SC Batal Lesen Empat Individu
17 Februari 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membatalkan Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) Yew Hock Ming (Yew), Ling Chen Yew (Ling) dan Tiong Siew Ngaik (Tiong) di bawah seksyen 72 yang dibaca bersama seksyen 65 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), berkuat kuasa 18 Januari 2017.

Yew, Ling dan Tiong masing-masing sebelum ini berkhidmat di RHB Investment Bank Bhd, Affin Hwang Investment Bank Bhd dan Kenanga Investment Bank Bhd.

CMSRL mereka telah dibatalkan kerana didapati telah terlibat dalam amalan perniagaan yang tidak wajar. Oleh itu, SC mendapati individu-individu ini tidak lagi layak dan sesuai untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia dalam pasaran modal Malaysia.

SC juga telah membatalkan CMSRL Theng Boon Cheng (Theng) di bawah seksyen 72 yang dibaca bersama seksyen 65 CMSA. Theng sebelum ini berkhidmat di AmInvestment Bank Bhd. CMSRL Theng telah dibatalkan kerana SC mendapati bahawa dia tidak akan menjalankan aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti dengan cekap, jujur ​​atau adil. Oleh itu, SC mendapati Theng tidak lagi layak dan sesuai untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia dalam pasaran modal Malaysia.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup