SC buat keputusan yang menggalakkan terhadap rayuan pampasan oleh bekas remisier Omega Securities

Kuala Lumpur, 8 Februari 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan bahawa ia telah memutuskan untuk memihak kepada 123 remisier ("perayu") Omega Securities Sdn Bhd ("Omega Securities") yang telah membuat tuntutan pampasan daripada Dana Pampasan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), berhubung deposit sekuriti yang dibayar oleh mereka kepada Omega Securities. Lesen Omega Securities, yang merupakan syarikat ahli BSKL, telah dibatalkan oleh SC pada 5 Jun 1998. Penerima dan pengurus bagi syarikat tersebut telah dilantik pada 9 Jun 1998.

Para perayu telah membuat rayuan dengan SC setelah tuntutan mereka terhadap pampasan ditolak oleh Jawatankuasa BSKL ("Jawatankuasa") yang ditubuhkan berikutan Peraturan Perindustrian Sekuriti (Dana Pampasan) 1997 ("Peraturan"). SC merupakan badan perayu untuk Dana Pampasan, seperti yang disebut di bawah peruntukan 12 Peraturan tersebut.

SC, setelah mendengar dan membuat pertimbangan menyeluruh terhadap permohonan perayu, telah mengkaji semula keputusan Jawatankuasa BSKL dan memutuskan bahawa para remisier telah memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan pampasan daripada Dana Pampasan, seperti yang ditetapkan di bawah seksyen 72(1) Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) ["seksyen 72(1)"].

Menurut seksyen 72(1), jika seseorang menanggung kerugian wang yang disebabkan oleh ketaksolvenan sesuatu syarikat ahli atau sesuatu penggelapan atau salah guna wang atau harta lain secara fraud oleh seseorang pengarah, pegawai, pekerja atau wakil peniaga berlesen yang pada masa itu merupakan sesuatu syarikat ahli, orang itu berhak untuk menuntut pampasan daripada Dana Pampasan.

Keputusan SC adalah tertakluk kepada analisa yang antara lain memutuskan bahawa "orang yang menanggung kerugian" di bawah seksyen 72(1) boleh merangkumi remisier. Tambahan lagi, deposit sekuriti para perayu telah dibayar kepada Omega Securities berhubung dengan perniagaan sekuritinya. Maka dengan itu, kehilangan deposit sekuriti para perayu akibat daripada ketaksolvenan Omega Securities, merupakan kerugian yang boleh mendapat pampasan di bawah seksyen 72(1).

Dalam membuat keputusannya, SC juga telah mengarahkan supaya semua rayuan yang dibuat oleh perayu yang tidak mempertikaikan kuantum deposit sekuriti masing-masing yang dihutang oleh Omega Securities seperti yang ditentukan oleh Jawatankuasa, perayu berkenaan berhak untuk menuntut penyelesaian bagi deposit sekuriti berkenaan daripada Dana Pampasan BSKL sehingga had RM100,000.00.

Bagi rayuan yang dibuat oleh perayu yang mempertikaikan kuantum deposit sekuriti masing-masing yang belum dijelaskan oleh Omega Securities, seperti yang ditentukan oleh Jawatankuasa, perayu berkenaan berhak untuk menyerahkan bukti-bukti secara bertulis atau lisan kepada SC bagi membolehkan SC membuat keputusan muktamad berhubung pampasan yang berhak dituntut oleh perayu berkenaan.

SC telah menetapkan bahawa dalam situasi di mana para perayu menerima apa-apa bayaran pampasan daripada Dana Pampasan BSKL, hak dan remedi mereka akan disubrogasikan kepada bursa saham, seperti yang disebut di bawah seksyen 79 SIA.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup