SC dakwa bekas remisier kerana manipulasi pasaran
4 September 2012   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa bekas remisier Dato’ David Goh Hock Choy di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memanipulasi saham-saham Lii Hen Industries Bhd (Lii Hen).

Goh, 50, didakwa bawah seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) kerana mewujudkan keadaan dagangan aktif saham-saham Lii Hen yang mengelirukan, dengan membabitkan diri dalam penjualan dan pembelian saham-saham Lii Hen yang tidak menyebabkan sebarang perubahan terhadap pemilikan benefisiari. Dagangan itu dijalankan melalui 42 akaun di sembilan firma broker saham. Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara bulan Mac 2004 dan Oktober 2004.

Sementara itu, Siow Chung Peng, 42, didakwa dalam mahkamah yang sama kerana bersubahat dengan Goh atas kesalahan tersebut.

Kedua-dua Goh dan Siow meminta dibicarakan bagi pertuduhan tersebut.

SC telah memohon bantuan daripada PDRM bagi mengeluarkan Notis Merah Interpol ke atas Goh kerana dia telah keluar dari Malaysia sejak bulan Julai 2011. Dia telah ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini.

Kesalahan manipulasi pasaran boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 88B SIA yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM1 juta dan hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen, S. M. Komathy Suppiah, membenarkan Goh diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin manakala Siow dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan supaya menyerahkan dokumen perjalanan mereka kepada mahkamah dan melapor diri kepada pegawai penyiasat SC setiap dua minggu.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup