Permohonan Goldman Sachs merupakan susulan langkah liberalisasi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada bulan Jun tahun ini dan ketika Belanjawan yang diumumkan pada bulan Oktober lalu.
Proses liberalisasi tersebut, sebagai sebahagian daripada peralihan strategik Malaysia ke arah agenda pertumbuhan pesat, akan meningkatkan lagi kedudukan negara sebagai pusat bagi peserta pasaran modal asing yang menarik. Ini akan menyediakan pelabur dan penerbit di Malaysia pilihan produk dan perkhidmatan pelaburan yang lebih luas.
Pengerusi SC Tan Sri Zarinah Anwar berkata keputusan Goldman Sachs untuk memulakan operasi di Malaysia adalah penting kerana ia menyokong usaha SC dalam menjadikan pasaran modal Malaysia sebuah pusat pasaran modal utama dengan kehadiran pelbagai firma antarabangsa terkemuka yang akan melengkapi peserta pasaran tempatan yang kukuh. Ia juga menunjukkan keyakinan kumpulan tersebut terhadap peluang pertumbuhan yang tersedia dalam pasaran modal Malaysia.
Goldman Sachs akan bersama syarikat pembrokeran dan pengurusan dana global yang lain yang telah memulakan operasi mereka di Malaysia.
Goldman Sachs merupakan firma perkhidmatan kewangan global terkemuka yang menyediakan perkhidmatan perbankan pelaburan, pengurusan sekuriti dan pelaburan kepada pelanggan yang besar dan pelbagai. Firma tersebut beribu pejabat di New York dan mempunyai pejabat di London, Frankfurt, Tokyo, Hong Kong dan pusat kewangan terkemuka lain di serata dunia.
“Prospek masa hadapan bagi pasaran modal Malaysia dan industri pengurusan asetnya adalah sangat positif dan dengan kehadiran kami di sini, kami berharap dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkannya,” kata Tim Leissner, Presiden Bersama Goldman Sachs Asia Tenggara.