SC beri Geran RM250,000 kepada Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti

Kuala Lumpur, 10 April 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memberikan geran sebanyak RM250,000 kepada Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (Badan Pengawas), sebagai memenuhi komitmennya untuk membantu Badan Pengawas dalam kos penubuhannya. Ini adalah sejajar dengan cadangan Jawatankuasa Kewangan untuk menggalakkan aktivisme pemegang saham yang lebih tinggi di Malaysia.

Pengerusi Badan Pengawas, Tan Sri Abdul Halim Ali menerima geran tersebut daripada Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir di majlis penyampaian cek di Bangunan SC di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

"Kami menjangka Badan Pengawas akan menggalakkan pematuhan terhadap prinsip-prinsip tadbir urus korporat yang baik serta meningkatkan kesedaran pemegang saham minoriti mengenai hak-hak mereka dan kaedah yang boleh digunakan untuk menguatkuasakan hak-hak sedemikian," kata Datuk Ali.

"Oleh itu, Badan Pengawas mesti melaksanakan peranan mereka sebagai sebuah badan pengawas, dengan kerap memantau syarikat-syarikat awam tersenarai dan memaklumkan hasil aktiviti pemantauan tersebut kepada orang ramai," kata beliau.

"Adalah penting bagi Badan Pengawas untuk mempunyai satu pelan tindakan yang teliti. Ia juga mesti mengenal pasti matlamat luas dan bekerja keras untuk mencapainya," kata Datuk Ali.

Pengerusi SC menambah Badan Pengawas sendiri mesti mengamalkan tadbir urus yang baik dan mempunyai polisi dan prosedur yang jelas dan telus.

Ahli-ahli Badan Pengawas yang terdiri daripada badan dana institusi negara - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) - juga diingatkan mengenai peranan dan tanggungjawab mereka.

Badan Pengawas ditubuhkan pada bulan Ogos 2000 sebagai sebuah syarikat dihadkan oleh jaminan. Dalam menjalankan peranannya sebagai sebuah badan pengawas pemegang saham minoriti bebas, Badan Pengawas bertanggungjawab dalam menggalakkan penglibatan secara proaktif pemegang saham dalam syarikat awam tersenarai. Dengan ini, badan ini mempunyai matlamat memupuk kekuatan pelabur institusi yang besar (walaupun minoriti) untuk mengawas dan membuat perubahan dalam syarikat mereka labur. Badan Pengawas mendapat lesen penasihat pelaburannya daripada SC pada 4 Mac 2002.

Penubuhan Badan Pengawas merupakan salah satu cadangan dalam Laporan Jawatankuasa Kewangan mengenai Tadbir Urus Korporat yang diperkenalkan pada bulan Februari 1999. SC memainkan salah satu peranan penting dalam Jawatankuasa Kewangan tersebut yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Jawatankuasa Kewangan juga terdiri daripada wakil-wakil dari badan profesional, syarikat awam tersenarai serta pengawal selia lain.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup