SC dakwa tiga bekas pengarah Axis Incorporation Berhad
21 Mac 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa tiga bekas pengarah Axis Incorporation Berhad (Axis) kerana memberi maklumat palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad di antara 2006 dan 2008.

Koh Tee Jin, Saipuddin Lim dan Lee Han Boon, masing-masing didakwa dengan lima pertuduhan memberikan kenyataan palsu terhadap hasil Axis kepada Bursa Malaysia. Tuduhan tersebut dikenakan bawah seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, adalah berkaitan dengan kenyataan palsu yang terkandung dalam laporan empat suku tahunan Axis bagi tahun kewangan 2007 dan suku tahun berakhir pada 31 Mac 2008.

Axis, sebuah kilang pembuatan pakaian, telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 30 November 2010.

Koh Tee Jin, 47, Saipuddin, 54, dan Lee Han Boon, 32, masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin oleh Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Mat Ghani bin Abdullah dan dikehendaki menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah. Pengurusan kes telah ditetapkan pada 21 Mei 2013.

Timbalan Pendakwaraya Ahsani Mohd Nasir mewakili SC manakala Koh diwakili oleh Datin Daljit Kaur dan Chua Chen Cher pula bertindak bagi pihak Saipuddin dan Lee.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga bekas pengarah itu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun bagi setiap pertuduhan, atau kedua-duanya sekali.

SC menegaskan bahawa ia akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan penzahiran maklumat kewangan yang tepat dan kena pada masanya oleh syarikat tersenarai kerana perkara itu merupakan aspek penting dalam mendukung integriti dan keyakinan pelabur dalam pasaran modal.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup