Pasukan Petugas tersebut, ditubuhkan di bawah naungan Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), sebuah inisiatif yang dipandu industri bagi merumuskan satu garis panduan yang terperinci untuk memudahcarakan pematuhan oleh syarikat-syarikat kepada keperluan berkaitan dengan fungsi audit dalaman di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.
Pasukan Petugas tersebut, yang telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 9 Mei 2001, dipengerusikan oleh Encik Abdul Samad Alias, Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA). Ahli-ahli Pasukan Petugas yang lain termasuk wakil-wakil dari sektor awam dan akademik, syarikat awam tersenarai dan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Suruhanjaya juga diwakili dalam Pasukan Petugas tersebut sebagai pemerhati dan akan menyediakan panduan dan bantuan jika diperlukan.
Bantuan kewangan Suruhanjaya dalam pembangunan garis panduan mengenai peranan fungsi audit dalaman adalah sejajar dengan komitmennya yang lebih luas, sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal, iaitu untuk memastikan pasaran modal Malaysia adalah bercirikan standard tadbir urus korporat dan kebertanggungjawaban yang tinggi.