SC beri status Broker Universal kepada empat syarikat broker saham

Kuala Lumpur, 12 April 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memberikan status Universal Broker kepada empat syarikat broker saham pertama - Hwang-DBS Securities Berhad, Kuala Lumpur City Securities Sdn Bhd, OSK Securities Berhad dan Rashid Hussain Securities Sdn Bhd. SC sedang memproses satu lagi permohonan.

Hwang-DBS Securities kini mempunyai pejabat-pejabat cawangan di Shah Alam, Taiping dan Johor Bahru.

Kuala Lumpur City Securities telah pun mempunyai sebuah pejabat cawangan di Kuantan. SC sehingga kini telah meluluskan pertukaran Upen Securities Sdn Bhd kepada pejabat cawangan Kuala Lumpur City Securities di Kangar dan pemerolehan serta pertukaran Alor Setar Securities (2000) Sdn Bhd kepada pejabat cawangan Kuala Lumpur City Securities di Alor Setar.

OSK Securities kini mempunyai pejabat cawangan di Ipoh dan Melaka dan SC telah meluluskan pertukaran Ke-Zan Securities kepada pejabat cawangan OSK Securities di Pulau Pinang.

SC juga telah meluluskan pemerolehan oleh Rashid Hussain Securities ke atas semua modal terbitan dan berbayar Mercury Securities Sdn Bhd, SJ Securities Sdn Bhd dan Straits Securities Sdn Bhd, dan pertukaran syarikat broker saham yang diperoleh kepada pejabat cawangan Rashid Hussain Securities di Butterworth, Subang Jaya dan Melaka.

Kesemua empat buah syarikat telah memenuhi syarat-syarat yang berkaitan untuk menjadi sebuah Broker Universal, termasuk keperluan untuk bergabung dengan sekurang-kurangnya tiga lagi syarikat broker saham.

Syarikat broker saham yang bergabung tersebut mesti juga mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM250 juta, modal teras minimum sebanyak RM250 juta dan Nisbah Kecukupan Modal sekurang-kurangnya 1.5 kali sebelum syarikat ini boleh memulakan perniagaan sebagai Broker Universal. Syarikat broker saham tersebut juga mesti memenuhi syarat-syarat layak dan patut SC dan mematuhi keperluan yang ditetapkan dalam Garis Panduan SC yang diterbitkan berikutan Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham.

SC ingin menekankan bahawa keperluan bagi Broker Universal di atas adalah diguna pakai oleh semua syarikat broker saham, termasuk syarikat broker saham yang merupakan sebahagian daripada kumpulan perbankan yang juga memiliki bank-bank saudagar.

Pembentukan satu kumpulan teras syarikat broker saham yang mempunyai modal yang banyak yang dikenali sebagai Broker Universal adalah sejajar dengan Rangka Kerja Polisi SC bagi Penggabungan Industri Broker Saham yang diumumkan pada suku kedua tahun 2000. Penggabungan syarikat broker saham adalah antara usaha SC bagi memperkukuhkan industri tersebut dan memperlengkapkan perantara pasaran bagi menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi. Ini dijelaskan dengan lebih lanjut sebagai sebahagian daripada cadangan-cadangan dalam Pelan Induk Pasaran Modal SC yang menentukan kedudukan strategik dan hala tuju masa hadapan perkembangan pasaran modal Malaysia.

Sehingga kini, kemajuan penggabungan industri broker saham adalah menggalakkan. SC akan terus mengawas secara dekat usaha penggabungan industri.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup