SC, Bursa Malaysia menjadi Tuan Rumah Minggu Tadbir Urus Korporat 2010
Usaha ke arah kecemerlangan CG di kalangan syarikat tersenarai
24 Jun 2010  |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Minggu Tadbir Urus Korporat tahunan dari 28 Jun hingga 2 Julai 2010 bagi menggalakkan lagi amalan tadbir urus korporat yang baik di kalangan syarikat-syarikat awam tersenarai (PLC).

Minggu CG 2010 yang kali kedua diadakan itu, menyediakan satu platform utama untuk pengawal selia dan pengamal pasaran modal bagi membincangkan pelbagai isu penting CG seperti peranan ahli lembaga pengarah yang semakin meluas, keberkesanan pengarah-pengarah bebas, kualiti lembaga pengarah, pemantauan lembaga pengarah terhadap pengurusan dan pengurusan risiko. Bertemakan “Ke Arah Kecemerlangan Tadbir Urus Korporat”, Minggu CG akan memaparkan pakar-pakar CG dan penceramah yang disegani dari Malaysia, Hong Kong dan Singapura.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Bin Haji Abdullah akan melancarkan Minggu CG di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2010. Tan Sri Zarinah juga akan menyampaikan ucap utama pada pelancaran tersebut.

Dato Dr. Nik Ramlah Mahmood, Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan SC berkata, “Minggu CG ini adalah tepat pada masanya. Penyertaan para pengawal selia, institusi pasaran utama dan pertubuhan profesional dalam Minggu CG ini menekankan keperluan berterusan terhadap kerjasama bagi mengukuhkan tadbir urus korporat. Perkembangan terkini mengetengahkan lagi isu-isu seperti kebertanggungjawaban lembaga pengarah serta peranan penasihat, juruaudit dan para profesional lain. Diharapkan supaya pengarah-pengarah PLC akan berusaha menghadiri acara-acara yang dianjurkan sepanjang Minggu CG 2010.”

Cik Selvarany Rasiah, Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia berkata, “Tadbir urus korporat sangat penting bagi syarikat tersenarai dan pembangunan ekonomi yang lebih meluas. Ini lebih penting lagi pada masa ini ketika pemegang kepentingan dan para pelabur menuntut supaya pengarah-pengarah syarikat supaya lebih telus, mengamalkan tadbir urus yang kukuh, dan tidak sekadar memberi janji-janji kosong dalam memberikan kenyataan pematuhan. Oleh itu, mempromosikan amalan terbaik melalui Minggu CG bersama-sama pengawal selia dan pakar-pakar CG adalah sangat penting kerana kami percaya bahawa usaha ini akan memberikan wawasan yang praktikal ke arah mengamalkan amalan terbaik CG.”

Minggu CG juga turut menarik penyertaan dan sokongan padu daripada pelbagai industri dan kumpulan profesional. Mereka terdiri daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemantauan Audit, Badan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Persekutuan Pengarah Syarikat Malaysia (MACD), Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA), Institut Integriti Malaysia, Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) dan Institut Akauntan Malaysia.

Penyertaan dalam acara selama seminggu ini terbuka hanya kepada para pengarah syarikat awam tersenarai dan bertujuan memberikan peluang kepada para pengarah tersebut membiasakan diri, berdebat dan berbincang mengenai pelbagai isu tadbir urus korporat.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Minggu CG dan pendaftaran bagi mana-mana sesi, sila rujuk kepada http://www.bursamalaysia.com/website/bm/media_centre/events.html
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA dan BURSA MALAYSIA BERHAD
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup