SC Buat Laporan Polis Terhadap Serba Dinamik

- Tolak dakwaan Serba Dinamik terhadap SC dalam kenyataan 26 muka surat sebagai tidak berasas dan berniat jahat

24 April 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyangkal sekeras-kerasnya semua dakwaan Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) yang menuduhnya berniat jahat dan tidak mengikut prosedur dalam melaksanakan tugasnya.

Sebagai badan berkanun yang diberi mandat oleh Parlimen untuk mengawal selia pasaran modal Malaysia, SC diberi tanggungjawab untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasaran modal. Tindakan penguatkuasaan SC terhadap Serba Dinamik telah diambil demi kepentingan awam, bagi meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan penyata kewangan syarikat tersenarai.

SC mengecam sebarang percubaan untuk menggertak SC atau pegawainya dan memperlekehkan kuasa dan kredibilitinya.

Sehubungan dengan ini, semalam, SC telah membuat laporan polis terhadap Serba Dinamik kerana mengeluarkan kenyataan bertarikh 21 April 2022, yang mengandungi kenyataan yang tidak berasas dan berniat jahat, yang boleh dan bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan/atau menimbulkan imej yang negatif terhadap SC dan pegawainya.

Sebelum ini, Serba Dinamik dan empat ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanannya (Tertuduh) telah dihadapkan ke mahkamah pada Disember 2021 untuk pelanggaran undang-undang sekuriti kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung angka hasil Serba Dinamik sebanyak RM6.01 bilion yang terkandung di dalam laporan kewangan yang disatukan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Disember 2020.

Berikutan representasi Serba Dinamik kepada Jabatan Peguam Negara, Peguam Negara pada 7 April 2022 telah bersetuju agar kesemua pertuduhan tersebut dikenakan kompaun.

SC ambil maklum bahawa kebanyakan dakwaan Serba Dinamik terhadap SC merupakan isu-isu dan hujahan yang telah dikemukakan oleh Serba Dinamik dalam pelbagai prosiding yang difailkan olehnya di Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Oleh yang demikian, SC ingin menyatakan bahawa semua siasatannya berhubung perkara ini telah dijalankan selaras dengan kuasa statutorinya serta proses dan prosedur yang telah dimantapkan, dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Serba Dinamik yang tidak berasas, termasuk yang berikut:

  1. SC menafikan bahawa ia gagal menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes ini, dan menyatakan bahawa dokumen yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan semasa perbicaraan telah diberikan kepada Serba Dinamik menurut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah. Hakikatnya, SC telah menyerahkan kebanyakan dokumen yang berkaitan kepada pihak Pembelaan secara berkelompok pada tiga tarikh berasingan iaitu pada 27 Januari 2022, 25 Februari 2022 dan 8 April 2022, yang mana penerimaannya telah diperakui secara bertulis oleh peguam pihak-pihak Tertuduh.
  2. SC memperjelaskan bahawa pelaksanaan kuasa siasatannya, termasuk serbuan yang dijalankan di pejabat Serba Dinamik pada 18 Mei 2021, adalah wajar dan dilaksanakan dengan niat baik dalam menjalankan kuasa pengawalseliaannya. Menurut Seksyen 128 dan 133 Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), SC diberi kuasa untuk memasuki mana-mana premis tanpa waran geledah sekiranya ia mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan untuk mendapatkan waran geledah boleh menyebabkan sebarang dokumen atau bukti diganggu atau dimusnahkan atau tujuan kemasukan ke premis tersebut mungkin gagal.
  3. SC juga ingin menyatakan bahawa Pegawai Penyiasat, Pegawai Pendakwa dan Timbalan Pendakwa Raya SC tidak pernah mengancam mana-mana kakitangan Serba Dinamik, dan kenyataan yang direkodkan daripada saksi-saksi ini telah dijalankan mengikut proses yang sewajarnya dan kenyataan tersebut telah diberikan kepada SC secara sukarela tanpa sebarang paksaan, ugutan atau janji.

SC memfailkan laporan tersebut bagi membolehkan pihak polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan menyiasat perkara ini, termasuk bagi kesalahan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan/atau undang-undang lain yang berkaitan. Ia juga meminta kerjasama polis untuk menjalankan siasatannya dengan segera demi membantu melindungi kepentingan pelabur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup