SC beri amaran kepada pelabur mengenai skim pelaburan Internet Cambridge Capital Trading

Beku RM1.6 juta dan Tutup Laman Web

Kuala Lumpur, 26 Februari 2007

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah membekukan dua akaun bank di Malaysia yang berjumlah RM1.6 juta, menutup dua laman web dan menyoal siasat beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan skim penipuan pelaburan Internet global yang dijalankan oleh Cambridge Capital Trading.

SC menyiasat skim tersebut atas kemungkinan berlakunya pelanggaran Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA). Ini dicetuskan oleh permintaan bantuan daripada Dubai Financial Services Authority (DFSA), yang menjalankan penyiasatannya sendiri mengenai skim tersebut.

Siasatan oleh SC membawa kepada perintah sekatan atas penanda tangan dua akaun bank di Malaysia, yang dikaitkan dengan skim Internet tersebut, daripada menjalankan apa-apa urusan dengan akaun bank tersebut. SC juga telah mendapatkan bantuan Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (NISER) untuk menutup dua laman web yang dikaitkan dengan Cambridge Capital Trading yang dihoskan oleh sebuah Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia.

SC memberikan amaran kepada pelabur mengenai skim pelaburan penipuan yang dikendalikan oleh Cambridge Capital Trading, yang sehingga kini menyasarkan pelabur dari Australia dan Singapura. Pengendali skim penipuan tersebut telah membuat panggilan rambang kepada orang ramai untuk mempelawa mereka melabur dalam sebilangan produk yang didakwa didagangkan di Dubai Option Exchange yang direka-reka.

Pelabur adalah diingatkan agar berwaspada terhadap panggilan rambang daripada Cambridge Capital Trading. Mereka harus berhati-hati terhadap dakwaan mengenai laman-laman web Cambridge Capital Trading dan Bursa Opsyen Dubai, www.cambridgecapitaltrading.com dan www.dubaiex.com, masih boleh diakses kerana kedua-duanya dihoskan oleh ISP asing.

Di samping itu, pelabur juga diingatkan mengenai pautan laman web palsu yang ketiga kepada Cambridge Capital Trading, iaitu United Arab Emirates Commodity Futures Board atau www.uaecfb.com.

Orang ramai adalah dinasihatkan agar memaklumkan kepada SC secepat mungkin sekiranya mereka menerima panggilan rambang tersebut dengan menghubungi Jabatan Pengaduan SC di:

Tel: +603-6204 8999
Faks: +603-6204 8991
E-mel: [email protected]

Orang ramai hendaklah berjaga-jaga terhadap kemungkinan skim penipuan pelaburan Internet dan hanya melabur melalui pihak yang diberikan lesen oleh SC. Mereka hendaklah menyemak dengan SC atau pihak berkuasa berkaitan lain mengenai status pelesenan mana-mana syarikat tempatan atau asing sebelum melabur melalui syarikat tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup