kriteria yang mendefinisikan pasaran modal "Islam", produk kewangan yang berasaskan syariah, prestasi indeks syariah serta membincangkan perbezaan antara dana Islam dan konvensional.
Untuk menarik penyertaan orang ramai di negeri lain,
seminar percuma akan juga diadakan di Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak sempena Minggu PMI tersebut. Seminar-seminar ini dianjurkan oleh syarikat broker saham seperti Hwang DBS Securities Bhd, PTB Securities Sdn Bhd dan K&N Kenanga Bhd.
PPada 28 Mac, Hwang DBS akan mengadakan satu
Bincang Tengah Hari mengenai Pelaburan Islam di pejabatnya di Pulau Pinang. Dua lagi syarikat broker saham, PTB Securities dan K&N Kenanga akan juga mengadakan seminar awam pada 30 Mac. PTB Securities akan menganjurkan ceramah awam mengenai
Melabur Menurut Prinsip Syariah di Hotel YT Midtown di Kuala Terengganu, sementara K&N Kenanga akan mengadakan seminar awam mengenai
Bon Islam di cawangannya di Kuching.
Sebagai tambahan kepada program di atas, terdapat juga dua perbincangan tertutup bagi mereka yang dijemput khas sahaja. Para pengurus dana yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Pasaran Modal Islam Kuala Lumpur tersebut akan dijemput untuk menghadiri
Forum Tertutup Pengurus Dana pada 28 Mac. Forum eksklusif ini akan menggabungkan pembuat dasar dari Kementerian Kewangan dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara, pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia dan SC, Bursa Saham Kuala Lumpur serta pengurus-pengurus dana untuk membincangkan perkembangan terkini ekonomi dan kewangan di Malaysia. Terdapat juga pertukaran pandangan mengenai perkembangan korporat terkini di Malaysia dan prospek ekonomi penggal terdekat bagi rantau ini.
Pada 28 Mac pula akan diadakan satu
Kolokium mengenai Pasaran Modal Islam (bagi para Mufti dan Penasihat Syariah), yang dianjur bersama oleh SC dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Acara ini, yang dianjur khusus bagi para mufti, pegawai Baitulmal, penasihat syariah serta pakar dan juri Islam, akan membincangkan penggunaan prinsip syariah, penapisan sekuriti yang diluluskan syariah dan peranan pakar syariah dalam perkembangan pasaran modal Islam. Terdapat juga perbincangan mengenai jenis dana Islam yang utama, iaitu yang dibentuk menurut prinsip Istisna', Murabahah, Mudarabah dan Al-Ijarah.
Minggu Pasaran Modal Islam adalah terbuka kepada semua dan akan memberi manfaat kepada mereka yang ingin memahami dan mempelajari pasaran modal Islam. Mereka yang berminat boleh menghubungi
Perkhidmatan Korporat SIDC di talian (03)-6204 8000 atau e-mel:
[email protected] untuk butiran program. Maklumat juga boleh didapati di tapak web SC di
www.sc.com.my