SC Anjurkan Pameran Pendidikan Pelabur pada 14-16 Oktober 2022

InvestSmart® Fest 2022 dijangka menarik lebih 40 peserta pameran, ribuan pelawat

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2022

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengadakan pameran pendidikan pelabur selama tiga hari pada 14-16 Oktober 2022 bagi meningkatkan tahap celik kewangan dan membantu orang ramai melindungi diri mereka daripada penipu pelaburan.

Data terkini daripada SC menunjukkan bahawa penipu atau scammer masih berleluasa, terutamanya mereka yang menggunakan media sosial untuk menarik dan menipu pelabur dengan tawaran pakej pelaburan dan tuntutan jaminan pulangan tinggi yang tidak realistik dan tanpa risiko. Ini berikutan penemuan kaji selidik SC yang menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah tentang pelaburan dan produk pasaran modal.

Berdasarkan data yang dikumpul, SC telah menerima 1,800 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi seperti Telegram dan WhatsApp serta platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata SC memantau Internet secara aktif untuk mengenalpasti aktiviti pasaran modal yang mencurigakan dan juga mengeluarkan amaran kepada pelabur melalui Senarai Makluman Pelabur SC, yang dikemas kini hampir setiap hari.

“Ciri Internet yang terbuka menyukarkan kita untuk melindungi pelabur,” kata Dato’ Seri Dr. Awang. “Oleh itu, tindakan terbaik yang boleh diambil oleh pelabur untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen adalah untuk melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan kewangan mereka.”

Di bawah undang-undang sekuriti Malaysia, mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan atau mempromosikan aktiviti pasaran modal, walaupun yang diluluskan dalam bidang kuasa lain, mesti dilesenkan atau didaftarkan oleh SC. Oleh itu, pelabur meletakkan diri mereka dalam risiko apabila berurusan dengan pihak tidak berlesen atau tidak berdaftar kerana capaian kawal selia SC ke atas entiti haram ini adalah terhad.

Dalam tinjauan yang dijalankan oleh SC, didapati pelabur Malaysia mempunyai jangkaan yang tidak realistik terhadap pulangan pelaburan kerana salah tanggapan tentang risiko dan pulangan. Celik kewangan yang rendah juga menjadikan pelabur terdedah kepada aktiviti tidak berlesen dan penipuan.

Pameran pendidikan pelabur SC iaitu InvestSmart® Fest (ISF 2022) akan berlangsung pada 14-16 Oktober 2022 di Dewan Pameran 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ISF 2022 akan menghimpunkan lebih 40 peserta pameran, terdiri daripada Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank pelaburan dan penyedia produk dan perkhidmatan pasaran modal lain. Pemain daripada industri fintech seperti Luno Malaysia dan Wahed Investment juga akan membuat penampilan. ISF 2022 akan menampilkan ceramah, perbincangan panel dan sesi diskusi oleh pakar kewangan dan pelaburan terkemuka untuk berkongsi pandangan mereka tentang pasaran modal Malaysia dan peluang pelaburan yang tersedia.

ISF 2022 juga akan menawarkan sesi perancangan kewangan percuma untuk membolehkan orang ramai merancang pelaburan dan persaraan mereka dengan bimbingan perancang kewangan berlesen. Terdapat hampir 600 perundingan #FinPlan4U tersedia, secara fizikal dan maya.

Untuk maklumat lanjut tentang ISF 2022 dan perundingan perancangan kewangan #FinPlan4U, sila layari https://investsmartsc.my/ atau akaun media sosial InvestSmart®.

InvestSmart® Fest disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancang Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia. Ia diadakan sempena Bulan Celik Kewangan 2022 dan Minggu Pelabur Sedunia 2022.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup