SC Beri Amaran Terhadap Bursa Ternyahpusat (DEX) yang Tidak Dibenarkan, Keluar Perintah Henti Kepada Rimau Swap
7 Oktober 2021

Berikutan maklumat yang diterima daripada orang ramai, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan perintah henti kepada RimauSwap (https://rimauswap.finance/) kerana mengendalikan Bursa Ternyahpusat (DEX) tanpa kebenaran daripada SC.
SC juga akan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman web RimauSwap. Di samping itu, RimauSwap telah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC.

DEX merupakan bursa antara rakan setara yang membolehkan individu melakukan pertukaran aset digital secara terus antara satu sama lain tanpa pengantara. Transaksi di bursa ini dikendalikan melalui mekanisme protokol automatik yang dikenali sebagai kontrak pintar. SC belum lagi memberi kebenaran kepada mana-mana pengendali DEX di Malaysia. Oleh itu, orang ramai diingatkan agar tidak berurusan dengan entiti tidak berdaftar yang mengendalikan DEX di Malaysia.

SC juga memberi amaran kepada semua pengendali DEX yang tidak berdaftar di Malaysia agar segera menghentikan aktiviti mereka. Mengendalikan DEX tanpa berdaftar dengan SC merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

Entiti yang berminat untuk mengendalikan DEX di Malaysia hendaklah memohon untuk didaftarkan sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) dengan SC. Di samping itu, SC menggesa para pelabur agar hanya menjalankan dagangan dengan RMO yang berdaftar dengan SC, dan merujuk kepada senarai RMO berdaftar di laman web SC.

Pelabur yang menjalankan dagangan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar adalah tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia, dan terdedah kepada risiko, seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Orang ramai juga diminta untuk melapor kepada SC jika mereka berdepan dengan aktiviti, laman web dan peluang pelaburan yang mencurigakan, terutamanya yang memberi pulangan tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko.

Pertanyaan atau aduan boleh dibuat kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di tel: 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected].
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup