SC Beri Amaran Kepada Pelabur Mengenai Tawaran Syiling Awal dan Bursa Aset Digital yang Tidak Diiktiraf
4 Julai 2019  |  Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati terdapat peningkatan dalam bilangan pertanyaan dan aduan daripada orang ramai mengenai tawaran syiling awal (ICO) dan bursa aset digital.

SC menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan mana-mana individu yang menawarkan ICO. SC tidak memberi kebenaran kepada mana-mana ICO selagi garis panduan mengenainya belum dimuktamadkan.

Sebarang tawaran aset digital serta aktiviti yang berkaitan dengannya seperti memasarkan atau mempelawa orang lain untuk melanggan ICO memerlukan kebenaran daripada SC.

Ini adalah Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Preskripsi Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 (Perintah Preskripsi) susulan berkuatkuasanya pada 15 Januari 2019.

SC ingin mengingatkan para pelabur agar berwaspada terhadap potensi risiko yang dikaitkan dengan skim ICO, terutamanya:

  1. penerbit ICO yang tidak beroperasi secara fizikal di Malaysia akan menimbulkan kesukaran untuk mengesahkan kesahihan ICO tersebut. Seterusnya, pengembalian wang yang dilaburkan mungkin tertakluk kepada undang-undang atau peraturan asing;
  2. penglibatan individu yang tidak dibenarkan meningkatkan risiko dan pendedahan kepada penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan;
  3. ICO tersebut boleh distrukturkan dalam bentuk tertentu bagi mengehadkan perlindungan undang-undang dan tuntutan kepada pelabur terhadap penerbit ICO; dan
  4. risiko keselamatan siber termasuk penggodaman dan kecurian maklumat peribadi dalam talian.
  5. SC juga menggesa para pelabur agar berhati-hati ketika mempertimbangkan untuk membeli atau menjual aset digital melalui platform dagangan. Walaupun sesebuah platform boleh mendakwa bahawa ia adalah 'bursa,' tidak semestinya ia telah diberi kebenaran oleh SC.


Setakat 4 Jun 2019, SC telah mendaftar tiga Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) untuk menubuhkan dan mengendalikan DAX di Malaysia. Tiga pengendali DAX tersebut iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd telah diberi tempoh selamat sembilan bulan untuk mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengawalseliaan.

Selain daripada tiga pengendali tersebut, ketika ini tiada platform dalam talian lain yang dibenarkan untuk menubuhkan dan mengendalikan DAX di Malaysia. Oleh itu, semua pengendali DAX lain dikehendaki segera menghentikan semua aktiviti yang berkaitan dengan dagangan aset digital dan mengembalikan semua wang dan aset yang telah dikumpulkan daripada pelabur. Ini juga termasuk pengendali yang disenaraikan oleh SC dalam tempoh peralihan awal.

Mengendalikan DAX atau melancarkan atau memasarkan ICO tanpa kebenaran daripada SC merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti. Individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai boleh mendapatkan pengesahan mengenai pengendali aset digital yang didaftarkan dengan SC di https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup