SC beri amaran kepada orang ramai mengenai penipuan saham antarabangsa

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin memberi amaran kepada orang ramai mengenai pelaburan saham melalui syarikat-syarikat yang membuat pelawaan urusan perniagaan melalui panggilan tidak diminta dan rambang. Syarikat-syarikat ini mungkin merupakan sebahagian daripada penipuan saham antarabangsa yang telah menipu para pelabur di beberapa negara.

Peringatan SC adalah berikutan beberapa aduan daripada pelabur, terutamanya dari Australia dan New Zealand, yang telah mengalami kerugian selepas melabur dalam saham melalui panggilan rambang, yang biasanya beroperasi di negara yang berbeza dengan mangsa. Pelabur ini diperdaya untuk melabur dalam saham syarikat luar negara, sama ada yang tersenarai di bursa saham asing, seperti NASDAQ, atau yang tidak tersenarai. SC menggesa orang ramai supaya berhati-hati atau menerima risiko menjadi mangsa penipuan saham antarabangsa ini.

Bagaimana untuk mengenal pasti sesuatu penipuan saham panggilan rambang

Orang ramai boleh mengenal pasti penipuan saham panggilan rambang ini dengan memastikan ciri-ciri berikut:

  • Pelabur berpotensi selalu dihubungi melalui telefon. Mereka juga boleh dihubungi melalui surat, e-mel atau faksimili. Saluran komunikasi ini adalah tidak diminta, dan pelabur biasanya tidak mengetahui bagaimana syarikat panggilan rambang tersebut mendapatkan maklumat untuk menghubunginya.
  • Pemanggil rambang ini mungkin memberikan atau tidak memberikan nama beliau atau butiran syarikatnya. Di mana butiran diberikan, alamat syarikat panggilan rambang biasanya adalah di sebuah negara asing. Oleh itu, pelabur yang berpotensi akan mempunyai kesukaran memastikan kewujudan fizikal syarikat itu. Biasanya, alamat atau nombor telefon yang diberikan ialah nombor sebuah "penyedia pejabat maya" yang bertindak sebagai penghubung bagi syarikat tersebut, yang boleh terletak di mana-mana.
  • Pelabur berpotensi akan ditawarkan saham dalam syarikat yang tersenarai di sebuah bursa asing. Melalui maklumat yang diberikan kepada SC, bursa-bursa yang disebutkan biasanya ialah sekuriti tersenarai NASDAQ atau sekuriti tidak tersenarai di pasaran atas kaunter (OTC). Saham yang ditawarkan kepada pelabur berpotensi mungkin sebenarnya wujud di bursa-bursa/pasaran ini. Oleh itu, sekiranya pelabur ingin memeriksa nama syarikat melalui mana-mana perkhidmatan sebut harga atau Internet, beliau akan mendapati sebut harga bagi harga saham syarikat itu.
  • Syarikat panggilan rambang biasanya akan cuba memujuk pelabur berpotensi dengan menawarkan saham dengan diskaun kepada harga pasaran yang disebutkan. Pelabur berpotensi biasanya akan dimaklumkan bahawa beliau boleh "membuat keuntungan serta merta".
  • Pemanggil rambang biasanya adalah amat bersopan dengan pelabur berpotensi ketika permulaan panggilan telefon tersebut. Sekiranya pelabur tersebut menolak untuk melabur, pemanggil tersebut akan terus membuat panggilan, dan tekanan bagi pelabur berpotensi untuk menerima akhirnya bertambah. Dalam kebanyakan kes, pemanggil rambang menggunakan taktik jualan agresif.
  • Apabila bersetuju untuk membeli saham, pelabur berpotensi akan diarahkan untuk membuat pembayaran secara elektronik (pemindahan telegraf) kepada sesuatu akaun bank luar pesisir atau bank asing.
  • Selepas pembayaran dibuat, pelabur akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan sijil saham beliau, walaupun setelah membuat banyak pertanyaan. Kadang kala, syarikat panggilan rambang tersebut akan menyatakan bahawa sijil saham itu berada dalam simpanan syarikat. Dalam mana-mana kes, pelabur akan mengalami kesukaran untuk merealisasikan nilai tunai pelaburannya.
  • Dalam beberapa kes, pelabur akan menerima sijil saham, tetapi akan mendapati saham yang dibeli adalah bukan saham biasa tetapi saham terhad, yang biasanya mengandungi halangan bagi jualan atau pemindahan.

Apa yang perlu dilakukan apabila dihubungi oleh pemanggil rambang

Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil tindakan berikut apabila dihubungi oleh seseorang pemanggil rambang:

  • Catatkan nama dan alamat perniagaan pemanggil rambang tersebut. Periksa nama dan alamat tersebut di senarai peniaga saham yang dilesenkan oleh SC bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983. Senarai syarikat perantara berlesen boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my. Sekiranya tidak pasti, hubungi pihak SC.
  • Sekiranya pemanggil tersebut mengatakan bahawa beliau ialah seorang broker atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa luar negara, minta nama pengawal selia asing yang memberikan lesen kepadanya. Pelabur boleh memastikan sama ada kenyataan itu benar dengan menghubungi pengawal selia asing tersebut. Kebanyakan pengawal selia sektor kewangan juga mempunyai laman web yang mempunyai senarai mereka yang berlesen atau berdaftar. Ingin dinyatakan di sini bahawa semua pihak yang berurus niaga sekuriti di Malaysia mesti mendapatkan lesen daripada SC, melainkan yang dikecualikan oleh undang-undang. Ini termasuk perkhidmatan nasihat pelaburan serta aktiviti yang melibatkan penjualan dan pembelian saham seperti pengambilan pesanan atau mempelawa seseorang untuk menjalankan urus niaga sedemikian. SC ingin menasihatkan pelabur berpotensi supaya tidak memberikan wang kepada seseorang broker/peniaga saham yang disyaki tidak berlesen.
  • Periksa sama ada saham atau harga sebutan saham adalah sah, walaupun pada kebanyakan kes, pemanggil rambang akan menyebut saham sebenar yang tersenarai atau yang disebutkan di bursa asing.
  • Minta maklumat lanjut mengenai syarikat yang hendak dibuat pelaburan seperti laporan tahunan, prospektus dan penyata kewangan.
  • Sekiranya orang ramai mengalami taktik yang digunakan di atas atau mengesyaki bukti kelayakan sebagai seorang penasihat pelaburan atau peniaga broker seseorang pemanggil, adalah dinasihatkan untuk meletakkan telefon dan tidak berhubung dengan pemanggil rambang setelah mendapatkan maklumat penting yang diperlukan seperti yang dicadangkan di atas.

Orang ramai di Malaysia atau di luar negara boleh menghubungi Unit Pengaduan SC di talian: 603-6204 8999 (e-mel: [email protected]). Untuk bantuan butiran bagi menghubungi pengawal selia asing atau bagi mengemukakan pengaduan dengan pengawal selia tersebut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa SC (tel: 603-6204 8516/e-mel: [email protected]).

Berikutan pertanyaan dari dalam negara dan pengaduan daripada pelabur di Australia dan New Zealand, SC telah memulakan penyiasatan terhadap tiga syarikat di Kuala Lumpur yang menawarkan saham syarikat asing sama ada yang tidak tersenarai atau yang tersenarai di bursa saham asing seperti NASDAQ. Syarikat-syarikat ini tidak mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti mereka dan telah menamatkan operasi mereka setelah diarahkan oleh SC. SC juga sedang bekerja sama rapat dengan pengawal selia asing di rantau ini bagi membanteras aktiviti sedemikian.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup