SC: Berhati-hati dengan nasihat/khidmat pelaburan yang ditawarkan oleh individu tidak berlesen di Internet

Kuala Lumpur, 28 Februari 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin memberikan amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati apabila mendapatkan nasihat dan khidmat pelaburan di Internet kerana nasihat dan khidmat sedemikian kemungkinan disediakan secara tidak sah oleh individu tidak berlesen.

Para pelabur awam yang melabur perlu berjaga-jaga apabila mendapatkan khidmat pelaburan melalui Internet dan hanya berurusan dengan pihak yang berlesen dengan SC agar mereka dilindungi oleh undang-undang sekuriti. SC menggalakkan orang ramai agar melawati seksyen "Investor Alert" di tapak webnya
(www.sc.com.my) bagi amaran dan peringatan lain.

Sebagai sebahagian daripada tugas pengawasannya, SC baru-baru ini telah mengenal pasti beberapa tapak web yang digunakan oleh individu tidak berlesen untuk menawarkan nasihat dan khidmat pelaburan kepada pelabur di Malaysia. Pemeriksaan SC terhadap firma yang beroperasi melalui tapak-tapak web ini telah membawa kepada penutupan beberapa tapak web tersebut, seperti yang disenaraikan dalam Jadual I di bawah.

Jadual 1: Tapak-Tapak web yang menawarkan nasihat/khidmat pelaburan tidak sah yang telah ditutup

  • www.tianping2u.com
  • www.32502.com
  • www.remisier.com
  • www.angelfire.com/journal2/danamodal

Terdapat ciri-ciri yang sama dalam tapak web yang menawarkan nasihat dan khidmat pelaburan secara tidak sah yang telah ditutup oleh SC seperti yang disenaraikan dalam Jadual 2.

Jadual 2: Ciri-ciri sama tapak web yang menyediakan nasihat/khidmat pelaburan secara tidak sah yang telah ditutup oleh SC

  • Tapak-tapak web ini menawarkan skim pelaburan yang eksotik (mendakwa dapat memberikan pulangan tinggi dengan risiko yang rendah) dan menggunakan 'alamat pejabat mewah'.
  • Pemilik syarikat, yang mendakwa diri mereka sebagai 'pakar pelaburan', akan mengetengahkan `rekod pencapaian cemerlang' syarikat serta mengemukakan surat perakuan daripada `pelanggan' untuk meyakinkan pelabur. Identiti pemilik selalunya tidak disediakan untuk pengesahan.
  • Tiada rujukan kepada mana-mana lesen bagi aktiviti penyediaan khidmat dan produk pelaburan. Sesetengahnya mendakwa aktiviti mereka tidak memerlukan sebarang lesen.
  • Cadangan untuk membeli/menjual saham tertentu dan 'nasihat/tip' yang disampaikan kepada pelanggan melalui e-mel, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), akses kepada laman web yang dilindungi kata laluan atau melalui perjumpaan bersemuka atau berkumpulan.
  • Pemilik syarikat juga mengiklankan perkhidmatan mereka melalui pesanan e-mel dan pesanan yang diletakkan di pelbagai papan buletin dan tapak perbincangan Internet secara rambang.
  • Tapak-tapak web direka bentuk secara profesional bagi menyerupai perniagaan sah dan dilengkapi dengan paparan harga saham dalam talian, ulasan pasaran, berita pasaran dan pautan kepada tapak-tapak web kewangan lain.
  • Sesetengah tapak web ini mengandungi khidmat percuma seperti tutorial asas mengenai pasaran modal, e-buku dan akses kepada bilik sembang/papan buletin.

Orang ramai yang menemui mana-mana tapak web yang mencurigakan, serta e-mel atau sebarang maklumat di Internet yang berkaitan dengan nasihat dan khidmat pelaburan, boleh menghubungi SC melalui e-mel: [email protected] .

Orang ramai juga boleh mengesahkan status pelesenan individu atau syarikat di tapak web SC (www.sc.com.my). Sekiranya masih ragu, para pelabur boleh menghubungi Jabatan Pelesenan SC di talian 03-62048000. Pelabur juga dinasihatkan agar mengunjungi tapak web Pelabur Malaysia di www.min.com.my bagi mendapatkan tip-tip pelaburan bijak.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup